Monday, 22 June 2015

Luahan Hati Bekas Pimpinan PAS


Luahan Hati Bekas Pimpinan PAS. Bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kesal dengan sikap ahli parti Islam itu yang masih mengecamnya walaupun tewas mempertahankan jawatannya semasa pemilihan muktamar ke-61 awal Jun lalu.

Sejurus diumumkan dilantik sebagai ahli jawatankuasa kerja (AJK) PAS Pusat semalam, Salahuddin berkata pelbagai respons diterimanya, ada yang memberi nasihat dan memujuk, malah ada juga yang memberi amaran dan ancaman memutuskan persahabatan.

"Kesian saya. Sudahlah sebelum muktamar ditohmah fitnah, dah kalah pun kena belasah lagi. Tapi saya tak boleh marah-marah.

"Itulah asam garam dunia politik yang saya telah pilih dengan jiwa raga saya," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun belum memutuskan sama ada mahu menerima jawatan itu dan akan mengumumkannya selepas Hari Raya Aidilfitri.


"Saya akan membuat keputusan dalam masa yang terdekat (mungkin selepas kita menyambut Syawal yang mulia)," katanya.

Salahuddin adalah di antara pemimpin progresif PAS yang "dibersihkan" daripada parti itu dalam muktamar lepas.

Katanya, keputusan yang bakal dibuat, sama ada menerima atau menolak jawatan itu adalah perhitungan hidup mati kariernya dalam PAS.

Luahan Hati Bekas Pimpinan PAS

Salahuddin berkata, kariernya bermula dengan perjuangan PAS sejak tahun 1981 menjadi timbalan yang dipertua kawasan Pontian hingga menjadi naib presiden pada 2015.

Katanya, keputusan yang dibuat itu nanti berdasarkan pilihannya sendiri selepas mendapat beberapa pandangan tanpa tekanan pihak lain.

"Betul atau salah keputusan yang saya akan buat , diri saya sendiri lah yang akan menanggungnya sepanjang hayat.

"Orang lain hanya mampu ketawa dan bersedih buat seketika waktu saja," katanya.

Turut dilantik AJK PAS Pusat sesi 2015-2017 adalah bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Manakala jawatan Mahfuz itu diganti oleh ahli Parlimen Temerloh yang memenangi jawatan AJK PAS Pusat semasa muktamar lalu, Nasruddin Hassan.

Bekas Penolong Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan mengambil alih tugas utama setiausaha agung, menggantikan Datuk Mustafa Ali yang diturunkan pangkat sebagai ketua pengarah pilihan raya PAS. 



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...