Tuesday, 28 April 2015

Kejutan Azmin Ali Di Selangor


Kejutan Azmin Ali Di Selangor. Kerajaan Selangor tidak akan menaikkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) untuk tahun ini, dan sekiranya ada keperluan, elaun itu akan dinaikkan tahun depan.

Perkara itu sedang diteliti semua pihak termasuk perbendaharaan negeri, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kerajaan negeri buat masa ini sedang mengkaji keperluan menaikkan elaun itu agar bersesuaian dengan bebanan tugas yang dipikul guru berkenaan.

"Kerajaan negeri pada prinsipnya telah bersetuju menaikkan elaun itu, tetapi persetujuan tersebut mesti diasaskan kepada keperluan bilangan guru dan peruntukan terlibat. Juga adakah adil kita naikkan elaun sehingga RM1,500 dalam keadaan mereka (guru) ajar antara dua hingga tiga jam.

"Perkara ini mesti diteliti sebab ini wang rakyat yang perlu dibelanjakan dengan berhemah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Maahad Tarbiyah Islamiah Al Ansar di Kampung Kuantan di sini, yang rosak akibat angin kencang pada 17 April lepas.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas desakan seorang guru KAFA, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang menuntut kerajaan negeri Selangor segera menaikkan elaun itu seperti dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Kejutan Azmin Ali Di Selangor

Pada PRU13, kerajaan gabungan DAP, PAS dan PKR dalam manifesto mereka berjanji menaikkan elaun guru KAFA di Selangor daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

Dalam perkembangan lain, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata keengganan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang membantu gerak kerja pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tidak menimbulkan masalah.

Katanya, ini kerana keseluruhan pimpinan PAS pusat termasuk timbalan presiden dan setiausaha agung menyatakan sokongan kepada calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pemuda PAS Pulau Pinang bertindak demikian kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan Angkatan Muda Keadilan negeri itu yang masih enggan memohon maaf kerana didakwa menghina Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud.

Mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang Shaari Sungib bahawa pakatan pembangkang perlu menyingkirkan PAS jika kajian bebas mendapati parti itu tidak lagi sesuai berada dalam gagasan itu, Azmin berkata pimpinan PAS yang perlu membuat ketetapan berhubung perkara itu.


Iklan B (ii)













1 comment:

  1. Lain kali jangan berjanji kalau sekadar nak menyedapkan telinga.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...