Tuesday, 15 September 2015

Igauan Buruk Umno BN Kembali Lagi.. Saksikanlah


Bentuk gabungan parti pembangkang baharu akan diketahui dalam masa lebih kurang sebulan lagi, kata salah seorang perunding utamanya, yang yakin satu pakatan boleh dibentuk walaupun hubungan tidak berapa baik antara PAS, DAP dan parti baharu, Parti Amanah Negara (Amanah).

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, beliau yakin rundingan antara parti itu dengan PAS akan membuahkan hasil dalam usaha menjalinkan perikatan antara parti Islam itu dan semua parti pembangkang lain.

Rafizi berkata ini mungkin terjadi walaupun ramai yang percaya parti Islam tidak akan berpegang pada kata-katanya sebelum ini seperti dalam kes rang undang-undang hudud Kelantan dan krisis menteri besar Selangor.

"PAS sedar, ia demi kepentingan terbaik mereka sendiri, dalam memastikan akan wujud pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya. Jika mereka hendak melindungi Kelantan dan Terengganu, mereka tidak boleh berdepan pertandingan pelbagai penjuru.

"Pada ketika ini, dalam mesyuarat yang kami diadakan, terdapat komitmen bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya," kata Rafizi, sambil menambah PKR satu-satunya parti pembangkang yang sedang berunding dengan PAS.

"Rundingan akan berakhir tidak lama lagi. Tempoh masa untuk rundingan kami adalah 2, 3 minggu hingga sebulan, dan saya nampak ada jalan untuk kita bergerak ke hadapan," kata Rafizi pada satu forum bertajuk "Pakatan Rakyat 2.0: Adakah orang ramai akan kecewa 3.0?" di Kuala Lumpur malam tadi.


Ahli Parlimen Pandan itu juga melakarkan satu bentuk kerjasama baharu antara PKR, DAP, Amanah dan PAS yang mungkin wujud melalui salah satu daripada dua kemungkinan.

Pertama, sebuah gabungan rasmi dengan prinsip yang dipersetujui di antara keempat-empat parti. Atau kedua, sebuah pakatan pilihan raya antara satu gabungan parti dengan aliran fikiran yang sama (PKR, DAP dan Amanah) dan PAS.

Kedua-dua katanya, bertujuan mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru pada pilihan raya umum akan datang, yang menurut kajian dalaman PKR, akan membawa kepada kekalahan besar kepada PKR dan PAS.

Dalam senario sedemikian, simulasi PKR meramalkan parti itu akan kehilangan separuh daripada 28 kerusi Parlimen yang dipegangnya sekarang, PAS akan hanya tinggal satu atau dua daripada 21 kerusi ketika ini dan Amanah akan menang satu kerusi sahaja.

Hanya DAP akan dapat memenangi kira-kira 34 daripada 37 kerusi Parlimen yang didudukinya kini, kata Rafizi.

Walaupun PAS bersetuju dengan satu pakatan pilihan raya, ada kemungkinan antara 15 dan 20 kerusi masih tidak dapat diselesaikan dan ia mungkin menyaksikan PAS menentang Amanah atau PKR dan BN.

"Tetapi, sekurang-kurangnya, tidaklah kita akan berdepan dengan 100% pertandingan pelbagai penjuru dengan PAS di seluruh negara jika kita sudah berunding dengan mereka. Senario ini akan mengembalikan majoriti dua pertiga kepada Umno dan BN di Parlimen."

PKR dikritik penyokong pembangkang kerana mengajak PAS menyertai perbincangan untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu sedangkan ia sebelum ini dipersalahkan kerana mengakibatkan perpecahan Pakatan Rakyat pada Julai.

PAS berselisih faham dengan DAP berhubung rang undang-undang hudud Kelantan dan pilihan raya majlis tempatan pada 6 bulan pertama tahun ini.

Tahun lepas, hubungan dengan PKR tegang selepas beberapa pemimpin konservatif PAS menarik balik janji menyokong langkah PKR menukar menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Apabila pemimpin progresif mereka meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Amanah pada Julai, harapan tinggi yang sebuah pakatan pembangkang baharu akan dibentuk tanpa PAS.

Rafizi berkata, PKR terpaksa mengetepikan pengalaman pahit yang lalu untuk berunding dengan PAS bagi membentuk satu pakatan baharu dan supaya ia membenarkan calon Amanah bertanding di kerusi miliknya.

Kedua-dua parti tidak akan dapat duduk bersama dan berunding kerana apa yang terjadi antara pemimpinnya, katanya.

"Amanah tidak boleh menang jika ia berdepan PAS dan Umno dalam pertandingan kerusi Parlimen. Oleh itu, PAS perlu benarkan calon Amanah bertanding di kerusi yang kami fikir Amanah boleh menang," kata naib presiden PKR itu.

Seorang lagi anggota panel forum, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, Amanah boleh memberi saingan sengit kepada Umno di negeri selatan tanah air seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pua berkata, PAS setakat ini tidak mampu mengambil kesempatan ke atas sentimen anti-Umno yang kukuh di kawasan tersebut kerana budaya politik konservatifnya yang tidak menarik minat pengundi Melayu, terutama di Johor.

"Hanya pada pilihan raya umum ke-13, PAS mencapai kemajuan kerana ia dipimpin golongan progresif seperti (bekas naib presiden) Salahuddin Ayob.

"Kami fikir, Amanah mempunyai lebih banyak peluang di negeri-negeri selatan berbanding PAS," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...