Tuesday, 29 September 2015

DAP Buat Onar Lagi?

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tidak akan minta maaf atau menarik balik khutbah Aidiladha yang didakwa memfitnah DAP.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menegaskan, kandungan teks khutbah berkenaan tidak langsung berbaur fitnah, sebaliknya merupakan nasihat kepada umat Islam supaya bersatu.

“Kita tak akan minta maaf kerana kita bercakap hal agama. Hal agama ini (pihak luar) tak boleh campur tangan, apatah lagi dalam khutbah,” tegasnya.

“Kita tak akan tarik balik khutbah. Kita ada hak untuk menyatakan tentang kebenaran Islam,” katanya, lapor portal Antarapos.

Abdul Rahman membidas DAP kerana memberikan kata dua kepada JAIP tanpa menghayati kandungan khutbah Aidiladha itu.

Katanya, DAP sepatutnya memohon maaf terlebih dahulu kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Khutbah ini merupakan nasihat, nasihat daripada orang Islam supaya semua orang Islam bersatu atas nama Islam, bukan bersatu dengan pihak yang mana mencabar tentang Islam, misalnya hudud. Hudud sebahagian daripada Islam.

“Sepatutnya mereka (DAP) minta maaf dulu kerana mereka menyentuh hal-hal agama Islam. Sepatutnya mereka sudah lama minta maaf,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin DAP negeri dan Pusat menyuarakan tidak puas hati dan bantahan dengan kandungan khutbah itu yang didakwa memburuk-burukkan parti itu.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilaporkan berkata, pihaknya akan menyaman JAIP jika ia enggan memohon maaf dalam tempoh lima hari di atas kandungan khutbah Aidiladaha itu.

Menurut teks khutbah Jabatan Mufti Pahang itu, umat Islam di negara ini berpecah kerana ideologi politik berbeza.

“Perpecahan ini ialah kerana orang Islam lebih mengutamakan parti politik seperti UMNO, Pas, PKR dan juga Gerakan Harapan Baru, lebih daripada Islam.

“Malahan terdapat segelintir umat Islam yang menyertai DAP, yang jelas bertentangan dengan Islam,” menurut teks khutbah itu.

Dalam mempertahankan teks khutbah itu, Abdul Rahman membayangkan bahawa ahli DAP yang beragama Islam yang mempertahankan campur tangan parti itu dalam hal kepentingan Islam boleh dianggap sebagai syirik.

“Bila duduk dalam sebuah parti bukan Islam, mereka akan mempertahankan apa saja walaupun telah dinasihatkan yang baik. Kita nasihatkan orang Islam supaya bersatu. Apakah itu salah?,” katanya.

Abdul Rahman juga tidak gusar dengan ugutan DAP untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kita ada satu peraturan (iaitu) apa-apa fatwa yang dikeluarkan mufti tidak boleh dibawa untuk tindakan undang-undang. Kalau sesuatu perkara itu menepati syarak, tak ada sebab (diambil tindakan) dan kita bersedia untuk menerima apa-apa tindakan,” tambah Abdul Rahman.

“Terpulanglah kalau mereka (ahli DAP beragama Islam) nak cuba cabar agama Islam sendiri, institusi agama Islam sendiri,” lapor portal itu lagi.




2 comments:

  1. Bersatu utk kutuk dap sja tu tak betul. Gerakan, mca malah umno sdri pun tak setuju hudud mcm dap. Pahang setuju ke sokong hudud? Pahang kenapa tak kaji hudud dan laksanakan di pahang? Tak ada kuasa ker?

    ReplyDelete
  2. Mufti Pahang kena faham antara fakta dan auta. Mufti jelas auta dalam khutbah dengan menhyatakan DAP anti Islam dan anti Melayu. Apa fakta yang ada pada Mufti, sila bawa DAP ke Mahkamah jika awak betul. Mufti bercakap lidah UMNO yang sering menuduh DAP anti Melayu dan Islam. Itu propoganda politik. Mufti bercakap atas platform agama dan knnhutbah pula itu. Adakah boleh berbohong dalam khutbah? Apa hukum Islam kalau membohong atau memperdayakan kaum untuk kepentingan politik suku kaum. Sepatutnya Mufti kena main peranan menyatupadukan rakyat dan tidak terpengaruh dengan dakyah dan propoganda politik.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...