Thursday, 23 July 2015

Lagi Berita Menjengkelkan Rakyat Malaysia..


Lagi Berita Menjengkelkan Rakyat Malaysia. Selepas pendedahan 2 ahli Parlimen, Tony Pua dan Rafizi Ramli, serta pemilik The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong disekat ke luar negara mungkin disebabkan kritikan mereka berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB), seorang lagi pemimpin pembangkang dan 4 aktivis turut menerima nasib sama.

The Malaysian Insider difahamkan, Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang, aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria Chin Abdullah, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim turut mendapati perlu merujuk kepada Jabatan Imigresen jika mahu meninggalkan Malaysia.

Semakan menggunakan nombor kad pengenalan mereka melalui laman Semakan Status Kawalan Imigresen memberikan jawapan berikut: "Sila rujuk ke pejabat Imigresen terdekat."

Status itu kini menimbulkan persoalan jika mereka akan turut mengalami nasib sama seperti Pua, ahli Parlimen Petaling Jaya yang dihalang menaiki penerbangan ke Jogjakarta di lapangan terbang klia2, semalam.

Pua dan Rafizi, ahli Parlimen Pandan, mempunyai status sama sewaktu melakukan pemeriksaan nama mereka atas talian.

Datuk Ambiga Sreenevasan berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya dihalang ke luar negara. 

Mengulas perkara itu, Ambiga berkata beliau ke luar negara sebulan lalu dan mempertimbangkan tindakan undang-undang jika namanya kini tersenarai sebagai mereka yang dihalang daripada ke luar negeri.

"Saya bosan dengan gangguan ini dan akan meneliti pilihan perundangan yang ada jika pergerakan saya dibataskan.

"Tidak masuk akal jika mereka yang perlu berhadapan tindakan undang-undang bebas ke mana-mana sahaja sementara mereka yang bersuara menentang salah guna kuasa diganggu sebegini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Maria pula menuntut Jabatan Imigresen menjelaskan sebab namanya tersenarai sebagai mereka yang perlu merujuk jabatan itu jika mahu ke luar negara.


Lagi Berita Menjengkelkan Rakyat Malaysia

"Buat masa sekarang, saya mahu tahu sebab saya perlu rujuk imigresen bagi perjalanan saya.

"Sebagai warganegara, saya ada hak dan kebebasan bergerak keluar masuk negara saya," katanya.

Maria sebelum ini dihalang daripada daripada masuk ke Sabah sementara Ambiga pula dihalang daripada masuk ke Sabah dan Sarawak oleh Jabatan Imigresen.

Akhbar The Star pula melaporkan, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Kamal Ariff yang dikaitkan dengan 1MDB, turut dihalang meninggalkan negara.

Nik Faisal disiasat berhubung tuduhan aliran wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun bank milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Chua, Adam dan Hishamuddin memberitahu The Malaysian Insider, mereka juga mendapati perlu merujuk pejabat imigresen terdekat berdasarkan semakan di laman sama.

The Malaysian Insider sedang menghubungi pihak imigresen bagi mendapatkan penjelasan sama ada mereka dihalang ke luar negara atau dihalang ke Sabah dan Sarawak sahaja.

Putrajaya sebelum ini mengumumkan senarai mereka yang dihalang meninggalkan negara tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Semalam, kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) berkata, tindakan Putrajaya menghalang Pua, Rafizi dan Tong daripada meninggalkan negara ini bermotifkan politik.

Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen berkata sekatan terhadap pemimpin pembangkang serta pemilik The Edge Media Group daripada meninggalkan negara mungkin disebabkan kritikan dan pendedahan mereka mengenai 1MDB.

Paulsen turut mengingatkan pihak berkuasa mengenai kebebasan bergerak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...