Monday, 11 May 2015

Rupanya.. Ada Lagi Kisah Hitam Tabung Haji


Rupanya.. Ada Lagi Kisah Hitam Tabung Haji. Lembaga Tabung Haji berdepan kritikan beberapa hari ini susulan pembelian tanah bernilai ratusan juta ringgit dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dilihat pengkritik satu usaha menyelamatkan syarikat pelaburan negara yang menanggung hutang itu.

Namun, ia bukan kali pertama Tabung Haji, yang memegang amanah menyimpan dana bagi jemaah haji untuk beribadat di Mekah, kelihatan seperti disalah guna bagi menolong syarikat bermasalah.

Pada 1998, semasa ia dipengerusikan adik ipar Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tan Sri Ahmad Razali Mohamed Ali, Tabung Haji terlebih bayar dalam pembelian dua bangunan di Kuala Lumpur.

Dua bangunan tersebut ialah TH Perdana, yang dibeli daripada Maju Holdings Sdn Bhd pada harga RM117.08 juta, dan TH Selborn, yang dibangunkan Swasta Setia Holdings Sdn Bhd dan dijual dengan harga lebih tinggi RM51.38 juta daripada nilai sebenar.

Tabung Haji membayar sejumlah RM436.38 juta untuk  kedua-dua hartanah itu, walaupun penilai menganggarkan ia hanya bernilai RM267.92 juta.

The Wall Street Journal (WSJ) pada Disember 2004, memperincikan pembelian tersebut dalam artikel  mereka, menyifatkan Maju Holdings sebagai "syarikat tidak menguntungkan".

Pemiliknya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dilaporkan menemui Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, menteri yang ketika itu bertanggungjawab menjaga Tabung Haji, pada Disember 1997 bagi mempercepatkan jualan TH Perdana (bangunan itu waktu itu dikenali sebagai Maju Junction) kerana berdepan masalah kewangan.

"Saya memerlukan kelulusan segera anda mengenai perkara ini kerana bank sudah mengeluarkan notis merampas hartanah (itu)," tulis Sahid dalam sepucuk surat kepada Hamid, menurut WSJ.

Tabung Haji bersetuju membayar RM270 juta untuk hartanah 546,000 kaki persegi itu, pada RM494 setiap kaki persegi, dan mendapat kelulusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi RM220 juta wang pendahuluan seperti diminta Sahid, lapor WSJ.

Laporan Ketua Audit

Tetapi menurut Laporan Ketua Audit Negara 2003, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menetapkan bangunan tersebut hanya bernilai RM152.92 juta, atau RM400 setiap kaki persegi dan mendapati ia sebenarnya berkeluasan 372,289 kaki  persegi.

"Ini bermakna Tabung Haji membayar RM117.08 juta atau 76.6% lebih tinggi daripada harga penilaian. Ini jelas menunjukkan Tabung Haji membuat bayaran hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada harga yang dicadangkan oleh JPPH," menurut laporan ketua audit itu.

Menurut laporan itu juga, wang pendahuluan RM54 juta yang dibayar untuk bangunan TH Perdana itu bertentangan dengan kehendak Surat Pekeliling Perbendaharaan yang menyatakan, maksimum bayaran pendahuluan hanya 15%daripada nilai kerja pembinaan, atau RM5 juta sahaja – berdasarkan mana lebih rendah.

Rupanya.. Ada Lagi Kisah Hitam Tabung Haji

Laporan Ketua Audit juga menyatakan, Tabung Haji memaklumkan kepada Jabatan Audit Negara, ia membayar harga lebih tinggi untuk TH Perdana kerana rangka kerja logam digunakan dalam  pembinaan bangunan itu dan ia juga dilengkapi dengan gentian optik.

Sementara itu, TH Selborn pula hanya bernilai RM115 juta, menurut JPPH tetapi Tabung Haji  membayar RM166.38 juta bagi hartanah tersebut.

Tabung Haji juga mewajarkan harga TH Selborn itu dengan mengatakan ia menggunakan "kemasan berkualiti tinggi" seperti "glass curtain facade" dan ia berkonsepkan bangunan pintar.

Bukan kali pertama

WSJ pada 2004 juga melaporkan, urus niaga TH Perdana itu bukannya kali pertama Tabung Haji kehilangan berjuta ringgit kepada Abu Sahid Maju Holdings.

Pada awal 1996, Maju Holdings menawarkan kepada Tabung Haji pegangan 49% dalam satu projek pembangunan hartanah di Johor Baru. Hartanah tersebut dinilai pada RM137 juta pada masa itu, lapor WSJ.

