Friday, 3 April 2015

Tanpa Dijangka.. Ahli Parlimen Ini Sokong Pendedahan Panas Mahathir


Najib Pasti Tidak Suka Dengan Berita Ini? Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, sependapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang hari ini membuat kritikan paling keras terhadap perdana menteri, menegaskan masanya sudah tiba untuk kebenaran didedahkan berkenaan skandal dan isu yang menyelubungi pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Lebih mesra dengan panggilan Ku Li, beliau berkata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu pasti mempunyai asas yang kukuh mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Beliau mencari jawapan, kebenaran, di sebalik segala yang berlaku.

"Kini masa yang tepat untuk jawapan sebenar didedahkan, dan kebenarannya daripada semua (isu) ini," katanya merujuk senarai pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Najib dan pentadbirannya seperti dicatatkan Dr Mahathir dalam blog popularnya hari ini.

Antara tuduhan itu termasuk kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, skandal kewangan syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kekayaan anak tiri Najib, Riza Aziz dan hubungannya  dengan ahli perniagaan Low Taek Jho serta pembelian jet peribadi.

Ku Li berkata, sebagai pemimpin veteran, Dr Mahathir sudah pasti memahami akar umbi dengan cukup baik, dan mengakui yang sekiranya isu yang timbul tidak ditangani dengan baik, akan sukar bagi sesiapa pun untuk memenangi pilihan raya umum (PRU).

"Beliau tahu bagaimana situasi parti politik yang berhadapan PRU. Isu yang tidak selesai, sudah pasti sukar untuk sesiapa sahaja mendapatkan sokongan," kata ahli Parlimen Gua Musang itu.

"Saya pasti ada sebab beliau keluarkan kenyataan itu," katanya yang ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata.

Najib Pasti Tidak Suka Dengan Berita Ini?

Dr Mahathir di laman blog chedet.cc hari ini berkata, sekiranya Umno masih lagi di bawah pimpinan Najib berhadapan PRU14 akan datang, Barisan Nasional (BN) akan tewas.

"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno dan dengan itu BN akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14.

"Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata, ramai ahli dan kepimpinan parti Melayu itu kini dilihatnya setia secara membuta tuli.

"Saya juga setia, tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini," katanya.

Susulan kenyataannya itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim terdahulu hari ini mencadangkan Umno mengadakan perbincangan tertutup bersama Dr Mahathir.

"Apa yang Tun kata mungkin ada betul mungkin tidak. Tetapi sudah pasti beliau berhati-hati masa menulis dan tentulah beliau mempunyai kekuatan fakta.

"Nasihat saya, ini soal parti yang tidak boleh dibincang secara terbuka, maka eloklah kita bincang secara tertutup.

"Maka saya syorkan supaya Ku Nan ambil daya usaha untuk selesaikan polemik berpanjangan ini, dan bincang dengan cara adik beradik," katanya merujuk kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.




Iklan B (ii)











No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...