Tuesday, 3 February 2015

Berita Dari Bukit Aman Ini Mengejutkan Pemimpin Umno?


Polis akan memanggil Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan kenyataan berhubung status di laman sosial Facebook miliknya yang menggesa orang Melayu memboikot perniagaan Cina.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menulis di akaun Twitter miliknya @KBAB51 petang tadi, Khalid berkata Ismail akan dipanggil bagi memastikan keharmonian kaum terpelihara.

"@PDRMsia akan panggil menteri pertanian untuk kita rakam percakapannya dalam isu ini. PDRM akan memastikan keharmoniam kaum dihormati," katanya di laman sosial tersebut.

Melalui laman Facebooknya, menteri pertanian dan industri asas tani itu semalam menggesa pengguna Melayu memboikot peniaga Cina yang masih enggan menurunkan harga barang meskipun harga bahan api mengalami penurunan.

Bekas menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) itu berkata, melalui boikot, selaku kumpulan besar mewakili pengguna, orang Melayu mempunyai kuasa mendesak peniaga Cina menurunkan harga barang.

"Maaf saya beri pandangan, selain daripada KPDNKK yang patut gunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan untuk ambil tindakan kepada peniaga yang naikkan harga barang tanpa sebab munasabah, kuasa terbesar ada pada pengguna.

"Majoriti pengguna adalah Melayu, Cina adalah minoriti, kalau Melayu boikot perniagaan mereka, tentu mereka tiada pilihan untuk turunkan harga barang," katanya.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum ini mempersoalkan kenapa polis tidak menjalankan tugas mereka mengambil tindakan terhadap Ismail, mengatakan sekiranya kenyataan sama dibuat pemimpin politik pembangkang terhadap peniaga Melayu, Khalid sudah pasti akan segera bertindak.

"Adakah akaun Twitter Ketua Polis Negara rosak atau Bukit Aman ada masalah dengan akses Internet?" soalnya dalam satu kenyataan.

Ismail juga dikritik oleh rakan Kabinetnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Wee juga merupakan Timbalan Presiden MCA, parti kaum Cina paling senior dalam Barisan Nasional.

Ismail terdahulu hari ini mengesahkan kepada The Malaysian Insider dia sendiri yang menulis status yang menjadi kontroversi itu di akaun Facebooknya.

Posting yang dibuatnya itu dikongsi berulang kali oleh pengikut dan rakan Ismail di Facebook dan Twitter, dengan ramai yang mengucapkan tahniah atas 'keberaniannya'.

Dikritik beberapa pihak yang menganggap kenyataannya berunsur perkauman, terutamanya di kalangan pemimpin DAP, Ismail memberitahu The Malaysian Insider, kenyataannya agar kaum Melayu memboikot peniaga Cina tidak ditujukan kepada semua, tetapi hanya kepada pemborong dan peniaga yang degil tidak mahu menurunkan harga barang.

Dalam postingnya, Ismail turut memberi contoh restoran kopitiam Old Town White Coffee sebagai salah satu perusahaan milik kaum Cina yang diminati orang Melayu tetapi diragui status halalnya dan dikatakannya milik Penasihat DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham.

Datuk Ngeh Koo Ham

"Lihat sahaja Old Town White Coffee, diragui baru-baru ini. Tetapi masih orang Melayu gagal untuk boikot. Lebih-lebih lagi pemiliknya dikatakan keluarga Ngeh DAP Perak yang terkenal anti-Islam.

"Selagi Melayu tidak berubah, selagi itu Cina ambil kesempatan untuk tindas Melayu," katanya.

Susulan itu, Ngeh berkata akan mengemukakan saman terhadap Ismail kerana mendakwa dirinya mempunyai pegangan dalam rangkaian kopitiam itu dan menuduhnya sebagai anti-Islam.

Katanya, tempoh 48 jam diberikan kepada Ismail untuk mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya itu.

Menjawab Ngeh, Ismail berkata beliau enggan memohon maaf kerana kenyataannya tidak ditujukan khusus kepada Ngeh. ~malaysian insider



Iklan B (ii)









1 comment:

  1. Alahaiiiii. Dah tau endingnya. Kalau dengan umngok tiada salahnya kenyataan berbau perkauman. Ianya salah kalau melibatkan pembangkang dan rakyat terbanyak.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...