Monday, 25 May 2015

Berita Mengejutkan Buat Penyokong 1MDB


Berita Mengejutkan Buat Penyokong 1MDB. Penyokong 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mencanangkan tiada penipuan atau wang yang hilang dalam syarikat sarat hutang tersebut kerana firma perakaunan antarabangsa seperti KPMG dan Deloitte menandatangani akaun syarikat itu bagi tahun kewangan 2010 sehingga 2014.

Hujah ini diguna pakai untuk mempertahankan tindakan membisu seribu bahasa pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1MDB yang enggan menjawab soalan dilontarkan kepada mereka tentang pelbagai urus niaga dan aliran wang berbilion ringgit syarikat itu.

Mereka berselindung di sebalik hujah itu walaupun faktanya, 1MDB kini mengalami masalah aliran tunai yang dahsyat dan tidak lagi mampu membayar hutang-hutang mereka.

Pada masa sama, pelbagai persoalan ditimbulkan berkenaan lokasi dan rupa sebenar Pelaburan Sedia Untuk Dijual yang dinilai pada harga RM13.38 bilion dalam akaunnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014.

Sebaliknya, pengkritik diminta bertenang dan memberi ruang kepada ketua audit negara untuk menyelesaikan kerjanya menyemak audit 1MDB.

Hujah akaun 1MDB ditandatangani juruaudit bermakna tiada penipuan berlaku dan tiada wang hilang adalah tempang. Ia menunjukkan mereka yang menggunakan hujah ini tidak memahami perkara mereka perkatakan.


Mereka sama sekali tersalah tafsir, secara sengaja atau sebaliknya, akan peranan juruaudit luar.

Mereka juga tidak memahami makna sesuatu laporan juruaudit apabila juruaudit menandatangani penyata kewangan syarikat.

Tiada seorang pun juruaudit dalam dunia ini akan bersetuju tindakan menandatangani sesuatu akaun itu boleh ditafsirkan sebagai satu pengesahan atau jaminan akaun itu adalah betul sepenuhnya, tepat dan tiada langsung salah penyataan, menerusi penipuan mahu pun kesilapan.

Garis panduan International Standards for Auditing bagi juruaudit menyatakan juruaudit luaran bertanggungjawab mendapatkan jaminan munasabah penyata kewangan secara keseluruhannya, adalah bebas daripada salah penyataan yang penting, sama ada kerana kesilapan atau menerusi penipuan.

Berita Mengejutkan Buat Penyokong 1MDB

Jaminan munasabah ini adalah berdasarkan pendekatan juruaudit luaran yang mempercayai pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah sudah melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka dan tidak terlibat dalam sebarang penipuan mahupun menyembunyikan sebarang penipuan.

Justeru, wujud risiko tidak dapat dielakkan iaitu kemungkinan salah nyata yang penting tidak dapat dikesan, walaupun kerja audit dirancang dan dilaksanakan menurut piawaian perakaunan antarabangsa.

Risiko penipuan adalah lebih tinggi berbanding kesilapan kerana kebiasaannya penipuan akan melibatkan skim yang sofistikated dan direncanakan dengan berhati-hati untuk menyembunyikannya.

Maka, seorang juruaudit luaran bukannya berperanan untuk menentukan sama ada sesuatu penipuan sudah pun berlaku atau pun tidak. Ini tanggungjawab sistem perundangan dan jenayah sesuatu negara.

Malahan, juruaudit menamakan jurang di antara perkara yang diharapkan orang awam dan perkara yang sebenarnya dilakukan mereka sebagai "jurang jangkaan".


Sekarang mari kita teliti laporan audit yang dikeluarkan Deloitte kepada 1MDB pada 5 November, 2014 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2014. Hakikat ia diterbitkan lebih 7 bulan selepas tahun kewangannya berakhir sudah cukup untuk menimbulkan keraguan.

Perenggan 2: Pengarah-pengarah syarikat bertanggungjawab menyediakan penyata kewangan ini untuk memberikan gambaran yang benar dan adil. Pengarah-pengarah juga bertanggungjawab dalam kawalan dalaman difikirkan perlu untuk membolehkan penyediaan laporan kewangan bebas daripada salah penyataan yang penting, sama ada berpunca daripada kesilapan atau penipuan.

Perenggan 3: Tanggungjawab kami (Deloitte) adalah untuk MENZAHIRKAN PENDAPAT ke atas penyata kewangan ini berdasarkan audit kami...dan melaksanakan audit ini untuk memperoleh jaminan MUNASABAH sama ada penyata-penyata kewangan ini adalah bebas daripada salah nyata yang penting.

Kenyataan Deloitte ini adalah kenyataan standard yang dikeluarkan juruaudit kepada kebanyakan syarikat. Perkara mustahak untuk difahami adalah:

1. Pengarah-pengarah 1MDB bertanggungjawab sepenuhnya terhadap akaun mereka untuk memberikan gambaran yang adil dan betul. Mereka juga bertanggungjawab untuk kawalan dalaman yang diperlukan bagi memastikan penyata kewangan adalah bebas daripada salah nyata, sama ada menerusi kesilapan atau penipuan. Ini BUKAN tanggungjawab juruaudit.

