Thursday, 20 August 2015

Ikuti Pendedahan Mengejutkan Dari Mat Sabu


Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'.Digelar ‘pengkhianat parti’ antara cemuhan yang diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu selepas beliau menubuhkan Gerakan Harapan Baru. 

Bagaimanapun, bagi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, beliau ada sebab tersendiri untuk meneruskan langkah politiknya bersama Harapan Baru yang juga bermakna akan ‘menguburkan’ perjuangannya hampir 40 tahun bersama Pas.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dan MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI serta juru foto ROSLI TALIB bersama Mat Sabu bagi memahami hala tuju beliau sebagai Pengerusi Harapan Baru serta perasaan beliau mengenai hubungannya dengan Pas yang kini tinggal sejarah. 

Kenapa hendak tubuh Harapan Baru? 

Pada abad 15 Hijrah, dikatakan abad kebangkitan semula Islam dan umatnya. Berlaku dua peristiwa besar di awal abad. Pertama Rusia masuk Afghanistan dan munculnya mujahidin atas nama Islam mereka lawan Rusia. 

Kedua, revolusi Islam di Iran yang meletakkan tidak barat dan tidak timur, Islam yang terbaik. Mujahidin berjaya lawan Rusia dan Rusia berundur dari Afghanistan. 

Tapi mujahidin gagal mentadbir. Antara kumpulan-kumpulan mujahidin berlaku pergaduhan dan pertempuran yang ada pihak mengatakan rakyat Afghanistan terbunuh lebih banyak daripada ketika Rusia menyerang. 

Kegagalan itu menyebabkan munculnya Taliban yang memerintah dengan kasar dan tiada ulama muktabar dirujuk. Maka berlakulah pelbagai bentuk hukuman atas nama syariat dengan berbagai-bagai cara termasuk mengebom tempat sejarah seperti patung Buddha. 

Perbuatan pemerintahan Taliban itu mengundang tentangan semua pihak termasuk Barat yang amat curiga dengan gerakan Islam. Akhirnya Taliban dijatuhkan oleh AS, sekutunya dan negara Islam yang lain. 

Kononnya diberikan demokrasi di Afghanistan tetapi pertelagahan sehingga hari ini walaupun dua presiden sudah berlalu. Keamanan tidak berlaku di sana. Antara kumpulan Islam bertelagah menyebabkan negara huru-hara, rasuah begitu tinggi dan kemiskinan berleluasa. Iran terus membina kekuatan dalaman dan luaran. 

Di Timur Tengah berlaku ‘Arab Spring’ di mana rejim-rejim diktator jatuh, termasuk di Tunisia dan Mesir. Ikhwanul Muslimin keluar daripada pengharaman terlibat dalam pilihan raya dan menang dalam pilihan raya di peringkat parlimen dan presiden. Ikhwan juga memerintah lebih kurang satu tahun lepas itu, ditumbangkan oleh rejim tentera. 

Sebelum itu, golongan NGO membuat demonstrasi menentang pemerintahan Ikhwan. Di Timur Tengah muncul kumpulan-kumpulan kecil. Mula-mula dianggap pertembungan sesama mazhab di Syria, tetapi ia berterusan kepada pertembungan antara kumpulan-kumpulan dan satu kumpulan mengkafirkan kumpulan yang lain, dengan panggilan takfiri. 

Sehingga ada tujuh lapan kumpulan di Syria, berbelas kumpulan di Iraq bertelagah satu sama lain dan mengkafirkan satu kumpulan lain yang mereka tidak suka. Timur Tengah dilanda huru hara, di Iraq, Syria, Mesir, Tunisia, Yaman, Somalia, Pakistan, Afghanistan. Boleh dikatakan dunia Islam berada dalam keadaan berkeceramuk, penyakit takfiri ini melanda gerakan Islam. 

Kalau tidak dikawal ia juga akan melanda parti Islam di Malaysia. Walaupun belum lagi parah , tetapi bunga-bunganya telah ada. Oleh itu saya merasakan gerakan Islam perlu membuat tajdid (perubahan) di Malaysia dan seluruh dunia. 

