Thursday, 8 January 2015

Selepas Banjir.. Ini Mungkin Berita Gembira Buat Rakyat Kelantan


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membina empangan pelbagai guna di hulu Sungai Kelantan sebagai sebahagian daripada langkah utama menyelesaikan masalah banjir di pantai timur.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Ab Qahar Osman berkata, projek RM3 bilion itu merupakan satu projek tebatan banjir dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) untuk diberi keutamaan bagi mengatasi bencana banjir pada masa akan datang.

“Untuk RMK-11 kita akan tumpukan pada beberapa cadangan bagi selesaikan masalah banjir secara total. Kos pembinaan (empangan itu) yang dianggarkan adalah RM3 bilion dan akan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.

“Kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku baru-baru ini yang mana sungai tidak mampu menampung kuantiti air hujan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya, empangan itu bukan hanya berfungsi sebagai kawasan tadahan air hujan bagi mengelak berlakunya banjir tetapi menjana tenaga elektrik, menjadi saluran pengairan air dari sungai dan membekalkan air untuk pengguna domestik.

Berkongsi cerita mengenai banjir di pantai timur, Ab Qahar berkata jumlah hujan yang direkodkan di negeri-negeri pantai timur yang terlibat banjir dalam masa 10 hari adalah 850mm melebihi paras normal iaitu 100mm.

“Sehubungan itu, sungai-sungai utama tidak mampu menampung kuantiti air hujan itu dan menyebabkan air mengalir terus memasuki kawasan penempatan penduduk,” jelas beliau.

Setakat ini katanya, beberapa projek tebatan banjir telah dilaksanakan di Kelantan di bawah RMK-10 iaitu projek meninggikan tebing dan melebarkan sungai supaya air tidak melimpah dengan perbelanjaan kira-kira RM100 juta.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan projek tebatan banjir akan diberi keutamaan dalam RMK-11. ~free malaysia today



Iklan B (ii)







1 comment:

  1. Mohon tanya pihak Saliran, apa sebab baru sekarang sedar sungai tak mampu 'menampung kuantiti air hujan', yg bolih mencadangkan bahawa kurang kajian2 unjuran dan pelaksanaan sebelum ini. Apakah kerana pentarahan bukit bukau dan penuaian kayu balak secara melampau yg menyumbang kadar keladak hakisan yg tinggi sehingga merosakkan kemampuan sungai mengalirkan 'air hujan'. Sayugia maklum pemerintah memang minat menjanji 'projek' gergasi seperti empangan Bakun di Sarawak, namun di bimbangi ia bakal menimbul masaalah lain seperti di Cameron, ya'ani tanda2 penyakit yg dirawat tetapi bukan punca2nya.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...