2. Juruaudit hanya menzahirkan pendapat mereka sebagai juruaudit luaran melakukan segala perlu untuk memperoleh jaminan MUNASABAH tentang sama ada penyata kewangan mereka bebas daripada salah nyata yang penting.

3. Secara kritikalnya, juruaudit luaran tidak menzahirkan pendapat mereka tentang keberkesanan kawalan dalaman syarikat.

Pendek kata, walaupun juruaudit sepatutnya boleh mengesan rekod simpan kira yang kurang berkesan, mereka sebenarnya masih tidak mampu untuk mengesan dokumen perakaunan dipalsukan. Malah mereka juga tidak boleh menyoal keputusan pihak pengurusan, misalnya berkaitan pelaburan yang dibuat.

Soalan-soalan yang sering ditanya kepada 1MDB selalunya berkisar sekitar keberkesanan kawalan dalaman dan urus tadbir korporat:

- Siapa yang meluluskan perjanjian dan pelbagai bayaran yang dibuat sejak 2009?

- Kenapa dana dilencongkan daripada tujuan asal ia diluluskan? Kenapa wang dihantar kepada sebuah akaun yang dikawal Jho Low?

- Kenapa 1MDB terlebih bayar untuk aset kuasa, tanah di Pulau Pinang dan komisen kepada Goldman Sachs?



- Siapa yang mengesahkan dan mempersetujui pembayaran US$700 juta kepada PetroSaudi, kononnya untuk melangsaikan hutang?

- Kenapa Jho Low memberikan arahan kepada pengurusan dalam urusan 1MDB?

- Siapakah yang mempersetujui opsyen Aabar dan kemudian bersetuju dengan bayaran pelupusan yang menyebabkan 1MDB membayar AS$1 bilion untuk tujuan itu?

Semua isu utama yang dibangkitkan ini melibatkan urus tadbir korporat, pembuatan keputusan dan kawalan dalaman di 1MDB.

Deloitte dalam laporan audit mereka dengan jelas menyatakan mereka TIDAK menzahirkan pendapat tentang keberkesanan kawalan dalaman 1MDB.

Berita Mengejutkan Buat Penyokong 1MDB

Maka, janganlah lepas tangan dan mengalihkan beban kepada Deloitte dengan menyatakan tiada apa-apa yang salah berlaku, dan semuanya baik-baik saja di 1MDB, kerana Deloitte menandatangani akaun syarikat itu.

Memandangkan ketua audit negara hanya diminta mengaudit kerja Deloitte semata-mata, maka kemungkinan besar mandat ini tidak melebihi daripada audit yang sudah dilakukan Deloitte.

Ia sangat jelas. Ahli lembaga pengarah bertanggungjawab memastikan akaun adalah betul dan adil. Ia juga bertanggungjawab terhadap kawalan dalaman bagi memastikan tiada penipuan berlaku.

Juruaudit pula hanya menzahirkan pendapat yang munasabah. Tiada yang lebih daripada itu.

Sektor korporat dalam dan luar negara sarat dengan contoh penipuan korporat yang berjaya lolos daripada penelitian juruaudit. Dalam sesetengah kes, jika ia bukan satu subahat nyata, juruauditnya didapati turut terlibat menipu dengan niat.

Penipuan korporat paling besar dalam dunia melibatkan gergasi tenaga Enron di AS, yang menyaksikan nilai pasarannya sebanyak AS$78 bilion lenyap dalam beberapa hari saja. Bekas presidennya, Jeff Skilling masih menjalani hukuman penjara selama 24 tahun.


Juruauditnya pula, Arthur Andersen, salah satu daripada firma perakaunan Big Four di dunia pada masa itu, terpaksa gulung tikar.

Skim Ponzi Bernard Madoff bernilai AS$65 bilion bukti pengurusan dana yang juga dinilai secara pihak ketiga oleh institusi antarabangsa, juga tidak terlepas daripada salah agihan dan penipuan. Madoff kini meringkuk dalam penjara selama 150 tahun.

Jika masih ada sesiapa menyangka audit dan juruaudit tidak membuat kesilapan, sila baca rencana majalah Forbes keluaran 20 November, 2012 yang menceritakan bagaimana Hewlett-Packard (HP) hilang AS$5 bilion ke atas satu pemerolehan yang bernilai AS$11.1 bilion.

HP berkata ia terpaksa menurunkan nilai buku syarikat perisian UK Autonomy kerana nilainya dikesan diperbesar-besarkan menerusi perakaunan janggal yang serius, salah pernyataan dan kegagalan dalam pendedahan.

Penipuan tersebut memburukkan nama juruaudit yang terlibat - Deloitte sebagai juruaudit kepada Autonomy dan Ernst & Young sebagai jurudit kepada HP - kerana gagal mengesan penipuan itu.

Sekarang, masih mahu percaya lagi?




Iklan B (ii










No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...