Sunday, 27 September 2015

Ahli Umno Kecam Tindakan Jamal Md Yunos

Tidak semua ahli Umno setuju dengan Datuk Jamal Md Yunos dan perhimpunan baju merahnya.Sesetengah daripada mereka mengecam Jamal yang berterusan melakukan provokasi menyerang peniaga Jalan Petaling, menyifatkannya satu tindakan oportunis yang hanya menyebabkan imej Umno tercemar.

Beberapa ahli akar umbi membidas tindak tanduk Jamal yang dianggap bersikap pentingkan diri sendiri untuk meraih sokongan politik (political milage) dengan menggunakan isu sensasi.

"Jamal ini saja menangguk di air keruh. Dia menggunakan isu sensasi untuk 'political milage' dia," kata ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub kepada The Malaysian Insider.

Faizal berkata ini bukan kali pertama ketua Umno Bahagian Sungai Besar tersebut cuba menjadi hero, malah sebelum ini juga pernah lantang mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menggesa beliau melepaskan jawatan timbalan presiden parti.

"Sebelum ini, kes Muhyiddin, dia juga berlagak hero. Sekarang isu baju merah pula," katanya.

Muhyiddin, yang sebelum ini timbalan perdana menteri, digugurkan daripada Kabinet pada Julai lalu kerana secara terbuka mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta sumbangan politik AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Semasa himpunan baju merah 16 September lalu, Faizal, 35, tidak menyertainya kerana melihat penganjuran itu lebih bertujuan mempertahankan Najib, berbanding maruah orang Melayu.

"Kalau nak Umno dihormati masyarakat Malaysia, pemimpin Umno perlu dihormati ahli dulu, kemudian baru dihormati orang Melayu.

"Selepas itu, barulah kaum lain akan menghormatinya," katanya yang menganggap Najib sendiri tidak dihormati ahli Umno, serta pemimpin lama yang sudah tidak menyokongnya seperti negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perhimpunan itu, atau nama rasminya Himpunan Rakyat Bersatu, diadakan sebagai bertindak balas kepada perhimpunan Bersih 4 hujung Ogos lalu, yang antara lain mendesak pembaharuan demokrasi dan peletakan jawatan Najib.

Kumpulan pro Umno yang menganjurkan perhimpunan baju merah itu mendakwa Bersih 4 menghina maruah orang Melayu, tetapi perhimpunan mereka yang kemudiannya bertukar perkauman dengan gesaan dibuat supaya sekolah Cina ditutup dan ungkapan seperti 'Cina babi' dilontarkan.


Jamal sekali lagi mencetuskan kontroversi minggu ini apabila beliau berkata akan ada satu lagi perhimpunan di Jalan Petaling semalam.

Beliau kemudiannya menafikan menggesa satu rusuhan diadakan, mendakwa kenyataan beliau disalah petik. Beliau ditangkap pada Jumaat dan dibebaskan malam tadi selepas kenyataannya diambil.

Sementara itu, ahli Pemuda Umno Bahagian Tenggara, Asrul Esreen Mohd Salleh, 39, menggesa supaya Jamal dan kerajaan mencontohi kejayaan peniaga di Jalan Petaling, di mana urus tadbir berjalan dengan baik dan tiada birokrasi.

"Jadikan perkara positif di Jalan Petaling boleh dicontohi generasi muda untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Contohi gabungan dan persatuan peniaga orang Cina, contohi urus tadbir peniaga bawahan, kurangkan birokrasi, paksa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bantu peniaga Melayu yang baru hendak naik," kata Asrul kepada The Malaysian Insider.


Iklan B (ii)




1 comment:

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...