Saturday, 7 February 2015

Najib Terkancing Gigi Dengar Teguran Ini?


Mufti Perlis yang baru dilantik semula, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, meminta penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih tegas dalam menjaga batas yang ditegah Islam ketika pemimpin nombor satu negara itu perlu menghadiri majlis keagamaan bukan Islam.

Beliau dilaporkan berkata di dalam Sinar Harian hari ini, penasihat perdana menteri perlu bertegas kepada penganjur program berkenaan demi memelihara kesucian agama Islam.

“Penasihat perdana menteri juga perlu memaklumkan kepada penganjur agar tidak menghadiahkan kalungan bunga kepada Najib atau memintanya memakai pakaian orang Hindu ketika menyambut acara keagamaan. (baca sini.)

“Mereka perlu tegas dalam hal ini dan memaklumkan kepada penganjur Thaipusam di Batu Caves Najib boleh hadir dengan syarat tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang bentuk acara keagamaan penganut Hindu.

“Ini yang dilarang oleh Islam. Pemimpin Islam tidak dilarang menghadiri program penganut agama lain tetapi mesti ada had dan batasannya,” katanya kepada akhbar itu.

Katanya, Najib boleh menghadiri Thaipusam yang diadakan di Batu Caves, bagi meraikan rakyat beragama Hindu sejajar dengan amalan kepelbagaian agama di negara ini.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh menyertai sebarang acara keagamaan mereka kerana ia menyalahi atau bertentangan ajaran Islam.

“Najib boleh datang dengan memakai sut. Tidak salah berpakaian sedemikian. Yang penting Najib meraikan program keagamaan penganut Hindu kerana beliau perdana menteri Malaysia dan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia,” kata Asri. 

Beliau juga mengambil contoh anggota polis Islam bertugas menjaga keselamatan di Batu Caves sempena Thaipusam dan itu tidak bermakna mereka turut merayakannya.

“Anggota polis menjaga keselamatan orang ramai dan memastikan perayaan itu berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang gangguan.

“Mereka tidak merayakan acara itu sebaliknya hanya menjalan tugas mengawal keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Asri berkata, sebagai perdana menteri yang menjaga kepentingan semua bangsa dan agama, Najib wajar meraikan penduduk berlainan agama yang mengadakan upacara masing-masing.

Beliau bukan hanya menjaga orang Melayu tetapi kaum lain juga yang mempunyai fahaman agama berbeza tetapi masih perlu diraikan, katanya. 




Lihat video di sini.



Iklan B (ii)








1 comment:

  1. Adakah kehadiran Najib dalam upacara thaipusam itu merupakan fardu ain atau fardu kifayah atau sunat atau sunat muakad atau harus? Apa perlunya hadir jika ia bukan dalam mana-mana kategori hukum yang disebutkan itu. Jika sekadar harus sahaja, lebih baiklah tidak hadir.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...