Saturday, 7 February 2015

Pengerusi Kira-Kira Wang Negara Dari BN Saran Ismail Sabri Dikenakan Tindakan Tegas


Datuk Nur Jazlan Mohamed mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bercakap berdasarkan fakta apabila mengatakan peniaga kaum Cina punca kepada harga barangan meningkat pada ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada menteri pertanian dan industri asas tani itu yang kini tidak lagi mengakui mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman itu.

"Apa yang Ismail lakukan tidak berdasarkan fakta, sekarang beliau mengatakan tidak mengatakannya, kepimpinan atasan perlu mengambil pendirian tegas," katanya pada sidang media selepas forum "Malaysia, Kebebasan Ekonomi, dan Globalisasi" anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersempena kelahiran Tunku Abdul Rahman ke-112 di Kuala Lumpur hari ini.

Nur Jazlan turut kecewa kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil tindakan tegas terhadap menteri Ismail berhubung kenyataan perkauman menggesa orang Melayu memboikot peniaga Cina jika mahu harga barang diturunkan.

Nur Jazlan berkata, anggota Kabinet tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman kerana ia bakal memberikan kesan kepada pemikiran rakyat.

"Saya kecewa kerana perdana menteri tidak memberikan kenyataan yang tegas terhadap kenyataan (Ismail), sebaliknya menyokong Ismail dalam isu itu," katanya.

Najib sebelum ini mempertahankan Ismail Sabri yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang menggesa pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, mengatakan kenyataan menteri pertanian dan asas tani itu tidak ditujukan kepada kaum tertentu.

Perdana menteri berkata, Ismail Sabri menegur semua peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun Putrajaya menurunkan harga runcit minyak dan diesel turun.

"Teguran yang dibuat beliau ditujukan kepada semua peniaga dan bukan kepada peniaga daripada kaum tertentu.

"Selain itu, beliau juga mencadangkan pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga menurunkan harga barang," kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Nur Jazlan berkata, Kabinet mewakili peringkat tertinggi dalam proses pembuatan keputusan. 

"Ia memberi gambaran bagaimana pemikiran kepimpinan-kepimpinan kita," kata ahli Parlimen Pulai itu lagi.

Ismail dalam tulisan di posting Facebooknya menyeru pengguna, yang majoritinya orang Melayu menggunakan kuasa membeli mereka bagi memboikot golongan peniaga, yang majoritinya di kalangan kaum Cina, yang "liat turunkan harga barang walaupun minyak turun harga."

Nur Jazlan berkata, kepimpinan negara perlu bergerak lebih progresif demi meningkatkan nilai ekonomi dan mengelakkan kenyataan-kenyataan populis dan retorik perkauman.


Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...