Thursday, 5 February 2015

Mahathir, Nazir Razak Bakal Menggelupur Dengar Berita Ini?


Pemimpin Umno hari ini mengecam tindakan blogger tanpa nama yang menyerang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pegawai eksekutif bank Datuk Seri Nazir Razak dan pemilik The Edge Datuk Tong Kooi Ong baru-baru ini.

Pemimpin Umno Kedah Datuk Othman Aziz menyifatkan tindakan blogger tanpa nama yang mengambil kesempatan memainkan isu 1MDB bagi memecahbelahkan pemimpin negara sebagai tidak bertanggungjawab.

"Saya melihat, apa isu yang dibangkitkan, kita perlu kena bertanggungjawab.

"Kita seharusnya komen dengan nada bertanggungjawab dan tidak boleh cuba mengelirukan pembaca, apa lagi mahu mengeksploitasi sesuatu isu sehingga hendak melagakan seseorang," kata ahli Parlimen Jerlun tersebut.

The Edge Malaysia sebelum ini melaporkan blogger malaysianexpose.wordpress.com dipercayai berada di belakang serangan tidak berasas terhadap Tong dan The Edge Media Group.

Ia juga pihak yang sama di sebalik serangan terhadap Dr Mahathir dan Nazir Razak, sementara pada masa sama mengendalikan blog yang menyiarkan artikel memuji ahli perniagaan Low Taek Jho.

The Edge selama ini banyak menulis pendedahan tentang syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sementara bekas perdana menteri itu juga terang-terangan mengkritik dana pelaburan negara tersebut, mengatakan ia tidak diperlukan dan patut ditutup.

Dalam serangan ke atas Dr Mahathir yang membabitkan pemilik Tong, Othman membidas tindakan blogger tersebut yang seakan-akan berniat mahu melihat negara rosak.

"Dr Mahathir sendiri, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, beliau beri komen kalau ada kesilapan yang perlu diperbetulkan.

"Sekiranya benda ini dipanjangkan, melalui komen (serangan) yang mempunyai niat tersirat, akhirnya ia merosakkan ekonomi negara sendiri. Jadi adakah kita seronok melihat ekonomi negara dalam keadaan kelam kabut?" katanya.

Menurut Othman lagi, tidak berguna jika blogger tersebut berjaya menjatuhkan kerajaan sedia ada tapi yang akan rugi kelak rakyat sendiri.

"Motifnya mungkin berbentuk politik, mungkin untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, mungkin berjaya, tapi apa gunanya sehinggalah sesebuah negara itu dalam porak-peranda?" soalnya.

Sementara itu, pemimpin Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, blogger tersebut berusaha bersungguh-sungguh mahu melihat pertembungan antara pemimpin negara.

"Kita memang lihat banyak blog di dalam Malaysia ini yang memainkan isu-isu cuba melagakan antara pemimpin negara iaitu antara Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, yang dilibatkan sama untuk bertembung dengan perdana menteri.

"Perkara seumpama ini perlu diberhentikan sebab saya melihat ia tidak ada impak positif," katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, setiap blogger perlu beretika dan bertanggungjawab ke atas setiap yang ditulisnya, bukan semata-mata bebas membuat sebarang tuduhan tanpa fakta.

"Mereka (blogger) ini datang daripada latar belakang profesional. Mereka kena beretika. Perkara ini kalau berlarutan akan mencemarkan institusi blogger itu sendiri, mungkin dibawa ke tindakan mahkamah dan sebagainya.

"Jadi, perkara ini perlu dilihat dengan saksama. Sebagai blogger kena beretika juga, tidak boleh menulis sesuka hati tanpa fakta dan kenyataan," katanya.

Pemimpin Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menjadi kebiasaan bagi seorang penulis memiliki nama pena dan dikenali pembacanya, tetapi yang sebaliknya berlaku apabila seseorang itu berselindung untuk menyerang seseorang.

"Penulis tanpa nama seolah-olah berselindung daripada sesuatu. Lebih-lebih lagi ketika kamu menyerang seseorang. Tidak beretika untuk berselindung di sebalik blog tanpa nama untuk menyerang seseorang," katanya.

Beliau mencadangkan sesiapa yang menjadi mangsa tuduhan atau fitnah oleh blogger tanpa nama membuat laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan dapat diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berkata, blogger yang tidak beretika dengan mencari makan bersama individu berkuasa sudah menyalahgunakan Internet.

"Dalam kes ini, jelas terdapat motif politik di sebalik tindakan pihak terlibat. Tetapi, saya rasa orang ramai sudah bijak memahami yang ini permainan pihak yang berkepentingan," katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu percaya, blogger tersebut dibayar individu atau pihak tertentu yang bekerja bagi menjatuhkan reputasi seseorang.

"Apakah lagi tujuan mereka mencemarkan reputasi seseorang jika bukan kerana wang?" katanya.

Namun, Jazlan berkata sukar untuk SKMM menghentikan tindakan sedemikian kerana Internet ialah sebuah platform terbuka.

Baginya, pendidikan dan kesedaran ialah antara cara terbaik mendidik rakyat.

Sementara itu, ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman mengecam keras tindakan blogger tanpa nama yang mahu melagakan pemimpin negara, juga menyifatkannya sebagai tindakan "pengecut".

"Jika mahu berjuang dalam satu perkara, kenapa berselindung tanpa nama? Jika kamu blogger, tulis nama kamu... saya rasa ia tindakan pengecut dengan tidak meletak nama.

"Kamu bebas untuk menulis segalanya, tetapi kamu perlu tulis nama kamu ke atas pandangan yang kamu suarakan," katanya yang juga bekas ketua Puteri Umno.

Salah seorang exco kelab penyokong Dr Mahathir, Kelab CheDet, juga mempersoalkan kredibiliti blogger tanpa nama tersebut, berbanding dengan penulis lain yang mempunyai nama pena dan wajah dikenali dalam penulisan mereka.

"Saya gesa blogger tanpa nama ini tampil dan tunjukkan muka. Jangan menyerang dan berselindung di sebalik blog tanpa nama. Jika kamu berani mengkritik, kamu juga perlu berani letak nama kamu," kata Mohd Ikhmal Abu Bakar.

Katanya, penulis yang menyerang seseorang personaliti di Internet dan kemudiannya bersembunyi, tidak mempunyai nilai dan begitu juga artikel yang ditulisnya.

"Mereka ini tidak mempunyai kredibiliti bagi saya. Tulisan mereka tidak mempunyai impak. Orang ramai tidak tahu tentang mereka ini," katanya.

"Jika The Malaysian Insider tidak mendedahkan laporan ini, orang ramai akan mengabaikan blogger ini," kata beliau merujuk kepada blogger pro-Jho Low yang dikatakan berada di belakang serangan ke atas Dr Mahathir, Nazir Razak dan Tong.

"Orang ramai tidak sepatutnya mempercayai tulisan blogger tanpa nama ini," katanya.

Blogger yang tidak dikenali itu menggunakan nama 'ahrily90' dan menulis di blog berikut sejak pertengahan tahun 2014: kronismemahathir.wordpress.com dan politikukus.wordpress.com. Dua blog ini menyerang Dr Mahathir sejak Julai tahun lepas.

“ahrily90” juga menulis 2 blog yang menyerang Nazir: kamibukanbodohtau.wordpress.com dan corruptednazirrazak.wordpress.com serta 3 blog yang memuji 1MDB dan Jho Low: bisnes2malaysia.wordpress.com, todayinbusiness.wordpress.com dan worldofcorporate.wordpress.com.




Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...