Sunday, 15 February 2015

Rahsia Terbaru BN Terbarai Lagi..


Barisan Nasional (BN) pernah menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) yang memenangi 52% undi popular pada 2013, kata anaknya malam tadi.

Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memberitahu satu ceramah di Pulau Pinang yang tawaran itu dibuat semasa rundingan pendamaian pasca pilihan raya.

"Dia disuruh mengabaikan sekutu PKR, PAS dan DAP; menerima tawaran itu, membentuk kerajaan... 'que sera sera' (apa yang terjadi, akan terjadi), kita bergembira bersama-sama.

"Apa keputusan beliau? Beliau menolak tawaran itu sama sekali kerana ia berkaitan hidup dan mati perjuangan kami. Sebagai sebuah gabungan, kita hanya boleh bekerja bersama-sama selagi kita berpegang kepada prinsip," katanya pada ceramah di tapak ekspo Seberang Jaya di Permatang Pauh, kawasan Parlimen Anwar.

Ceramah itu diadakan bagi memberi penghormatan kepada Anwar yang dipenjarakan di penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan ketua umum PKR itu terhadap sabitan liwatnya dan mengekalkan hukuman 5 tahun hukuman penjara terhadapnya Selasa lepas.

Nurul Izzah memberitahu hadirin seramai kira-kira 1,000 orang itu, Anwar bersetuju berunding apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak supaya satu pendamaian diadakan selepas pilihan raya.

Beliau berkata, bapanya menetapkan syarat, antara lain, mesti wujud usaha menangani rasuah dalam kerajaan persekutuan dan dalam menangani isu ekonomi, tetapi rundingan itu akhirnya tidak berjaya.

Nurul Izzah terdahulu berkata, ayahnya terpaksa dipenjara kerana beliau merupakan cabaran utama kepada pemimpin BN selepas beliau mengetuai PR mencapai kemenangan yang lebih besar pada 52% undi popular dalam pilihan raya 2013.

Katanya, beliau dan adik-beradiknya bangga menjadi anak-anak Anwar kerana mereka tahu sekurang-kurangnya beliau tidak rasuah, tidak menyalahguna kuasa atau menindas rakyat, dan akan berdiri dan berjuang bersama rakyat.

Beliau juga menyifatkan bapanya sebagai seorang pejuang yang tidak akan menyerah kepada ugutan politik.

Ibunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memberitahu hadirin tentang keadaan Anwar sejak dimasukkan ke penjara pada Selasa.

"Saya amat kecewa melihat keadaannya begitu ketika lawatan kami selama 45 minit. Dia cuba menggembirakan kami, katanya dia baik-baik saja.

"Dia dimasukkan ke dalam sel yang tidak mempunyai katil, hanya tilam setebal satu inci. Tiada kerusi, tiada meja. Dia tidak mengeluh tetapi dia mengalami sakit belakang, jadi memang susahlah untuknya.

"Kalau boleh, demi kesihatannya, berilah dia katil. Kami bukan meminta layanan VIP... beliau seorang tahanan politik. Kerana politik, beliau menderita begitu teruk. Sedih saya," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan Barisan Nasional dan Umno menggunakan pelbagai cara untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah ekonomi negara. – 

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang turut berucap pada ceramah itu menawarkan sokongannya untuk Anwar dan Dr Wan Azizah; menggesa rakyat membantu PR mengekalkan kerusi persekutuan Permatang Pauh ketika pilihan raya kecil kelak.

Anwar akan kehilangan kerusi itu dalam masa 2 minggu melainkan beliau mendapat pengampunan diraja.

Beliau berkata, PR masih percaya Anwar bakal perdana menteri Malaysia, dan meminta orang ramai menjadi "mahkamah yang akan memberi keadilan kepada Anwar".

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, BN dan Umno hanya cuba menggunakan isu lain bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah berkaitan ekonomi.


"Sekiranya Anwar masih bersama kita di sini, beliau pasti akan berdiri di barisan hadapan melawan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)," katanya.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memberikan penghormatan kepada Anwar, menyifatkan beliau sebagai satu spesimen yang jarang ditemui kerana keberaniannya.

Anwar, katanya, dikenali kerana keberaniannya sejak zaman beliau sebagai pemimpin pelajar sehingga beliau meningkat naik menjadi menteri, jatuh pula kemudiannya dan akhirnya berperanan sebagai ketua pembangkang.

"Walaupun pernah menikmati kekuasaan, dia masih boleh kembali dan berjuang bersama-sama dengan orang biasa.

"Beliau boleh sahaja meninggalkan negara ini, tetapi beliau memilih tinggal di sini dan berdepan dengan sistem dan kini beliau di penjara. Jarang kita jumpa lelaki seperti ini," katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Ceramah itu juga mendengar pemimpin memberi penghormatan kepada Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia Khamis malam baru-baru ini. 

Lim berkata semangat Nik Aziz mesti terus dihidupkan dalam perjuangan PR, manakala Mohamad berkata bekas menteri besar Kelantan itu dihormati kerana beliau memimpin melalui teladan dan sentiasa merendah diri.

Mat Sabu berkata, Nik Aziz tidak terkenal kerana berjaya menarik orang ramai mendengar ceramahnya, tetapi kerana beliau seorang ulama yang mengamalkan apa yang diajarnya.

"Almarhum juga bukan terkenal kerana ilmu pengetahuannya. Beliau tiada PhD seperti orang lain tetapi beliau dikenali kerana kebaikannya dan contoh baik yang ditunjukkannya.

"Apabila beliau menjadi menteri besar Kelantan, beliau terus tinggal di rumah lamanya, dengan kehidupan yang serba sederhana. Inilah yang sepatutnya kita buat bila kita ada kuasa," katanya.

Walaupun PR kehilangan kedua-dua pemimpin, Mat Sabu berikrar memastikan pakatan pembangkang akan kekal bersama dan berjuang sehingga mereka berjaya mengambil alih Putrajaya.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin juga mengumumkan poskad "March to Freedom" parti itu di ceramah malam tadi.

Orang ramai yang ingin menghantar kata-kata semangat kepada Anwar boleh menulis di poskad itu yang akan dihantar ke penjara Sungai Buloh.



Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...