Maka selepas muktamar Pas (Jun lalu), apabila sekumpulan aktivis ditolak dalam muktamar melalui perancangan yang rapi, maka ia menjadi satu peristiwa yang mendatangkan satu perkara baru. Iaitu kami merasakan perlu untuk membuat satu pembaharuan kepada parti Islam. Begitulah juga dengan gerakan Islam yang lain termasuk Ikhwan di Mesir dan di mana-mana supaya Islam ‘rahmatan lil alamin’ itu dapat diangkat kembali. 

Dengan dasar Islam dikekalkan tetapi pendekatan kita akan dibuat atas sifat rahmatan lil alamin. Tajdid ini perlu dan barangkali 10 hingga 50 tahun lagi Harapan Baru ini perlu kepada tajdid baru. 

Tetapi buat masa sekarang kami (Harapan Baru) perlu kepada pembaharuan dalam pendekatan Islam itu kepada orang ramai khasnya kepada bukan Muslim. 

Maka inilah yang lahirnya Harapan Baru dan Harapan Baru hanya nama sementara dan darinya akan lahir sebuah parti yang sifatnya inklusif. Kita anggap tajdid kepada parti Islam yang juga diperlukan di seluruh dunia sekarang ini. 

Idea penubuhan Harapan Baru daripada siapa? 

Saya telah pun melihat perkara ini ketika saya berada dalam parti Islam lagi. Munculnya unsur-unsur takfiri yang meletakkan ini kumpulan liberal, ini munafiq haraki, ini peguam neraka, ini peguam syurga. Gelaran-gelaran itu mempunyai unsur awal takfiri yang kalau dibiarkan ianya merbahaya kepada parti, umat Islam dan negara. 

Oleh itu, langkah untuk mengelakkan perkara ini salah satunya perlu tajdid dan pembaharuan. Inilah kita kemukakan Harapan Baru di samping kita terus merujuk kepada pandangan-pandangan tokoh terkenal seperti Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb dan Maududi. 

Dalam masa yang sama kita turut merujuk kepada ulama kontemporari seperti Yusuf Qardawi, Tariq Ramadan dan pandangan dari Barat dan Timur, yang perlu kita rujuk, di samping pandangan pada 14 Hijrah. 

Dan tajdid perlu dibuat sebab satu perkara yang cukup penting saya lihat ialah akhlak Islam iaitu intergriti dilaksanakan oleh orang-orang bukan Islam. Contohnya kita ambil orang Umno, Pas yang ucap dua kalimah syahadah dan saya tidak kategorikan dasar pegangan politik mereka. 

Kalau kita hendak melihat negera yang paling rendah rasuah semuanya negara bukan Islam, di Sweden, Finland, Denmark, Singapura, New Zealand. Sedangkan negara Islam yang keluarkan graduan agama itu antara paling tinggi rasuah. Sifat integriti ada pada orang Jepun dan Barat tetapi tidak ada pada orang Islam. 

Bagi saya perjuangan mencantumkan semula akidah dan akhlak ini menjadi keutamaan di abad ini, iaitu budaya Islam seperti era kerajaan Umar Abdul Aziz. Dengan kelemahan yang ada pada saya, saya nampak usaha ini perlu dipertegaskan kembali. 

Kita lihat integriti Tok Guru Nik Abdul Aziz, beliau dipuji oleh semua pihak tetapi di sudut pemerintahan kita belum sampai ke tahap integriti tertinggi. Kalau dibandingan dengan mereka yang bukan beragama Islam, intergriti mereka adalah amalan Islam seperti di negara Barat, maju, yang menyebabkan mereka meninggalkan jauh negara Islam dan orang Islam. 

Sedangkan ajaran Islam paling tinggi dan mulia tetapi diamalkan oleh orang lain. Usaha ini mesti diperteguhkan. 

Teruk sangatkah Pas sampai hendak tubuh Harapan Baru? 

Sebelum jadi seperti negara Timur Tengah, amalan takfiri, dan sebagainya biar kita tonjolkan kepada masyarakat untuk membuat pembaharuan. Supaya ia tidak sampai ke peringkat parah, seperti mana yang berlaku di Syria, Iraq. Sehinggakan satu kumpulan dapat menyembelih satu kumpulan yang lain, menjual wanita di pasar, mengebom rumah ibadat orang lain. 

