Friday, 27 February 2015

Umno Berputih Mata Dengan Kenyataan Ini..


Datuk Husam Musa mengatakan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Barisan Nasional (BN) juga pernah tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor tahun lalu.

Naib presiden PAS itu berkata, perpaduan ummah melalui kerjasama antara dua parti Melayu-Islam terbesar negara, Umno dan PAS, tidak boleh ditegakkan tanpa ketelusan dalam isu kenegaraan yang besar termasuk dalam isu seperti syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Bahkan, sebelum ini, Barisan Nasional (BN) juga gagal meletakkan calon di Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan ia tidak membawa apa-apa makna kepada perpaduan ummah atau negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak malam tadi BN tidak akan bertanding PRK DUN Chempaka yang terpaksa dilakukan selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari.

"Perpaduan ummah hanya akan menjadi alat politik jangka pendek bagi menyelamatkan hayat politik individu dan parti tertentu semata-mata."

Husam berkata, pengumuman Najib itu membuktikan kekuatan gabungan pemerintah di era kepimpinannya sudah menurun ke tahap tidak lagi berani berhadapan dengan lawan tradisinya.

"Sekali gus membuktikan kata-kata keramat Tok Guru Nik Aziz: 'Tak dok sebab demo nak lawan kawe' (tiada sebab awak hendak menandingi saya) menjadi kenyataan hari ini.

"Selepas pemergian Tok Guru, Umno-BN mengakui kehebatan perjuangan beliau dan yang lebih penting, mesej perjuangan beliau – Islam dan bukan kebangsaan – adalah benar. Alhamdulillah," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor  itu berkata, sekalipun tanpa penyertaan BN dalam PRK DUN Chempaka, isu negara yang melibatkan Najib secara langsung iaitu 1MDB dan misteri pembunuhan Altantuya tetap akan diketengahkan.

Husam menegaskan, kedua-dua isu itu tetap memerlukan tindak balas meyakinkan daripada perdana menteri Malaysia itu.

Najib merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya kerana penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu tetapi kemudiannya dibebaskan, merupakan kawan rapatnya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, Najib berkata Umno membuat keputusan tidak bertanding di PRK DUN Chempaka.

Pengumuman Najib dilakukan sehari selepas bertemu dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Selain menghormati kerjasama baik dalam menguruskan isu pasca banjir di negeri itu, Najib juga menekankan perpaduan ummah sebagai faktor yang menyebabkan Umno tidak meletakkan calon di Chempaka.

"Kita fikir kita perlu lihat kepada usaha membawa perpaduan ummah walaupun kita ada perbezaan politik dan sebagainya, tetapi kita perlu berikan keutamaan kepada perpaduan ummah," katanya sambil menegaskan keputusan itu mendapat persetujuan di peringkat akar umbi.

Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...