Saturday, 5 September 2015

Berita Mengejutkan Hari Ini


Malaysia menikmati keadaan yang lebih baik di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad, kata panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Dalam forum bersempena Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) di Putrajaya hari ini, Tunku Abdul Aziz berkata, pentadbiran Najib memberikan lebih banyak ruang kebebasan berbanding 'regim menekan' yang diamalkan Dr Mahathir.

"Ketika anda tiba, ada demonstrasi jalanan. Itu tidak akan dapat dilihat ketika zaman Dr Mahathir.

"Akan ada meriam air, polis dengan pakaian rusuhan. Jadi bagi saya, dari segi pencapaian, ini adalah kejayaannya," katanya, merujuk kepada demonstrasi Bersih 4 hujung bulan lalu.

Demonstrasi itu menyaksikan ribuan rakyat berhimpun di kawasan Dataran Merdeka menuntut Najib melepaskan jawatan susulan isu dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Berbeza seperti Dr Mahathir, Tunku Abdul Aziz berkata, "alatan kekerasan" akan digunakan mantan perdana menteri itu bagi mengekang orang ramai.

Sejak bermula pada Rabu, peserta persidangan IACC menggesa Najib menjelaskan secara terbuka dana tersebut.

Pengerusi Gabungan Konvensyen Anti Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC) Manzoor Hasan sebelum ini berkata, Najib perlu berundur dan membenarkan siasatan AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang dipindahkan ke dalam akaun beliau diteruskan tanpa pengaruh tidak sepatutnya.

Beliau berkata, membiarkan Najib terus berkuasa boleh menjejaskan siasatan, walaupun penyokong perdana menteri menegaskan pengkritik hanya perlu menunggu hingga siasatan selesai.

"Dalam dunia yang ideal, kita mahu melihat perdana menteri terus kekal, dan siasatan berlaku. Tetapi saya fikir realitinya adalah jika mereka tidak meletak jawatan, proses penyelidikan boleh dipengaruhi dan boleh menjejaskan keseluruhan proses.


"Jika anda mengikut proses undang-undang biasa, apabila seseorang itu sedang disiasat, biasanya dia tidak perlu meletakkan jawatan supaya siasatan bebas yang bersih boleh berlaku," kata Manzoor kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di luar Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah ke-16 (IACC) di Putrajaya.

Apabila ditanya sama ada Najib perlu meletak jawatan, beliau berkata, "Ya, saya pasti akan berkata demikian bagi kepentingan siasatan yang adil."

Sebelum itu, Presiden Transparency International, Jose Ugaz berkata komitmen Malaysia untuk membasmi rasuah tidak boleh dianggap serius selagi tiada penjelasan diberikan terhadap dana berkenaan.

Malaysia juga katanya perlu memberikan jawapan terhadap dana berjumlah AS$700 juta yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

"Kita mahu melihat lebih banyak perkembangan, tetapi ia tidak mungkin berlaku ketika soalan mengenai AS$700 juta yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri belum dijawab," kata Ugaz.

Beliau berkata demikian pada acara pembukaan rasmi IACC di Putrajaya.

1,200 peserta daripada 130 negara menyertai persidangan anti rasuah antarabangsa itu sejak Rabu dan akan berakhir hari ini.

Semalam, Tunku Abdul Aziz berkata SPRM masih menyiasat kes itu dan semua pihak perlu menunggu suruhanjaya itu melengkapkan siasatan.

Beliau berkata SPRM "bebas sebagaimana yang anda kehendaki".



Iklan B (ii)







1 comment:

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...