Kita belum sampai ke peringkat itu. Jadi biarlah kita buat satu tajdid, bila satu keadaan belum parah lagi. Kalau tengok keadaan yang berlaku di Timur Tengah sekarang ini entah berapa tahun mereka hendak keluar daripada kemelut yang ada. 

Harapan Baru bawa konsep baharu?

Ya, bahkan saya menyeru kepada gerakan Islam yang lain di seluruh dunia, kita bincang supaya ada pembaharuan. Tidak kira sama ada di Jordan, Mesir, (bawa model baharu untuk disebarkan). Misalnya di Mesir, bila Ikhwan memerintah macam juga di sini, syariat dalam pengertian menghukum itu ikut yang awal, bukan keadilan sosial. 

Sedangkan Nabi Muhammad SAW menekankan syariat dan keadilan sosial. Contohnya, satu perlima rampasan perang digunakan semaksimum mungkin, hingga Nabi tiada harta ditinggalkan demi keadilan sosial. 

Sedangkan di negara orang Islam, keadilan sosial tidak menjadi agenda utama. Kita ambil contoh Sweden, pelarian apabila didaftar sahaja sebagai pelarian mereka diterima di Sweden seperti ada hak untuk hidup, berlindung, rumah dan sebagainya disediakan. 

Dibandingkan negara Islam melayan pelarian, dan bagaimana Nabi Muhamamad di Madinah menjaga orang yang datang ziarah termasuk diberi makan oleh Nabi di Suffah, keluarganya dan para sahabat. Model sosial ini kita lihat dalam gerakan Islam kurang dititik beratkan kalau dibandingkan dengan NGO dan negara Barat, yang praktiskan sebahagian ajaran Islam. 

Inilah yang kita akan utarakan, saya sudah sebut dalam muktamar. Kenapa apabila isu kemiskinan orang mencari Arutchelvan (Parti Sosialis Malaysia), orang tidak mencari kita, ulama, ustaz. Apabila sebut isu kekotoran orang cari Wong Tack, kenapa orang tidak mencari golongan Islam. 

Sedangkan Islamlah agama yang menitik beratkan soal kebersihan, alam sekitar. Perkara inilah yang perlu kita utarakan. Sebab itu Harapan Baru mengundang semua pihak termasuk Abim, Ikram, aliran kiri, kanan muslim dan non muslim memberi pandangan dan terlibat, dan kita kekalkan dasar Islam, jadi bersifat inklusif ini yang kita tekankan. 

Harapan Baru sebarkan dasar Islam yang lebih inklusif. Adakah ini bermakna parti Islam di negara ini gagal laksanakan? 

Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Saya kata kita perlu reform kerana kita tidak tekankan soal keadilan sosial, lebih kepada syariat dalam bentuk hukum. Itu bukan kita kena ketepikan. Tetapi soal ini, kita lihat A Samad Said kenapa pilih DAP, Aziz Bari pilih DAP? Di antaranya soal integriti. 

Intergriti ini adalah ajaran Islam yang paling tinggi, yang dibuat oleh pemerintah sama ada Nabi Muhammad, Umar al-Khattab, Saidina Ali dan lain-lain. Di sudut membina integriti pemerintah, inilah yang kita lihat gerakan Islam kurang menekankan. Bahkan atas nama Islam kita lihat, di Malaysia bila mendapat kuasa terlibat dalam skandal lembu, Tabung Haji dan penyelewengan itu dan ini. 

Kalau dibandingkan dengan negara bukan Islam yang dahulunya buruk tetapi mereka mengamalkan nilai Islam. Ini yang kita hendak utarakan kembali. Itu yang kita hendak tekankan semula. Saya pun sudahtunggu lama perkara ini. Saya ingat dalam 10 ke 15 tahun saya cakap mengenai perkara ini. Saya nampak mesti ada wadah baru untuk jelmakan perkara ini. 

Kalau ‘reform’ tidak boleh dengan Pas? Mengapa perlu tubuh platform lain? 

Saya tidak nampak boleh. Saya nampak pelantikan Majlis Syura Ulama Pas tidak ke arah untuk membuat reform. Tetapi cadangan penubuhan parti ini bukan dari saya. Saya baru balik dari Timur Tengah dan rakanrakan saya berkumpul di Johor. Mereka panggil saya untuk bincang dan merekalah yang cadangkan penubuhan wadah baru dan saya lihat ada keperluannya. 

