Sunday, 11 January 2015

Tenggelam Bot Nelayan, Malaysia Pun Pernah


Susulan pihak berkuasa Indonesia mengebom bot nelayan Malaysia pada Khamis, akhbar Mingguan Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak berlebihan dalam memberi reaksi berhubung isu itu. 

Awang Selamat, nama pojokan yang mewakili suara pengarang akhbar edisi Ahad itu, mendakwa Malaysia juga pernah melakukan perkara sama namun tidak mendapat liputan yang meluas.

“Tiada apa yang menggemparkan dengan tindakan pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini yang meletupkan sebuah bot nelayan Malaysia.

“Bot itu diletupkan sebagai sebahagian daripada proses menenggelamkannya yang insiden itu mendapat liputan meluas media di Indonesia. 

“Di Malaysia, terdapat juga bot nelayan asing yang selepas didapati bersalah oleh mahkamah kerana menceroboh, dimusnahkan atau ditenggelamkan, cuma dilakukan tanpa heboh,” katanya seperti disiarkan akhbar milik Umno itu hari ini.

Awang Selamat berkata, berdasarkan insiden itu Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penguatkuasaan tegas yang dilakukan Indonesia.

Katanya, letupan bot nelayan itu jelas menunjukkan Indonesia tidak berkompromi dengan pelanggaran undang-undang di negaranya walaupun menyentuh sensitiviti negara jiran.

“Lain pula cerita di negara kita. Selama ini, bumi Malaysia menjadi sasaran jutaan warga asing termasuk dari Indonesia dengan pelbagai salah laku antaranya kemasukan tanpa izin, pencerobohan nelayan dan jenayah. 

“Penguatkuasaan lemah dan bermusim selain adakalanya kendur kerana mengambil kira bantahan negara jiran. 

“Awang harap pihak berkuasa kita buka mata, kedaulatan Malaysia tidak lagi boleh diambil mudah oleh warga asing,” katanya. 

Detiknews melaporkan pihak berkuasa Indonesia meletupkan sebuah bot nelayan Malaysia yang dipercayai menceroboh perairan Indonesia pada bulan lalu.

Bot itu diletupkan menggunakan bahan peledak yang diketuai Ketua Polis Daerah Sumut Irjen Eko Hadi Sutedjo di sekitar Pelabuhan Belawan, Medan.

“Kapal dengan nombor pendaftaran PKFA 7738 itu ditangkap pihak Direktorat Kepolisian Air (Polair) Sumut pada 9 Disember kerana menangkap ikan di sekitar Selat Malaka yang masuk perairan Indonesia.

"Saat ditangkap, ditemukan barang bukti ikan. Ikannya sudah dilelong, hasilnya untuk negara. Sementara kapalnya, sesudah melalui proses di pengadilan, kemudian kita tenggelamkan," katanya kepada portal itu.

Eko Hadi berkata, bot itu ditemui sekitar 16 batu timur laut Pulau Pandan dan semasa penggeledahan, kapal yang mempunyai bendera Malaysia itu membawa 150kg hasil laut.



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...