Thursday, 12 February 2015

Mustafa Ali Buat Kejutan Yang Tak Disangka-Sangka


PAS akan menyiasat memorandum dan demonstrasi di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur Ahad lalu, kata Datuk Mustafa Ali, yang turut meminta pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) agar jangan "cirit birit mulut dan tulisan" dalam menjalankan tugasnya.

Setiausaha Agung PAS itu berkata beliau meminjam kata-kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mengingatkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki agar "jangan selalu sangat cirit birit mulut".

"Ini kerana, Zuhdi bukan sahaja cirit birit mulut, tetapi tangan pun, kerana ada tulisan dan cakapnya yang berikan persepsi negatif kepada PAS," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Zuhdi dalam kenyataannya semalam mempertikaikan tindakan Mustafa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang menafikan adanya komplot menggulingkan presiden PAS itu.

Menurut Zuhdi, beliau sudah bersemuka dengan Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan melihat dakwaan dalam bentuk akuan berkanun dan bukti daripada aplikasi Whatsapp berhubung perkara itu.

Beliau menggesa supaya PAS membuka siasatan terhadap kes itu.

"Penafian simplistik Salahuddin dan Mustafa yang tiada komplot untuk menggulingkan presiden PAS, sedikit pun tidak menjejaskan kredibiliti dakwaan ini.

"Lebih daripada itu, penafian kedua tokoh pimpinan kanan PAS ini hanya dilihat seperti ‘menutup bangkai gajah dengan nyiru', disebabkan dakwaan itu dalam bentuk akuan berkanun dan setiap helaian bukti-bukti print screen ini ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah," kata Zuhdi dalam kenyataan medianya semalam.

Mustafa (gambar, kanan) dalam kenyataannya hari ini mengaku beliau memberi jawapan "tiada konspirasi" ketika diajukan persoalan itu.

"Memang saya jawab tiada konspirasi. Apakah Zuhdi nak cadang saya kata ada konspirasi? Kalau saya jawab ada, ia jawapan paling bodoh dari segi akademik dan politiknya sebab ia memang tiada konspirasi," katanya.

Mustafa berkata, apa yang beliau sebut dan dilaporkan itu tepat, iaitu tindakan demonstrasi tidak bagus untuk PAS.

"Belum berlaku lagi orang guna cara ini sejak kepimpinan ulama hingga kini, untuk tegur pemimpin. Takkan ini kita nak ikut.

"Tindakan ini tidak ikut semangat kepimpinan ulama yang bertindak secara profesional dan bukan emosi. Memang saya tak setuju cara ini," kata Mustafa.

Walaupun begitu, katanya, beliau mengarahkan Penolong Setiausaha Agung Khairul Faizi Ahmad Kamil menerima memo itu "dan apabila memo diterima, ia menjadi kewajiban saya menelitinya dan membuat penyiasatan".

"Ini adalah proses yang perlu diambil. Memo sudah ada pada saya sekarang," kata Mustafa.

Mustafa berharap tegurannya diterima baik Zuhdi dan berharap beliau menumpukan kepada amanah yang ditugaskan kepadanya iaitu sebagai pengarah operasi PPP.

Bagi beliau, setiap pemimpin PAS ada bidang tugas yang diberikan parti dan tidak perlu mengambil kerja yang bukan dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Ahad lalu, ketika pemimpin PAS tiba di ibu pejabat parti di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur itu untuk bermesyuarat, sekumpulan pemuda dan ulama PAS dipimpin Noorzazilafadli dan disertai Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik berdemonstrasi di pintu masuk.

Mereka menaikkan kertas pemidang menuduh ketua pengarah pilihan raya PAS Dr Hatta Ramli sebagai dalang konspirasi menggulingkan Hadi.

Turut dituduh ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat Aiman Athirah al-Jundi.

Dalam memorandum yang disampaikan, mereka mendakwa lebih separuh dari AJK PAS tidak menyokong presiden PAS.




Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...