Wednesday, 1 April 2015

Ahli Parlimen BN Belasah Polis Dan SKMM


Ahli Parlimen BN Belasah Polis Dan SKMM.  Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed menganggap penahanan lima pengarang The Malaysian Insider dan The Edge mengikut Akta Hasutan adalah satu tindakan berlebihan.


Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan penahanan 5 pengarang The Malaysian Insider (TMI) dan The Edge mengikut Akta Hasutan kerana laporan artikel hudud merupakan satu kesilapan.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan tindakan tersebut, mengatakan pihak berkuasa tidak seharusnya menggunakan akta itu bagi menghakimi sama ada artikel tersebut berniat menghasut atau tidak."Pada saya ia merupakan satu kesilapan. Ia seperti satu tindakan berlebihan dengan menahan di bawah Akta Hasutan.

Kalau ada salah pun, tidak perlu sampai ditahan mengikut Akta Hasutan. Pihak berkuasa sepatutnya boleh guna akta lain," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.Beliau mengulas tindakan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang menahan 3 pengarang kanan TMI petang semalam dan Ketua Eksekutif TMI Jahabar Sadiq dan penerbit The Edge Ho Kay Tat pagi ini.

TMI dimiliki The Edge Media Group.Tiga pengarang itu diberkas pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di pejabat TMI di Mutiara Damansara petang semalam berhubung laporan portal itu bertarikh 25 Mac.Menurut laporan itu, memetik sumber, mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, undang-undang persekutuan yang perlu dipinda kerajaan PAS Kelantan bagi membolehkan pelaksanaan hudud.

Ahli Parlimen BN Belasah Polis Dan SKMM

Jazlan mengakui tindakan pihak berkuasa dengan menahan mereka bukan sahaja mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap Putrajaya tetapi kerajaan juga akan dilihat terlalu ghairah menggunakan Akta Hasutan tanpa melihat konteks artikel tersebut."Persepsi rakyat terhadap kerajaan sudah pasti tidak akan bagus. Kalau kata salah laporan, tidak perlu sampai begitu.

"Majlis Raja-raja boleh saman sahaja dan polis juga boleh menghubungi minta datang (kalau hendak beri keterangan), tapi kenapa perlu sampai kena tahan?"Jazlan berkata perkara itu perlu dilihat pada konteksnya."Kalau cakap artikel itu menghasut, ia sepatutnya contohnya seperti menyeru orang ramai turun ke jalanan."Namun saya rasa isu ini lebih kepada tajuknya. 

Jika lihat kepada keseluruhan artikel itu, ia tidak sampai kepada menghasut."Menurut artikel itu, cadangan meminda Akta 355 itu dibuat dalam satu laporan Jawatankuasa Teknikal Hudud yang dianggotai pegawai agama kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan persekutuan.Artikel itu melaporkan, jawatankuasa itu menyediakan laporan itu untuk dipertimbangkan Majlis Raja-raja tetapi ia tidak dibawa ke mesyuarat majlis itu pada 11 Mac.

Majlis pada 26 Mac membuat laporan polis menafikan membincangkan perkara itu atau mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud Kelantan sementara Pemuda Umno Kedah membuat laporan polis terhadap TMI.

Bagaimanapun, Jazlan berkata, beliau tidak merasakan penahanan tersebut akan menimbulkan ketakutan terhadap wartawan, sebaliknya ia akan akan membangkitkan semangat juang kebebasan media."Saya tidak rasa media akan takut. Sebaliknya, akan ada kesan berbeza. 

Ia akan buat wartawan lebih aktif."Kerana itu saya kata, kerajaan perlu faham kematangan media ini yang bukan dari media cetak lagi."Jazlan juga mempersoalkan cara pihak berkuasa menguruskan situasi berkenaan TMI kerana katanya, sekiranya laporan yang dipertikaikan itu dibuat media luar, apakah tindakan pihak berkuasa.

"Kalau kata untuk menakutkan pihak media, ia tidak akan berlaku, kerana mereka boleh membuat laporan menggunakan medium lain dari luar negara. Ia satu kesilapan," katanya.





Iklan B (ii)











1 comment:

  1. Bila lagi nak guna kuasa, semasa berkuasalah dah pencen besok duduk kedai kopi sudahlah.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...