Tuesday, 24 February 2015

Sah!! Ada Menteri Menggelupur Dengan Pendedahan Terbaru Ini?


PKR hari ini mengumumkan akan mengemukakan permintaan rasmi pada Australia untuk membolehkan Sirul Azhar Umar ditemu ramah media mengenai peranannya dalam kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata temu bual Sirul ini boleh dijadikan alasan untuk polis Malaysia membuka semula siasatan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

"Saya sudah membincangkan tentang kedudukan Sirul dengan beberapa Ahli Parlimen Australia. Saya faham Sirul tidak boleh memberikan wawancara televisyen atau media tanpa kebenaran kerajaan Australia.

"Kami berharap agar dapat memanfaatkan hubungan baik dengan rakan-rakan kami di Parlimen Australia untuk mendapatkan kebenaran daripada kerajaannya," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Langkah PKR untuk mendapatkan kebenaran formal itu diumumkan selepas telesidang yang dinanti-nantikan bersama Sirul anjuran Penerangan PAS hari ini menemui kegagalan.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas itu gagal menjawab panggilan daripada Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar walaupun dicuba sebanyak 15 kali.

Mahfuz yang menjanjikan sesi Sirul dengan media hari ini berkata beliau cuba menghubungi Sirul beberapa kali melalui telefon selama kira-kira 45 minit tetapi tidak berjaya.

Beliau kemudian memohon maaf kepada petugas media yang menunggu untuk mewawancara pembunuh warga Mongolia itu.

Rafizi hari ini berkata PKR ada menghubungi senator parti bebas Nick Xenaphone, dan juga Ahli Parlimen dari parti Greens Australia dan Parti Buruh Australia.

Beliau berkata PKR kini juga cuba mendapatkan bantuan daripada ahli Parlimen Australia supaya mereka dapat bertemu dengan Sirul secara peribadi untuk memastikan keselamatannya.

"Saya yakin dengan bantuan semua pihak, kebenaran mengenai kes pembunuhan Altantuya akan diumumkan, terutamanya persoalan siapa yang mengarahkan Sirul untuk menembak dan meletupkan Altantuya," kata Rafizi.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, Sirul mendakwa beliau bertindak atas arahan orang lain untuk membunuh Altantuya, dan mempertimbangkan untuk mendedahkan butiran kes itu dalam satu temu bual dengan media.

"Saya bertindak atas arahan. Orang penting dengan motif (untuk membunuh Altantuya) masih bebas. Ia bukan bermaksud saya tidak suka kepada polis atau negara, tetapi saya bertindak atas arahan, " memetik kata-kata Sirul.

Lima panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bulan lepas menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul dan Azilah, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 ke atas pembunuhan Altantuya, yang merupakan kekasih Abdul Razak Baginda yang juga orang kepercayaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sirul tidak hadir ketika keputusan itu diumumkan dan laporan berita berikutnya mengesahkan beliau berlepas ke Australia pada Oktober lalu dan ditahan polis Australia pada 20 Januari selepas Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadapnya.

Australia menandatangani perjanjian ekstradisi dengan Malaysia pada 2006 tetapi tidak mungkin untuk menghantar Sirul pulang, kerana menurut undang-undang, Australia melarang banduan dijatuhkan hukuman mati yang akan diekstradisi ke negara mereka.

Walaupun beliau didakwa, motif pembunuhan itu tidak pernah didedahkan. Sirul, 43, berkata dia tidak pernah mengenali Altantuya atau penganalisis politik tersebut, Razak.

Razak dibebaskan walaupun sebelum itu dituduh kerana bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, tanpa dipanggil membela diri di Mahkamah Tinggi pada 2009.

Keterangan dalam mahkamah menunjukkan Altantuya, seorang penterjemah warga Mongolia,  dibunuh sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4 pada 18 Oktober 2006, di pinggir bandar Shah Alam.



Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...