Thursday, 11 June 2015

Akhirnya Tembelang PAS Terburai..


Akhirnya Tembelang PAS Terburai. Keputusan meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP tanpa bahas merupakan arahan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, lapor Sinar Harian hari ini, memetik Datuk Mahfuz Omar yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar Tahunan PAS 2015.

Katanya, keputusan tersebut diputuskan Hadi pada hari kedua muktamar minggu lalu dan beliau (Mahfuz) diarahkan berbuat demikian walaupun sudah memaklumkan kepada Hadi tentang implikasinya sekiranya ia dibahas atau tidak dibahas.

"Asalnya, usul yang dibawa Dewan Ulama itu memang untuk dibahas. 


 "Tetapi, pada hari kedua muktamar, presiden dan mursyidul am, timbalan presiden yang baharu, timbalan presiden yang lama dan setiausaha agung panggil saya dan minta usul itu dijadikan usul tanpa bahas.

"Dalam mesyuarat itu, saya sebutkan implikasinya jika usul itu dibahas atau tidak dibahas. Tetapi semuanya mahu usul itu dilulus tanpa dibahas, jadi saya ikut arahan saja," katanya di lobi Parlimen semalam.


Bagaimanapun, bekas ketua penerangan PAS itu berkata walaupun usul itu diarahkan untuk lulus tanpa bahas, muktamar masih mempunyai kuasa mengubah keputusan itu.

Akhirnya Tembelang PAS Terburai

"Dalam muktamar, ahli Majlis Syura Ulama juga sebahagian perwakilan. Jika mereka mahu usul itu dibahaskan, mereka boleh buat begitu, kerana kuasa muktamar kuat.

"Mereka boleh cadangkan kepada pengerusi tetap dan kalau majoriti bangun sokong, saya percaya usul itu boleh dibahaskan," kata Mahfuz.


Sehubungan itu, katanya, PAS tidak perlu mengadakan satu muktamar khas untuk membincangkan semula usul berkenaan, merujuk kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini.

Selain Hadi, katanya, mesyuarat membincangkan perkara itu turut dihadiri Musyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mohamad Sabu dan Datuk Mustafa Ali.

Usul yang dibawa Dewan Ulama itu mahu tahaluf siyasi diputuskan dengan DAP, rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), tetapi hubungan dengan PKR dan PR masih kekal.


Bagaimanapun, Mustafa yang juga setiausaha agung parti menyatakan selepas muktamar itu, usul tersebut masih belum dimuktamadkan kepimpinan tertinggi parti walaupun ia diluluskan tanpa bahas di muktamar.

Keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP juga menyaksikan beberapa pemimpin daripada golongan profesional yang kalah dalam pemilihan parti Islam itu meletakkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditadbir DAP.




Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...