Thursday, 7 May 2015

Pemimpin BN Dedah Pekung PRK Rompin


Pemimpin BN Mengakui GST Punca Majoriti Merosot Di PRK Rompin. Pemimpin Barisan Nasional (BN) mempertikaikan pandangan penurunan majoriti di pilihan raya kecil (PRK) Rompin baru-baru ini adalah respons dingin pengundi terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, isu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), jentera pilihan raya yang tidak bersungguh-sungguh, dan sentimen suram kejatuhan harga kelapa sawit juga boleh menyumbang kepada prestasi yang berkurangan, menurut pemimpin BN daripada Umno dan MCA dalam menolak faktor Najib.

Yang penting, kata mereka, BN masih mengekalkan kerusi Parlimen itu.

Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata jentera parti di Rompin dan sikap acuh tak acuh pengundi menjadi faktor penyumbang kepada majoriti lebih rendah.
"Calon PAS berjaya mendapat undi hampir sama berbanding PRU lepas. Jadi sokongan mereka masih kuat.

"Tetapi komitmen jentera Umno Rompin dipersoalkan kerana mereka tidak berjaya meningkatkan tahap kehadiran dan undi walaupun ia melibatkan pilihan raya kecil dan sumber yang besar dibelanjakan.

"Majoriti lebih kecil boleh dikurangkan lagi dalam PRU akan datang jika Umno Rompin masih leka terhadap kerusi 85% majoriti Melayu," kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insider.

Ketua Bahagian MCA Kuantan Datuk Seri Ti Lian Ker juga menolak faktor Najib atau ketiadaan faktor itu, kerana kempen BN tidak mempunyai poster perdana menteri mahupun kehadirannya yang banyak, walaupun Pahang merupakan negeri Najib, di mana beliau menyandang kerusi Parlimen Pekan.

Pemimpin BN Mengakui GST Punca Majoriti Merosot Di PRK Rompin

"Najib tidak pernah wujud di Rompin sepanjang tempoh ini, ia lebih dikaitkan dengan JJ," katanya merujuk kepada arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Beliau menyifatkan jumlah pengundi yang lebih kecil kepada "protes senyap” menentang GST dan kemerosotan harga kelapa sawit, kerana kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar peneroka Felda, skim membantu peladang miskin menanam tanaman berdaya saing seperti kelapa sawit.

Katanya, ini membuktikan rakyat lebih cenderung kepada isu, dan sentimen perkauman dan agama tidak mempengaruhi pengundi memilih BN.

"Sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat pendirian politik di mana Umno dan PAS cuba untuk mengalahkan antara satu sama lain tetapi ia tidak memenangi mereka apa-apa undi.

"Sudah tiba masanya bagi BN untuk mengambil isyarat ini. Terdapat isu yang perlu diselesaikan dan strategi politik kaum dan agama tidak berfungsi lagi," kata Ti.

Namun, penganalisis Wan Saiful Wan Jan berkata walaupun GST dan skandal kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah antara faktor dimainkan, kepimpinan hambar Najib juga punca BN hanya memenangi 61% daripada jumlah undi.

Sebaliknya, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 2 tahun lalu, BN memenangi 30,040 daripada 45,849 undi atau 66% daripada jumlah undi. Rompin juga merupakan kubu kuat BN di mana kebanyakan pengundinya luar bandar.

"Pemotongan majoriti pada skala ini menunjukkan terdapat lebih daripada isu tempatan yang terlibat di sini. Ia melibatkan isu kepimpinan Najib.

"Apa yang saya lihat, pengundi bertindak balas kepada bagaimana mereka melihat Najib – tidak berupaya membawa negara ke depan dan mereka menterjemahkan ini dengan tidak keluar untuk mengundi," kata Wan Saiful memberitahu The Malaysian Insider, sambil menambah mengundi pada hari bekerja juga menjadi faktor menjejaskan jumlah pengundi yang keluar mengundi.

Calon BN, Datuk Hasan Arifin memenangi PRK Rompin Selasa lalu dengan majoriti 8,895 berbanding majoriti 15,114 yang diperoleh Jamaluddin pada PRU13.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan peratus pengundi keluar mengundi pada 73%, berbanding 86% pada PRU13.

Najib berkata BN akan melakukan post-mortem prestasinya.

"Kami mengakui undi BN menurun daripada 66.53% kepada 61%, walaupun majoriti kemenangan masih pada tahap yang selesa.

"Kami akan menganalisis keputusan PRK Rompin kali ini dan melakukan bedah siasat supaya pada masa depan kita boleh melakukan yang lebih baik," kata Najib, yang juga pengerusi BN, dalam blognya semalam.

Wan Saiful berkata suara tentangan terhadap Najib dijangka bertambah kuat, terutama di kalangan Umno.

"Najib perlu mengambil peranan sebagai pemimpin lebih serius dan memimpin secara berkesan tetapi saya rasa ia sedikit terlambat sekarang. Persepsi awam terhadap beliau sudah kukuh dan ia benar-benar sukar untuk mengubahnya sekarang," kata Wan Saiful, yang mengetuai Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Tetapi bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz berkata tidak ada guna menuding jari kerana akhirnya, apa yang penting ialah BN menang pada majoriti yang masih selesa.

"Kita tidak boleh memberikan sebarang sebab (kekurangan majoriti BN). Walaupun pada masa-masa yang mencabar, BN menang dengan kredibiliti dan bagi saya, itu yang penting.

"Saya akan bimbang jika majoriti adalah 800, tetapi majoriti lebih kurang 8,000 tidak boleh diremehkan," katanya.

Bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa itu percaya BN boleh kembali kuat jika Putrajaya meningkatkan tadbir urus, inisiatif dan komunikasi dengan orang ramai, terutama dalam isu seperti 1MDB.




Iklan B (ii)















No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...