Saturday, 7 March 2015

Selepas Setahun, Pihak Bertanggungjawab Kehilangan MH370 Dibongkar?


Selepas Setahun, Pihak Bertanggungjawab Kehilangan MH370 Dibongkar? Kegagalan pihak tentera Malaysia menyampaikan maklumat mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang tercicir laluannya dikenal pasti dalam sebuah laporan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) baru-baru ini, tetapi setahun selepas pesawat itu hilang, masih tidak jelas jika ada pegawai dipertanggungjawabkan.

Akibatnya – kira-kira 20 jam sebelum pihak berkuasa penerbangan awam dimaklumkan dan seminggu sebelum maklumat itu diumumkan kepada awam – laporan tersebut menyatakan masa yang berharga hilang semasa pencarian awal pada 8 Mac tahun lepas.

Penerbangan MH370 dan 239 orang penumpang dan anak kapal masih tidak ditemui walaupun pencarian laut besar-besaran di selatan Lautan Hindi dilakukan.

"Maklumat PSR (radar pengawasan utama) daripada PSR tentera Malaysia dan kedua-dua PSR di Thailand di Hat Yai (berhampiran sempadan Thailand-Malaysia) dan Phuket (Bukit Bang Duk) yang sepatutnya memerhatikan trek MH370 ke barat tidak diberikan kepada pihak berkuasa awam dalam tempoh terdekat kehilangan itu.

"Maklumat PSR tentera Malaysia tidak dikeluarkan secara terbuka kira-kira seminggu selepas kehilangan," kata laporan bertajuk “ICAO Brief on the SAR Response to MH370” (Laporan ICAO mengenai respons operasi mencari dan menyelamat MH370).

Laporan yang dimuat naik di laman sesawang ICAO itu dibentangkan di Mesyuarat Pasukan Petugas Mencari dan Menyelamat Ketiga Asia/Wilayah Pasifik di Maldives, Januari tahun ini.

Selepas Setahun, Pihak Bertanggungjawab Kehilangan MH370 Dibongkar?

Dalam tempoh kehilangan MH370, ICAO menyatakan lokasi akhir radar utama pesawat di Laut Andaman pada jam 2.22 pagi bakal menjadi maklumat yang "tidak dihebahkan kepada pihak berkuasa awam untuk tempoh 20 jam".

Laporan itu berkata penambahbaikan diperlukan bagi kerjasama penerbangan awam dan pihak berkuasa tentera untuk Pelan Pencarian dan Menyelamat Asia Pasifik.

Ini kerana, radar tentera Thai juga mengesan MH370 terbang ke arah barat dan barat-laut melalui Laut Andaman, tetapi tidak diarahkan sama ada tindakan perlu diambil.

"Ia adalah jelas terdapat tahap koordinasi lebih tinggi penyelarasan awam/tentera Malaysia yang mungkin mendedahkan kemungkinan MH370 berpatah balik lebih awal selepas amaran awal dari Vietnam, dan sebagai trek hipotesis juga meliputi PSR Thailand, nasihat kepada Thailand juga boleh membuktikan ia memberi manfaat.

"Pada dasarnya, seminggu atau lebih hilang dalam pencarian awal kerana kerjasama tentera / awam yang lemah," kata ICAO.

Laporan ringkas ICAO berkenaan MH370 itu bagaimanapun, mengesahkan dapatan dan cadangan penambahbaikan sebagai cadangan untuk pertimbangan dan ulasan mesyuarat pada Januari itu.

Kekurangan tindakan ketenteraan merupakan aduan utama waris penumpang pesawat MH370 apabila ia didedahkan selepas kehilangan pesawat daripada radar tentera Malaysia, yang mengesan ia membuat pusingan melalui Semenanjung dan sekitar Pulau Pinang, tetapi tidak menghantar jet pejuang bagi menyiasat kejadian itu.

Dua bulan kemudian, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammudddin Hussein memberitahu Australian Broadcasting Corporation (ABC) dalam satu wawancara, tentera Malaysia tidak mengambil tindakan apabila mengesan pesawat di radar mereka kerana ia bukan pesawat musuh.

Dalam temu bual itu, Hishammuddin berkata tentera tidak menghantar jetnya bagi menyiasat kerana "ia tidak dianggap sebagai objek musuh dan sia-sia jika anda tidak menembaknya jatuh".

Beliau berkata demikian mempertahankan kegagalan tentera menghantar jet pejuang selepas MH370 hilang daripada radar awam pada 8 Mac, apabila transponder berhenti sekitar jam 1.21 pagi semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Radar tentera mengesan selepas ia membuat pusingan dan berpaling ke arah barat melintasi Semenanjung.

"Jika anda tidak menembak jatuh, apa gunanya menghantarnya (jet pejuang)?" Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan memberitahu ABC.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu The Malaysian Insider dalam satu temu bual agar "menunggu hasil laporan siasatan", apabila ditanya sama ada terdapat pegawai dipertanggungjawabkan bagi kehilangan pesawat MH370.

Dengan pesawat yang masih hilang, pencarian berterusan di selatan Lautan Hindi tidak membuahkan sebarang hasil.

Pencarian di kawasan pedalaman dijangka berakhir pada Mei, menurut Pusat Agensi Penyelaras Bersama (JACC) di Australia yang menyelaras maklumat berkaitan operasi carian.

Pada 29 Januari lalu, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengumumkan pesawat itu secara rasminya hilang dan semua penumpang dan anak kapal dianggap meninggal dunia.




Iklan B (ii)











No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...