Tuesday, 10 February 2015

Amanat Terakhir Anwar Ibrahim


Beberapa jam sebelum keputusan rayuan terakhir Mahkamah Persekutuan bakal menentukan masa depan politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penyokongnya terus berjuang walaupun terpaksa ke penjara.

Bercakap pada perhimpunan terakhir siri "Rakyat Hakim Negara", Anwar berkata perjuangan menegakkan keadilan dan kebajikan rakyat akan terhenti sekiranya ia tidak diteruskan.

"Sebaik kita serah diri, itu bermakna berakhirnya perjuangan politik.

"Kalau masuk penjara sekalipun, kita tetap berjuang dan kita tidak akan menyerah kalah," kata ketua pembangkang itu di hadapan kira-kira 2,000 orang yang berhimpun di Padang Timur, Petaling Jaya, malam tadi.

Mahkamah Persekutuan dijangka menyampaikan keputusan rayuan terakhir Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar, 67, selepas mendapati beliau bersalah meliwat Saiful, 27, di sebuah unit kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Anwar Ibrahim dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin, sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sesuatu kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan 'Rakyat Hakim Negara' di Petaling Jaya, malam tadi.

2015.Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sesuatu kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan 'Rakyat Hakim Negara' di Petaling Jaya, malam tadi.

Anwar Ibrahim hari ini mengulangi pendirian tidak bersalah dan menyatakan kesediaan menghadapi sebarang kemungkinan selepas keputusan mahkamah esok.

"Saya tidak bersalah, mengapa saya perlu ke penjara?" katanya.

Anwar yang bakal hilang kerusi Parlimen Permatang Pauh jika didapati bersalah menegaskan beliau pulang untuk berdepan perbicaraan demi memberi contoh kepada umum agar melawan sistem dan pemerintah yang menindas.

"Kalau perjuangan ini tuntut sedikit pengorbanan, saya mesti ke depan.

"Kalau saya mahu anak-anak muda ke depan, maka saya mesti sanggup ke depan dan beritahu mereka saya bersedia hadapi (sebarang kemungkinan)," katanya.

Beliau melahirkan harapan mahkamah esok akan membuat keputusan yang "wajar dan waras.

"Saya sedia terima segala ujian sekiranya itu harga yang saya harus bayar untuk capai matlamat perjuangan," tambah Anwar.

Perhimpunan terakhir dalam siri jelajah Anwar itu juga menyaksikan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain turut memberi komitmen meneruskan kerjasama yang terjalin.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu menekankan tentang pentingnya PR terus kekal bersama bagi terus menjadi pemangkin dan alternatif kepada rakyat.

"Janganlah kita berpecah, Umno sangat suka kalau kita berpecah.

"Sama ada Anwar berada luar atau dalam penjara, kita terus kekal dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan keputusan yang bakal diumum esok sebagai ujian kepada rakyat seluruh negara dalam melawan ketidakadilan.

"Esok bukan Anwar Ibrahim dibicarakan, tapi seluruh sistem, Malaysia khususnya dibicarakan," katanya.

Lim memuji keberanian Anwar yang sanggup pulang dan berdepan dengan proses mahkamah walaupun menyedari risiko yang bakal dihadapi.

"Anwar tidak lari, beliau seorang patriot dan nasionalis untuk Malaysia," katanya.

Turut hadir dalam perhimpunan itu isteri Anwar, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, yang juga menteri besar Selangor.





Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...