Monday, 8 June 2015

Akhirnya Ahli Lembaga Pengarah Syarikat 1MDB Letak Jawatan?


Akhirnya Ahli Lembaga Pengarah Syarikat 1MDB Letak Jawatan? Dalam usaha mengurangkan kritikan terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ahli lembaga pengarah syarikat itu akan meletakkan jawatan seawal Julai ini, menurut sumber yang tahu mengenai perkara itu, lapor The Edge Financial Daily hari ini.

Sumber berkata kepada akhbar perniagaan itu, akan terdapat perubahan dalam lembaga pengarah 1MDB dan lembaga penasihatnya. "Ini akan berlaku pada Julai atau Ogos," katanya kepada The Edge Financial Daily.

Sumber lain berkata, ahli lembaga penasihat 1MDB turut dijangka meletak jawatan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi lembaga itu.


Ahli lembaga pengarah 1MDB ialah pengerusinya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin J Valiram.

Lodin juga pengarah urusan kumpulan dan timbalan pengerusi Boustead Holdings Bhd dan pengarah bukan eksekutif di Affin Hwang Capital sementara Shahrol merupakan presiden Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC) dan Ismee pengarah urusan Tabung Haji.


Akhirnya Ahli Lembaga Pengarah Syarikat 1MDB Letak Jawatan? 

Cadangan pengunduran itu timbul apabila pelbagai penyiasatan dilakukan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Bank Negara ke atas kemungkinan salah laku sejak 1MDB beroperasi pada 2009.


Menurut sumber, peralihan lembaga sekarang merupakan permulaan bagi syarikat pelaburan strategik itu yang mencatatkan hutang RM42 bilion dalam masa kurang dari 5 tahun.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada hujung bulan lalu memisahkan Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia milik Kementerian Kewangan sebagai entiti berasingan menerusi pelan rasionalisasi yang akan dijalankan awal tahun depan.


Husni berkata walaupun pilihan itu dijalankan dengan kewangan Edra Energy Global Sdn Bhd, kementerian kekal pemegang saham utama dalam TRX dan Bandar Malaysia.

Aset kuasa 1MDB kini diletakkan di bawah Edra Energy dengan nilai dagangan RM16 bilion sehingga RM18 bilion.

Bloomberg melaporkan pada Jumaat, Acwa Power International, pemaju kuasa Arab Saudi dan San Miguel Corp antara pihak yang berminat terhadap aset tenaga 1MDB. 

Manakala syarikat berkaitan kerajaan Singapura, Sembcorp Industries Ltd dalam perbincangan awal dengan 1MDB, sementara IJM Corp Bhd dan Tenaga Nasional Bhd menunjukkan minat dalam aset kuasa tersebut.


Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...