Wednesday, 23 September 2015

Berita Dari Selangor Ini Mungkin Disorok..


Dalam rayuan untuk meringankan hukuman selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan rasuah terhadapnya, bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, beliau akan memberikan rawatan pergigian percuma jika dia dibenarkan melakukan khidmat masyarakat.

"Saya akan menyediakan penjagaan pergigian di kawasan saya atau mana-mana bahagian di Selangor," katanya dari kamar tertuduh kepada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

Dr Khir berkata sudah menyediakan rawatan sedemikian kepada rakan-rakan dan saudara-maranya walaupun aktif berpolitik.


Doktor gigi bertauliah itu merayu untuk hukuman yang dikenakan terhadapnya daripada hukuman penjara selepas mahkamah tertinggi menolak rayuan sabitan rasuah beliau berhubung pembelian sebidang tanah dan sebuah banglo semasa memegang jawatan menteri besar Selangor.

Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Dr Khir pada Disember 2011 dan ia dikekalkan Mahkamah Rayuan.

Dr Khir, seorang doktor gigi yang terlatih, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Disember 2010, atas tuduhan rasuah yang melibatkan pembelian dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam. 

Beliau dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, plot dan rumah tersebut di No 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui salah seorang pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan tuduhan terhadap Dr Khir itu juga boleh menjatuhkan hukuman berbeza dan bekas ahli politik itu kemungkinan berdepan hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam yang mewakili Dr Khir, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bagaimanapun, sebelum ini mencadangkan khidmat masyarakat dan bukannya hukuman penjara.

Dr Khir berkata beliau tidak berniat untuk melakukan jenayah itu dan dia tidak mengetahui soal perundangan.

Dr Khir berkata beliau tidak menggunakan wang rakyat untuk membeli hartanya itu.

"Saya mengisytiharkan harta saya kepada perdana menteri dan Sultan Selangor semasa memegang jawatan menteri besar Selangor," katanya. 

Katanya, beliau sudah bekerja keras selama 8 tahun sebagai menteri besar dari 2000 untuk membangunkan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat. 

"Tetapi dalam tempoh 5 tahun yang lalu saya hidup dengan stigma negatif apabila pertuduhan rasuah dikenakan terhadap saya." 

Shafee berkata anak guamnya yang berumur 50 tahun, melakukan kesalahan pertama dan bapa kepada 6 orang anak.

"Ini adalah satu jenayah bukan bersifat ganas dan dia tidak memahami keadaan apabila dia melakukan jenayah itu," kata peguam Umno. 

Shafee berkata hartanah itu tidak boleh dikembalikan kerana ia sudah dicaj kepada bank. 

"Dia sepatutnya hanya dibenarkan untuk membayar perbezaan suapan itu," katanya sambil menambah bank itu juga akan mengalami kerugian jika harta itu dikembalikan kepada pemilik asal. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud berkata, Mahkamah Rayuan menggunakan prinsip yang betul bagi menjatuhkan hukuman terhadap perayu dan ia perlu dikekalkan. 

Rakannya Dusuki Mokhtar berkata perayu sudah menyalahgunakan kedudukannya ketika menjawat jawatan sebagai pegawai tertinggi di Selangor.

"Satu hukuman berat mesti dikenakan untuk memberi pengajaran mengenai gejala rasuah," kata Dusuki, salah seorang daripada panel 5 hakim diketuai Tan Sri Zukefli Ahmad Makinudin yang menangguhkan penghakiman hukuman hingga 29 September bagi memberi masa kepada mahkamah meneliti penghujahan.

Sebelum itu, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel 5 hakim itu, berkata rayuan Dr Khir ditolak dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. 

"Semua intipati pertuduhan itu berjaya dibuktikan, termasuk sama ada dia adalah seorang penjawat awam," katanya kepada mahkamah yang padat hari ini.

Dr Khir merupakan menteri besar Selangor yang kedua menghadapi tuduhan rasuah selepas Datuk Harun Idris 40 tahun lalu.


Iklan B (ii)







1 comment:

  1. Bila Allah dah jatuh kan bala kepada nya (penjara) barulah nak ingat fakir miskin. Masa dia duduk ditahta singgahsana pemerintahan Negeri, tak berfikir dan tak ingat pulak pada fakir miskin. Benar lah kata Allah "Wa ilahinnushur" sedkit sangat (dikalangan hambanya) yang bersyukur.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...