Maknanya idea ini sebenarnya sudah lama diusahakan ketika masih bersama Pas? 

Rungutan tidak berpuas hati terhadap perjalanan gerakan Islam di dunia ini memang dah lama. Malah, saya dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mempunyai pandangan yang sama dalam isu politik antarabangsa. Cuma dalam pendekatan masyarakat awam ini barangkali di situ ada sedikit perbezaan. 

Sebelum ini anda kata Pas sudah tidak relevan, kenapa sebelum bertanding relevan, selepas kalah tidak? 

Saya tidak bercakap seperti itu. Apabila saya kata perlu reform pergerakan Islam, mereka (wartawan) kata ia bermaksud Pas tidak relevan. Tafsiran wartawan, bukan dari mulut saya. Saya tidak menyebutnya. Saya kata semua pergerakan Islam perlu reform termasuk Pas. 

Adakah DAP punca perbalahan dalam Pas sehingga wujudnya Harapan Baru? 

Saya tidak mahu komen itu, bohong semua itu. Itu pembohongan yang nyata, orang yang bankrap politik yang cakap begitu. 

Harapan Baru nak tarik siapa? 

Tidak kira kita akan tarik semua orang, termasuk ahli Pas, Umno, tiada parti dan non muslim. Malah, kami dapat sambutan yang amat baik dari kalangan orang bukan Islam. Kita tidak letak sasaran angka, tetapi saya yakin ramai (sokongan). Anak-anak muda juga selalu bertanya bila mahu jadi parti. 

Jadi bagaimana anda menerangkan kepada ahli Pas yang mungkin kecewa dengan penubuhan Harapan Baru? 

Tidak apa, jiwa Pas saya lagi tinggi. Saya hampir 40 tahun dalam parti. Orang kata pengkhianat parti tetapi hampir 40 tahundalam parti. Mereka (ahli Pas) faham, insya-Allah. Tengoklah bila parti daftar nanti kita umpama buka ‘pintu bah’ untuk semua orang. 

Adakah Harapan Baru bakal senasib dengan parti serpihan Pas yang lain?

Tidak sebab parti itu jalankan kerjasama dengan Umno. Misalnya Berjasa dengan Umno, Hamim juga dengan Umno. Kami tidak. Kami bekerjasama dengan pembangkang. 

Sebagai ahli Pas yang telah menyertai parti itu sejak 1978, bagaimana anda melihat mengenai isu bai’ah dalam Pas? 

Isu bai’ah ini saya tidak mahu ulas dari sudut hukum hakam sebab saya bukan berlatar belakang agama. Saya berpandu kepada pandangan Mufti Perlis, Mufti Pulau Pinang dan pandangan ulama-ulama luar dan sebagainya. Jadi, saya pandu pandangan mereka itu sebab saya sendiri tidak mahu pandangan peribadi sebab saya bukan dari bidang agama. 

Selepas Harapan Baru ditubuhkan, adakah anda ada menerima sebarang ugutan atau cemuhan? 

Ya, hampir setiap hari. Tetapi saya sudah ‘mangli’ (lali). Macam-macam gelaran saya terima. Paling teruk saya digelar ‘anjing DAP’. Kebanyakannya yang mengecam itu tiada nama, mereka berselindung. Tetapi saya tiada masalah dengan kecaman itu kerana saya meletakkan kebergantungan tinggi kepada ALLAH serta yakin dengan perjuangan. 

Bagaimana hubungan anda dengan pemimpin Pas yang menang dalam muktamar lalu? Masih berhubung? 

Saya tidak tumpu kepada itu. Saya tumpu kepada usaha bertemu orang ramai sama ada Islam atau bukan Islam untuk minta sokongan dan pandangan. Ini yang saya buat sekarang. 

Ada tak ahli atau pemimpin Pas yang mahu pujuk anda kembali ke parti itu? 

Tiada. Tetapi bagi saya Pas telah meninggalkan satu perjuangan yang besar. Saya nampak jasa Pas lebih banyak kepada saya berbanding jasa saya kepada Pas. Saya berterima kasih untuk itu tetapi saya berpandangan perlu ada wadah baru. ~sinar harian



Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...