Monday, 5 January 2015

Senyap-Senyap.. Rupanya Najib Berada Di Sini..


Melalui laman sosial Facebook dan Twitter miliknya, Najib Razak menulis pagi tadi bahawa beliau kini berada di Thailand setelah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri negara itu, Jenderal Prayuth Chan-ocha semalam.

Perbincangan itu dikatakan berkaitan banjir serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada rakan sejawatannya itu atas sumbangan yang dihulurkan bagi membantu mangsa banjir di Malaysia.

Katanya lagi, mereka juga bertukar pandangan tentang langkah pemulihan dan pengalaman Thailand dalam menghadapi bencana banjir.

Kali terakhir Najib dilihat berada di dalam negara ialah pada malam tahun baru di mana beliau berada di sebuah masjid di Pengkalan Kubur, Kelantan. Selepas itu, berita mengenainya senyap begitu saja dan tiada sesiapa tahu ke mana beliau menghilang.

Beradanya Najib di Thailand dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand hanya diketahui kerana hebahan yang dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri melalui laman sosial miliknya. Jika tidak, mungkin ramai yang menyangka beliau berehat saja di Seri Perdana setelah menghabiskan banyak masa meninjau mangsa banjir di seluruh negara hampir seminggu sebelum ini.

Kenapa Najib pergi ke Thailand secara senyap-senyap? Adakah ia lawatan rasmi, kunjungan peribadi atau menyambung percutian di Hawaii yang tergendala sebelum ini?

Senyap-Senyap.. Rupanya Najib Berada Di Sini

Kalau lawatan rasmi, siapa anggota rombongannya dan kenapa tiada wartawan ikut serta dan tiada juga laporan berita mengenai pemergiannya itu sedangkan yang ditemuinya adalah Perdana Menteri Thailand?

Mengapa juga tiada gambar Najib bersama Perdana Menteri Thailand sedangkan sebelum ini beliau amat gemar memuat-naik gambarnya bersama pelbagai personaliti di media sosial miliknya?

Jika bercuti pula, kenapa dilakukan secara sembunyi dan tidak diketahui oleh sesiapa? Jika dimaklumkan, sama ada kerana lawatan rasmi atau bercuti, tentu ramai yang ingin menghantar dan mencium tangannya di lapangan terbang.

Sebelum ini, pemergian Najib bercuti ke Hawaii juga dilakukan secara rahsia dan ia hanya diketahui ramai apabila gambarnya bermain golf bersama Presiden Amerika, Barack Obama didedahkan oleh media antarabangsa.

Pemergian Najib ke Thailand dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya tiadalah apa-apa yang istimewanya jika tidak diketahui pesawat khas yang membawanya ke Hawaii sebelum ini, turut sedang singgah di Bangkok ketika ini.

Melalui laporan laman penjejak pesawat, FlightRadar 24, pesawat khas kerajaan dengan nombor pendaftaran 9M-NAA itu yang ditinggalkan ketika Najib kembali sendirian untuk meninjau keadaan banjir dalam negara, dilaporkan terbang daripada Hawaii - Indianapolis - Los Angelas - New York - London - Dubai dan destinasi terakhirnya dikesan semalam ialah di Bangkok, Thailand.

Sejak itu, timbul percakapan bahawa jet itu sedang digunakan oleh isterinya, Rosmah Mansor yang tidak kembali bersama-sama dengan Najib untuk meninjau suasana banjir sebelum ini.

Apabila FlightRadar24 mengesan jet itu singgah di Bangkok, ramai yang tertanya-tanya siapakah yang sedang menggunakannya dan apa yang dilakukannya di ibu negara Thailand itu?

Tetapi apabila pagi tadi Perdana Menteri sendiri memaklum beliau berada di Thailand selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, teka-teki orangramai mengenai kehilangan Najib sejak dua hari lalu, misteri jet singgah di Bangkok dan segala hal berkaitan dengannya bagaikan sudah mula terjawab.

Cuma timbul persoalan, apakah perancangan Najib pergi ke Thailand sudah lama dilakukan atau semata-mata untuk "menjemput" pesawat khasnya di Bangkok dan kemudian kembali ke dalam negara menaiki jet mewah itu bersama-sama isteri dan ahli keluarganya yang lain?

Mungkinkah pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand juga baru saja dirancang, seiring dengan kebetulan beliau mahu pergi ke negara itu? 

Dengan Najib sendiri mengesahkan beliau berada di Thailand dan jet 9M-NAA juga "kebetulan"  berada di negara itu, janganlah terperanjat jika kembalinya ke dalam negara dalam waktu yang singkat ini, orang pertama yang melangkah keluar daripada jet itu nanti ialah Najib sendiri.

Mungkin juga media akan dijemput secara besar-besaran untuk merakam gambarnya keluar daripada jet bagi membuktikan selama ketiadaannya, tiada sesiapa selainnya menggunakan jet itu. ~shahbudin.com



Iklan B (ii)






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...