Thursday, 2 April 2015

Pendedahan Mengejutkan Buat Pembaca Portal The Malaysian Insider


Pendedahan Mengejutkan Buat Pembaca Portal The Malaysian Insider. Sejak penahanan beberapa orang editor dari portal The Malaysian Insider (TMI), banyak media massa khususnya yang berhaluan kiri, aktivis-aktivis sosial serta politik juga berhaluan kiri, peguam dan pakar perundangan, ahli politik, orang perseorangan serta organisasi bukan kerajaan (NGO) bersuara menentang ‘kekejaman’ pihak polis yang melakukan penahanan tersebut.

Ia dilihat sebagai satu kezaliman terhadap kebebasan media ,pengarang, wartawan dan masa depan portal bebas. Ia juga jelas menunjukkan sebebas mana sekalipun sebuah media massa di Malaysia, ia sebenarnya dikawal ketat oleh golongan yang tidak mahu sebarang kenyataan menentang arus dikeluarkan.

Berita, “Majlis Raja-raja tolak pindaan laksana hudud, kata sumber” yang megundang pelbagai spekulasi termasuk ada yang mengesyaki kebenaran berita itu selain ada yang mempercayai ia sebagai ulasan yang benar. Namun, sejauh mana ia telus, masih belum dijelaskan.

Siapakah ‘sumber’ yang dimaksudkan dalam artikel tersebut dan mengapa TMI enggan mendedahkan sumber tersebut dalam keadaan terdesak sebegini. Atau adakah sumber itu benar-benar wujud atau sebaliknya?

Hasil sokongan padu ke atas media ini menggambarkan seolah-olah TMI berada di dalam gelanggang ‘yang dimangsakan’ dan pihak polis pula dihiasi dengan pelbagai aksesori seperti kejam, zalim, melampaui batas dan mengikut telunjuk ahli politik pemerintah.

Semangat yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak menyokong TMI juga dialu-alukan, sebagai sebuah portal berita, atau mana-mana media massa, kekebasan melapor itu penting. Dan sokongan yang ditunjukkan itu sendiri satu kekuatan kepada TMI.

Pendedahan Mengejutkan Buat Pembaca Portal The Malaysian Insider

Namun, sehingga ke saat ini, tiada mana-mana kumpulan yang menyokong ini mempersoal TMI terhadap kesahihan berita atau mengenai sumber kepada artikel yang menuntut bahawa Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 untuk memberi laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

Bukankah lebih adil jika media massa yang lain berfikir sekali dua tentang kepastian sesuatu berita yang dilaporkan sebelum menyokong membuta tuli.

Jangankan hanya kerana sehaluan dengan polisi politik dan agenda media, kita menyokong. Kita, sanggup meninggalkan etika kewartawanan yang kini banyak dicemari dengan paparan berita palsu yang sengaja disensasikan tanpa bukti atau sumber yang sah.

Jangankan TMI, mana-mana syarikat berita atau media massa sekalipun, tidak sepatutnya mengeluarkan berita yang tidak sahih atau palsu.

Sokong ….. jangan tak sokong, tetapi sedari juga bahawa anda bertanggungjawab untuk mengetahui kebenaran.

Penulis sehingga kini tidak pasti siapa benar, siapa salah. Ini hanya pandangan penulis selaku seorang pembaca yang mengikuti perkembangan berita sejak awal ia dipapar dalam pelbagai media massa sehingga ke saat ini.


Nila Kanna ialah bekas wartawan dan pembaca FMT




Iklan B (ii)











No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...