Wednesday, 11 February 2015

Ini Calon-Calon Ketua Pembangkang Yang Baru


Ketika Pakatan Rakyat (PR) akan bertemu Jumaat ini bagi menentukan ketua pembangkang yang baru susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah dalam kes liwatnya, dua calon berpotensi memegang jawatan itu.

Kedua-duanya daripada PKR, yang dilihat sebagai parti "yang berada di tengah" dalam gabungan parti yang mempunyai ideologi berbeza, daripada PAS yang konservatif dan Islamik, ke DAP yang demokratik sekular dan sosial.

Mereka ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Daripada dua nama itu, Dr Wan Azizah berpengalaman sebagai ketua pembangkang di Parlimen, apabila beliau dipilih menduduki kerusi itu pada 1999 ketika kali pertama suaminya dipenjarakan.

Bagaimanapun, persoalan timbul sama ada beliau mampu menggalas tanggungjawab tersebut sekali lagi dan menyatukan gabungan itu memandangkan ketegangan dalam perhubungan ketika ini antara PAS dan DAP.

Pemimpin dari kedua-dua parti itu akhir-akhir ini bertikam lidah berhubung isu pilihan raya kerajaan tempatan yang diusahakan DAP dan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan yang diperjuangkan PAS.

Menurut pensyarah Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, hal berkenaan tidak menjadi isu asalkan Dr Wan Azizah bersedia menggantikan Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.   

“Bukan sekali Dr Wan Azizah mewakili Permatang Pauh. Ketiadaan Anwar pun, Wan Azizah masih menjadi ahli Parlimen di sana kerana mewakili sosok Anwar.

“Kemungkinan itu boleh berlaku tetapi bergantung kepada parti mempunyai pendirian tertentu dalam mengusahakan beliau menjadi ahli Parlimen atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Shaharuddin berkata kemampuan Wan Azizah tidak perlu dipertikaikan kerana masih menjawat presiden PKR di samping merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang.

Katanya, Dr Wan Azizah merupakan presiden yang paling lama memimpin sesebuah parti di negara ini sama ada yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) mahupun BN. 

“Beliau presiden parti terlama, sudah 15 tahun. Datuk Seri Abdul Hadi Awang muncul pada 2004, Lim Guan Eng baru lagi dilantik menjadi setiausaha agung. Datuk Seri Najib Razak sendiri pada 2009,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, Prof James Chin berkata Dr Wan Azizah merupakan satu-satunya calon yang diterima oleh PAS dan DAP.

Katanya, Dr Wan Azizah akan diberikan mandat memimpin kerana ia dilihat sebagai mewakili Anwar untuk melaksanakan arahan suaminya itu.

“Namun, keburukannya ialah PKR akan dilihat sebagai parti keluarga dan tiada tempat untuk orang lain.

“Bahaya terbesar memilih Dr Wan Azizah ialah BN mengingatkan rakyat tentang Langkah Kajang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tidak dapat dinafikan, antara calon yang disebut-sebut bakal menggantikan Anwar ialah Timbalan Pengerusi PKR Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu mempunyai pengalaman luas dalam arena politik dan sudah bersama Anwar sejak dalam pemerintahan kerajaan BN 25 tahun yang lalu.

Jerih perihnya bersama Anwar dapat dibuktikan apabila sanggup meninggalkan kerajaan persekutuan apabila Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri. 

Menurut Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan, PR seakan-akan tiada pilihan dan perlu melantik Azmin sebagai ketua pembangkang.

“Ketiga-tiga parti dalam PR yang biasanya menjadi ketua ialah daripada PKR kerana PAS dilihat terlalu Melayu dan DAP terlalu Cina. PKR saja di tengah-tengah.

“Nak atau tidak, PKR perlu tampil seseorang yang paling sesuai dan setakat ini yang paling kanan dan berkelayakan adalah Azmin.