Memetik sumber dalaman Tabung Haji, WSJ berkata, pihak lembaga pada mulanya menentang cadangan itu kerana kedudukan kewangan Maju Holdings yang lemah.

WSJ berkata, Maju Holdings dibebani kerugian terkumpul kira-kira RM47 juta dan lembaga bimbang Tabung Haji bakal terdedah kepada liabiliti berat jika berlaku kenaikan kos semasa  projek tersebut berjalan.

Tetapi, Hamid mengarahkan Razali meneruskan pelaburan, menurut dokumen dalaman Tabung Haji.

Tabung Haji melabur RM67 juta pada Oktober 1996, hanya untuk projek tersebut serta merta berdepan masalah. Projek itu kini terbengkalai, lapor WSJ.

Memetik wawancara dengan pegawai Tabung Haji dan pihak bank, WSJ pada 2004 berkata punca utama masalah Tabung Haji ialah campur tangan politik.

Akhbar itu mendapati, beberapa cadangan pelaburan dibuat pihak lembaga diabaikan demi berpihak kepada ahli politik.

Antara aduan yang dibuat ialah, Tabung Haji tidak berada di bawah pengawasan mana-mana pengawal selia kewangan kerajaan.

Pada 1995, piagam Tabung Haji dipinda bagi meletakkan seorang menteri Kabinet bertanggungjawab memantau pelaburannya. Secara tradisi, ia diselia menteri yang menjaga hal ehwal Islam.

Memetik seorang pegawai bank yang berpangkalan di  Kuala Lumpur, WSJ berkata, langkah ini "mengakibatkan lembaga pengarah dan panel pelaburan tidak mempunyai suara".

Tanah 1MDB

Kini, selepas hampir 2 dekad, Tabung Haji terpaksa pula menjual semula sebidang tanah yang dibelinya pada harga RM188.5 juta daripada 1MDB yang bermasalah selepas menerima kritikan hebat berhubung urus niaga tersebut.

Sama seperti urusan dengan Maju Holdings, apabila lembaga pengarah menolak urus niaga tersebut kerana kedudukan kewangannya yang lemah, panel pengurusan risiko Tabung Haji juga meletakkan tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) itu sebagai pembelian berisiko tinggi.

Bukan sahaja RM42 bilion hutang ditanggung 1MDB diketahui umum, malah kaitan pihak eksekutif dalam Tabung Haji dengan 1MDB, syarikat pelaburan bawah Kementerian Kewangan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, juga mencetuskan lagi kegusaran.

Najib juga adalah pengerusi kepada lembaga penasihat 1MDB.

Tabung Haji menafikan sebarang percanggahan kepentingan dalam perjanjian itu, mengatakan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Tan Sri Ismee Ismail, yang juga ahli lembaga 1MDB, tidak terlibat dalam semua rundingan pembelian dengan Tabung Haji.

Bagaimanapun, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata seorang lagi eksekutif Tabung Haji dan dua ahli lembaga pengarah, semuanya juga memegang jawatan di 1MDB, tidak berkecuali daripada urusan itu kerana mereka tidak memegang jawatan pembuat keputusan di dalam 1MDB.

Timbalan CEO Tabung Haji Datuk Johan Abdullah, yang juga pengerusi anak syarikat 1MDB, Edra Global, yang menerajui semua rundingan yang membawa kepada pembelian tanah itu, yang merupakan sebahagian daripada projek Tun Razak Exchange (TRX).

Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah ialah ahli lembaga pengarah Tabung Haji dan juga ahli lembaga penasihat 1MDB, manakala Tan Sri Abdul Samad Alias yang menganggotai panel pelaburan Tabung Haji, juga duduk di lembaga penasihat 1MDB.


Iklan B (ii)















4 comments:

  1. Apabila penyamun dan penyangak dilantik menjaga tabung duit, samalah seperti membela tikus2 dalam stor penuh dengan beras dan ikan masin.

    ReplyDelete
  2. Jom boikot tabung haji, keluarkan simpanan yang ada, letak kat tempat lain. Tunjukkan kuasa rakyat!!

    ReplyDelete
  3. Mai kita pakat ramai2 pindahkn duit kita dlm TH ke mana institusi kewangan yg beramanah sebelum pnyakit TH brtambah parah

    ReplyDelete
  4. "Lembaga Hitam" harus dijampi keluar dari TH. Selagi ada "lembaga" ini, rosak segala-galanya.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...