Wednesday, 26 August 2015

Bukti BERSIH 4.0 Dapat Sambutan Hangat Rakyat


Bukti BERSIH 4.0 Dapat Sambutan Hangat Rakyat. Orang ramai daripada pelbagai lingkungan umur yang akan menyokong perhimpunan Bersih 4 pada minggu ini beratur panjang di hadapan pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya hari ini dengan tujuan untuk membeli t-shirt kuning Bersih.

Rata-rata yang hadir beratur pada petang tadi membeli lebih daripada sehelai t-shirt sebagai sebahagian persediaan menyertai perhimpunan itu.

Bagi Audrey Wan, 75, beliau membeli 10 pasang t-shirt Bersih untuk dirinya dan rakan-rakan.

Kata warga emas itu, mereka akan turut menyertai perhimpunan itu nanti walaupun beliau mengalami sakit osteoporosis.
Wan juga menjangkakan akan terdapat ramai yang hadir di perhimpunan itu pada minggu ini.

"Mereka (rakyat) perlu bersuara demi masa depan Malaysia," katanya ketika diminta pandangannya.

Sementara itu, C K Yong, 40, yang ditemubual ketika sedang beratur untuk membeli t-shirt itu berkata, beliau serta ahli keluarganya akan turun menyertai perhimpunan tersebut hujung minggu ini.

"Kira-kira 20 orang ahli keluarga saya akan turut sertai Bersih 4. Termasuk adik perempuan saya, isteri, sepupu-sepupu saya."

Yong berkata beliau datang membeli pada saat-saat akhir selepas dimaklumkan oleh adik perempuannya yang t-shirt Bersih hampir kehabisan stok.

Mohd Azwa Sapian Suri, 46, pula berkata beliau membeli pada saat-saat akhir kerana pada mulanya sangsi perhimpunan itu akan dapat diteruskan.

"Tetapi, saya datang hari ini belikan t-shirt untuk kawan saya."

Azwa yang merupakan pesara tentera itu berkata, beliau ingin menyertainya kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran negara sedia ada.

Bukti BERSIH 4.0 Dapat Sambutan Hangat Rakyat

Bagi seorang lagi penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Sita, beliau bercadang membeli 8 helai t-shirt Bersih walaupun tidak bercadang menyertai perhimpunan itu kali ini.


Kata peniaga berusia 40 tahun itu, beliau membeli t-shirt itu bagi menyatakan sokongannya terhadap perjuangan Bersih 2.0.

"Kami menyokong dan menyertai perhimpunan Bersih sejak Bersih 2 dan 3," katanya.

Eric Teh, 39, dari Setapak pula datang ke pejabat Bersih 2.0 hari ini semata-mata untuk membeli t-shirt itu sebanyak 12 helai.

Katanya yang menghabiskan kira-kira 2 jam menunggu untuk membeli t-shirt itu, beliau sudah membuat beberapa persiapan sekiranya mereka diserang pihak berkuasa ketika perhimpunan.

"Jangan membangkitkan kemarahan pihak berkuasa, kena berada dalam kumpulan," katanya berdasarkan pengalaman menyertai perhimpunan Bersih sebelum ini.

Namun, beliau yang akan hadir pada perhimpunan hujung minggu ini bersama lebih 20 orang rakannya berkata, beliau masih belum memutuskan sama ada untuk bermalam atau tidak di kawasan sekitar Dataran Merdeka itu nanti.

Difahamkan petang tadi, sebanyak 2,000 helai t-shirt dihantar ke pejabat Bersih 2.0 dan pada malam ini, dijangka 4,000 helai t-shirt lagi akan tiba.

Manakala, 2,000 t-shirt lagi dijangka sampai ke pejabat itu pada tengah hari esok.

Awal petang tadi dilaporkan lebih 35,000 helai t-shirt Bersih habis terjual pada harga RM20 sehelai.


Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...