“Kelebihannya Azmin seorang menteri besar yang sedang memerintah, ada kerajaan. Itu satu kelebihan kerana ada sumber yang boleh digunakan,” katanya kepada The Malaysian Insider. 

Wan Saiful berkata walaupun ramai yang mendakwa Azmin lemah dalam pergaulan peribadi tetapi daripada strategi politiknya, Adun Hulu Klang itu lebih ke hadapan berbanding orang lain.

“Realitinya PR tak ada calon lain. Nak atau tidak, tanggungjawab itu memang terpaksa ditanggung Azmin.

Bagaimanapun, Chin berkata walaupun Azmin mempunyai kebolehan untuk dipilih sebagai ketua pembangkang namun beliau tidak dipercayai DAP.

Wan Saiful berkata sama ada DAP menaruh kepercayaan terhadap Azmin atau pun tidak, PR dilihat sudah ketandusan calon.

Katanya, bukanlah semua di dalam DAP yang tidak mempercayai Azmin tetapi hanya beberapa orang malah terdapat individu tertentu di dalam PKR juga tidak mempercayai Azmin.

“Walaupun ada kelemahan di sana sini, parti komponen PR terpaksa terima hakikat, tiada orang lain,” katanya.

Beliau berkata faktor usia juga bukanlah menjadi penghalang kepada Azmin untuk menyelesaikan kemelut dalaman PR.

Katanya, perselisihan di antara DAP dan PKR sebenarnya adalah berpunca pemimpin veteran yang tidak mahu melepaskan jawatan mereka. 

“Ini bukan masalah Azmin terlalu muda tetapi ini masalah DAP dan PAS yang terlalu tua. Yang bergaduh dalam DAP dan PAS ialah Lim Kit Siang dan Hadi.

“Kedua-dua merupakan orang yang patut fikir untuk pencen sedangkan orang muda dalam kedua-dua parti biasa saja.

“Kepimpinan orang tua dalam DAP dan PAS pun tidak berjaya menyatukan sangat. Itu bukan masalah Azmin tetapi pemimpin parti lain yang kurang muda berbanding Azmin,” katanya.

Jika dilihat Dr Wan Azizah dan Azmin merupakan pimpinan PKR, bagaimana pula peluang Hadi yang memaparkan sosok ulama sebagai ketua pembangkang?

Menurut penganalisis politik dari Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, sesiapa juga boleh menggantikan Anwar sebagai ketua pembangkang kerana apa yang penting adalah kelangsungan PR.

Katanya, PR harus bersedia dan tidak boleh meletakkan penggantungan sepenuhnya kepada Anwar kerana ketua umum PKR itu tidak akan memimpin selamanya.

“Kalau masing-masing berasa perlu untuk bersepakat maka ketiadaan Anwar bukan satu isu besar.

“Pimpinan dalam PR pun tak kisah sangat sebab pilihan raya lambat lagi. Kalau nak berkonflik lebih baik konflik sekarang sebab pilihan raya dua atau tiga tahun lagi. Itu kena faham.

“Kalau mahu menjadi pakatan dalam sistem dua parti maka mereka tidak boleh meletakkan penggantungan kepada individu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mohamad berkata perubahan dalam pimpinan PR tidak akan memberi kesan kepada gabungan itu sudah lama diasakan.

Katanya, PR perlu mengimbas kembali kejayaan mereka apabila berjaya mendapat kejayaan yang memberangsangkan dalam pilihan raya umum lalu.

“Bagi pemimpin lain, selain Anwar, mereka mungkin merasakan keperluan untuk melanjutkan permuafakatan yang ada sama ada Anwar dipenjara atau tidak.

“Sesiapa saja yang mengepalainya kalau disepakati untuk meneruskan PR, itu tidak menjadi isu cuma perbezaannya ketiadaan Anwar.

“Tetapi ketiadaanya juga mungkin menjadi pengikat kepada PR dari satu segi sama ada dikepalai Hadi, Dr Wan Azizah atau Lim,” katanya.




Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...