Tuesday, 17 February 2015

BN Terkedu Dengan Tindakan Azmin Ali?


Kerajaan Selangor membatalkan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.Menteri Besar Azmin Ali berkata ia dibatalkan kerana syarikat konsesi gagal memenuhi syarat ditetapkan dalam tempohnya.

Kidex adalah projek lebuh raya termahal yang pernah dicadangkan, kira-kira RM148 juta bagi setiap kilometer.


Projek sepanjang 14.9 kilometer, yang sepenuhnya dibina secara jejambat (fully elevated), menghubungkan Damansara di utara dengan Bandar Kinrara di selatan. Ia memakan kos sebanyak RM2.2 bilion.

Projek ini sejak dari awal mendapat bantahan penduduk di laluannya dan bantahan ini turut disokong oleh wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat.


Kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh menteri besar seperti berikut:

Kerajaan Selangor mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh.

Selain daripada pembangunan ekonomi, pentadbiran Selangor turut menitikberatkan sumbangan sosial dan manusiawi dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli akan menjadi teras dalam setiap pembangunan di Selangor.

Pertikaian mengenai kelulusan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) sebelum ini banyak berkisar kepada persoalan-persoalan ini.

Kerajaan negeri telah menggunapakai maklum balas orang ramai yang terbabit untuk menetapkan syarat-syarat khusus yang perlu dipatuhi.

Kerajaan negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina.

Pendirian ini telah diluluskan dalam pembentangan belanjawan Selangor 2015 di persidangan Dewan Negeri Selangor pada 24 November 2014.

Justeru, pihak konsesi Kidex perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Menyediakan Penilaian Impak Lalulintas (Traffic Impact Assessment) yang bebas, Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment).

Kajian-kajian ini perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuhraya tersebut.

2. Mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk segala kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberikan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan (rate of return to investment).

3. Mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang menegaskan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Kerajaan negeri telah memaklumkan kepada Kidex untuk mematuhi syarat-syarat ini sebelum 14 Februari 2015.

Oleh kerana tidak ada satu pun syarat-syarat ini yang dipatuhi oleh Kidex setelah tempoh masanya tamat, maka kerajaan Selangor dengan ini mengumumkan pembatalan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Pendekatan yang sama akan digunakan dalam mempertimbangkan permohonan kelulusan oleh lebuhraya-lebuhraya lain yang dicadangkan di bawah bidang kuasa kerajaan Selangor.





Iklan B (ii)








2 comments:

  1. Datum Jelatek mcmmana pulak

    ReplyDelete
  2. Datum Jelatek diteruskan, cow sibuk apa hal, cow bukan org situ pun.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...