Thursday, 23 July 2015

Beranikah Najib Saman Kali Ini?


Beranikah Najib Bertindak Sebegini? Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada banyak pilihan kecuali saman fitnah selepas The Wall Street Journal (WSJ) berpegang teguh kepada laporannya yang mendakwa AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya, kata peguam.

Kelewatan perdana menteri mengambil tindakan undang-undang akan menyebabkan akhbar itu dilihat memberi laporan tepat dalam artikel disiarkan pada 2 dan 6 Julai itu, yang dikatakan berdasarkan dokumen daripada penyiasat Malaysia.

Peguam yang ditemubual juga berkata Najib, yang menyambut hari jadi ke-62 hari ini, ada pilihan memfailkan saman di Malaysia atau di tempat lain di mana laporan itu diterbitkan.

Peguam Datuk Bastian Pius Vendargon berkata, langkah seterusnya ialah Najib perlu menamakan wartawan dan penerbit, Dow Jones & Company sebagai defendan untuk memulakan tindakan sivil kerana reputasi yang terjejas.

“Saya tidak fikir perlu peguam Najib menghantar notis tuntutan meminta penerbit itu menarik balik laporan dan minta maaf kerana mereka tegas dengan pendirian artikel yang disiarkan,” katanya.

Pada 8 Julai, peguam Najib daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat guaman meminta penjelasan WSJ dan Dow Jones sama ada laporan mereka bermaksud perdana menteri menyalahgunakan dana itu.

WSJ membalas surat berkenaan, dan walaupun jawapannya tidak diketahui, akhbar itu menyatakan secara terbuka ia berpegang kepada laporannya, sebanyak 2 kali.

Untuk itu, peguam Najib, Wan Azmir Wan Majid memberitahu The Malaysian Insider malam tadi, pasukan guaman akan mengkaji surat balas akhbar itu dan akan menasihatkan tindakan selanjutnya kepada perdana menteri.


Vendargon berkata, Najib tidak ada pilihan kecuali memfailkan saman atau laporan WSJ akan dianggap benar.

Beranikah Najib Bertindak Sebegini?

“Persepsi umum nanti ialah laporan itu betul jika tidak ada tindakan undang-undang diambil serta-merta,” katanya.

Vendargon berkata, surat balasan penerbit itu hanya bermakna ia mempertahankan laporannya dan ia pembelaan yang baik, termasuk komen adil dan perlindungan bersyarat.

“Najib sekarang tidak ada pilihan lain kecuali saman penerbit itu kerana ia membabitkan kredibilitinya dan dia perlu memastikan dia menang perbicaraan di mahkamah,” katanya, dan menambah perdana menteri boleh melangkaui peringkat notis tuntutan permohonan maaf dan tarik balik artikel, dan terus saman serta-merta.

“Respons surat penjelasan itu sangat jelas menunjukkan penerbit itu tidak akan tunduk kepada apa jua tuntutan,” katanya.



Tuntutan tu boleh difailkan di Amerika Syarikat atau bidang kuasa lain memandangkan penerbit tidak mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, kata peguam itu.

Tetapi jika tuntutan itu difailkan di tempat lain, Najib tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan, termasuk penguatkuasaan penghakiman, kata Vendargon.

Peguam S. N. Nair berkata, Najib masih sepatutnya menghantar surat tuntutan sebagai formaliti dengan memfailkan tuntutan itu tanpa berlengah lagi.

Nair juga menjangka akhbar dan penerbit berkenaan akan menyahut cabaran saman itu.

“Tidak mungkin penerbit itu tidak mencabar saman itu kerana ia juga mempertaruhkan kredibilitinya,” katanya, dan menambah WSJ maklum untuk menjawab tuntutan undang-undang, termasuk yang difailkan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Pengkritik Najib mendesaknya menyaman WSJ untuk menangkis tuduhan terhadapnya, dan ramai yang mengikuti isu berkenaan bagi melihat tindakan selanjutnya.

Perdana menteri setakat ini nafi mengambil dana 1MDB untuk kegunaan peribadi tetapi tidak secara langsung menjawab mengenai wang yang dimasukkan ke akaunnya.

Najib dan pejabatnya turut menggelar tuduhan itu sebagai sabotaj politik.

Beliau turut menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan ejen asing untuk menjatuhkan pentadbirannya.


Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...