Saturday, 21 February 2015

Umno Terperanjat Dengan Kenyataan Tak Disangka-Sangka Ini?


Sekiranya benar Barisan Nasional (BN) ikhlas menyanjung bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia Khamis lepas, parti itu seharusnya memulangkan hak royalti minyak kepada rakyat negeri itu, kata PAS.

Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata, sewajarnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulakan tindakan menunaikan hak yang dituntut rakyat Kelantan berhubung isu royalti minyak.

"Ketika Almarhum Nik Aziz menjadi menteri besar, antara perkara utama membabitkan hak rakyat yang diperjuangkan ialah royalti minyak."

Mahfuz berkata pujian dan sanjungan yang diberi Putrajaya terhadap ketokohan Nik Aziz haruslah selari dan disusuli tindakan memulangkan royalti minyak bagi membuktikan ia tidak hanya berpura-pura.

"Bahkan, terdapat ura-ura BN tidak perlu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka sebagai tanda hormat kepada Almarhum," katanya merujuk DUN yang diwakili Nik Aziz semasa hayatnya sejak 1990.

"Alangkah lebih baik sekiranya Najib menunaikan hak yang dituntut rakyat Kelantan iaitu royalti minyak," katanya.

Ini katanya susulan kegigihan Nik Aziz sendiri yang pada 30 Ogos 2010 hadir sendiri ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memfailkan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh daripada perairan negeri itu.

"Justeru, saya berharap agar perasaan simpati dan sanjungan yang diberikan kepada Almarhum itu bukanlah sebuah kepura-puraan.

"Hasrat Almarhum perlulah diterjemahkan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui Petronas dengan berlaku jujur dan berani dalam melaksanakan janji yang termeterai seperti di dalam Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974, iaitu membayar tuntutan royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan," katanya.

Minggu lepas, lautan manusia memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mursyidul am PAS itu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baru dan turut menghantarnya ke tanah perkuburan, serta ramai yang memuji ketokohan dan kehebatan beliau termasuk pemimpin BN.


Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...