Thursday, 6 August 2015

Lagi Pemimpin Umno Berpaling Tadah Dalam Isu 1MDB?


Lagi Pemimpin Umno Berpaling Tadah Dalam Isu 1MDB? Bimbang pasukan petugas khas menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilihat bagai tidak bertaring, seorang pemimpin Umno menggesa Putrajaya memastikan ketiga-tiga agensi penguatkuasaan yang terlibat terus memberi tumpuan kepada usaha mendedahkan rasuah yang didakwa dalam syarikat sarat hutang itu.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir meminta Putrajaya mengkoordinasi pengukuhan semula 3 agensi terlibat - Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, perbalahan antara 3 agensi penguatkuasa itu perlu dihentikan dan mereka harus menumpukan kepada skop siasatan mereka.


Ini berikutan penangkapan dan soal siasat ke atas pegawai SPRM dan Jabatan Peguam Negara oleh  polis pada Sabtu dan serbuan ke atas rumah dan pejabat salah seorang kakitangan SPRM.

Sebelum itu, pasukan petugas itu melihat pertukaran kepada salah seorang anggota utamanya apabila Tan Sri Abdul Gani Patail tiba-tiba diganti sebagai peguam negara.

"Saya minta pasukan petugas khas ini dikoordinasikan semula supaya tidak timbul perbalahan antara 3 agensi penguatkuasaan ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Katanya, situasi dihadapi 3 agensi itu sekarang dilihat menimbulkan polemik tidak sehaluan.

"Mereka perlu kukuhkan kerjasama dan jangan bawa polemik kononnya PDRM, SPRM dan BNM seolah-olah nampak tidak sehaluan.

Lagi Pemimpin Umno Berpaling Tadah Dalam Isu 1MDB? 

"Polis dilihat memberi tekanan kepada SPRM dan BNM, seolah-olah mereka tidak bersama dengan kerajaan," katanya.

Pasukan petugas khas tersebut ditubuhkan bagi menyiasat 1MDB dan dakwaan yang berbilion ringgit dipindahkan daripada syarikat berkaitan dana pelaburan negara itu ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

The Wall Street Journal (WSJ) dan laman web pemberi maklumat Sarawak Report melaporkan awal bulan lalu, sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) didakwa dipindahkan dari dana milik negara ke dalam 2 akaun bank di bawah nama Najib di AmBank pada awal 2013.

Najib menafikan mengambil wang daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi, tetapi tidak secara langsung menjawab soalan berhubung pemindahan dana itu.

Pada Isnin, SPRM mengumumkan RM2.6 bilion dalam akaun Najib bukan dari 1MDB, tetapi merupakan sumbangan derma politik.

Seolah-olah berbeza daripada mandat asal pasukan petugas itu, SPRM juga mengumumkan ia masih meneliti bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd, manakala polis meneliti 1MDB. BNM pula, dimaklumkan sedang menyiasat kaedah kewangan dan prosedur.

Selepas perubahan mendadak di pejabat peguam negara itu pula, bank pusat menafikan khabar angin mengatakan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz meletak jawatan.

Aziz berkata, sekiranya ini berterusan, ia bakal menyebabkan rakyat tidak lagi percaya kepada institusi penguatkuasaan dalam negara kita.

"Kita takut krisis keyakinan itu akan membuatkan rakyat tidak percaya kepada institusi penguatkuasaan dalam negara.

"Akhirnya rakyat akan memilih bergerak ke jalanan.

"Kita tidak mahu apa yang jadi di Tunisia, Mesir, Libya dan Iraq terjadi di Malaysia, kerana rakyat tertekan dan hilang kepercayaan dengan institusi," katanya.

Beliau berkata, tidak menjadi masalah jika rakyat tidak percaya dan hilang keyakinan kepada parti politik, tetapi ia suatu yang membimbangkan jika sistem dalam negara juga terjejas.

"Tidak percaya kepada politik tidak apa lagi. Tidak percaya kepada agensi pihak berkuasa yang menjaga keamanan dan ketelusan, ini yang sangat bahaya.

"Jangan sampai rakyat ke tahap tidak percaya kepada sistem yang ada ini. Saya takut akan membawa hingga rakyat hilang pertimbangan," katanya.

Beliau menyeru supaya Putrajaya mengambil tindakan segera bagi menghalang keadaan daripada menjadi lebih buruk.


Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...