Sunday, 25 January 2015

Punca Anwar Bersama Kem Najib Tersebar?


Punca Anwar bersama kem Najib tersebar? Seperti dijangka oleh orang ramai, cyber troppers Umno belaan team Najib menyerang Daim. Bukan setakat media milikan Umno sahaja tetapi juga melibatkan pemimpin PKR. 

Daim yang menyebelahi kem Mahathir, mengkritik pentadbiran Najib. Dilihat peperangan ini akan menghancurkan Umno. 

Tetapi yang menjadi persoalan, kenapa Anwar terlibat dalam peperangan ini. Adakah kepentingan peribadi Anwar dalam peperangan ini? Apa punca Anwar bersama kem Najib?

Daim diserang ugutan video seks, tapi tekanan tetap pada Najib
Perang proksi dalam media arus perdana dan di Internet di antara Datuk Seri Najib Razak dan pengkritik dalaman Umno seperti mengulangi sejarah percubaan untuk menyingkirkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata seorang blogger pro Barisan Nasional (BN). 
Tetapi kali ini taktiknya lebih kotor, secara tidak langsung dan lebih lucah dengan mangsa terbaru adalah bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang diancam didedahkan video seksnya. 
"Kita merasakan ia kerja blogger-blogger upahan yang sanggup melakukan apa saja asalkan menerima bayaran. Tindakan untuk menggesa Najib meletak jawatan semakin kuat, sama seperti ketika zaman Pak Lah," kata Anuar Mohd Nor yang dikenali dengan blog Umno Reform merujuk kepada Abdullah. 
Klip penuh dengan teks selama satu minit dan 40 saat dimuat naik di laman perkongsian video atas talian YouTube, oleh pemilik akaun WikiLeaks Malaysia tanpa memaparkan sebarang aksi seks,  tetapi menjanjikan bakal mendedahkan video temu ramah dengan “mangsa” Daim yang dikatakan berasal dari Vietnam, Indonesia dan Thailand. 
Klip itu juga mendakwa AS$10,000 dibayar kepada mereka yang masih dara dan akan diperiksa doktor peribadi Daim. 
Daim menjadi sasaran kerana kritikannya kepada cara Najib menguruskan politik dan ekonomi. 
Walaupun pengkritik utama ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Daim terperangkap di tengah-tengah, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin baru-baru ini. 
Menurut Anuar yang pernah menganggotai Unit Media Baru Umno itu, Najib tidak dibantu faktor ekonomi lain seperti kejatuhan nilai ringgit dan kejatuhan harga minyak dunia yang memberikan kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, ini menyebabkan kecenderungan untuk menjatuhkan pemimpin juga cukup tinggi. 
"Ini spekulasi politik, Tun Dr Mahathir menegur, kemudian tarik balik, seperti main tarik tali...Datuk A Kadir Jasin dan Daim kemudiannya mula turut mengkritik Najib," katanya. 
“Ia berlaku kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ketika krisis ekonomi pada 1998 apabila beliau dipecat dan mencetuskan reformasi," katanya merujuk kepada apa yang dilakukan Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kemuncak krisis ekonomi Asia pada 1998. 
Serangan kepada pemimpin veteran seperti Daim bagaimanapun mungkin akan “menikam balik” Najib, kata Kadir dengan mengatakan orang seperti bekas menteri kewangan itu dan Dr Mahathir tidak akan rugi banyak kerana sememangnya sudah tidak memegang jawatan politik. 
Seorang lagi blogger Shahbudin Husin yang merupakan bekas ketua penerangan Umno Wilayah Persekutuan dalam tulisannya pada Rabu berkata Najib harus bersuara dan menyatakan pendirian tentang serangan terhadap Daim. 
Shahbudin berkata, kesan perang proksi dirasai Umno sendiri dan Najib selaku presiden parti perlu menamatkannya dengan menjawab isu ditimbulkan Daim. 
“Sebagai pemimpin, beranilah berkata benar dan jangan bersikap baling batu sembunyi tangan. Kalau mengetahui dan merestuinya, berdirilah dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang yang berani. 
“Namun berdiam diri dan bisu seperti selalu bukan lagi pilihan ketika ini,” kata Shahbudin. 
Media arus perdana menyerang Daim dengan tuduhan rasuah dan memberikan liputan meluas kepada Anwar yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika siasatan dilakukan terhadap bank bekas menteri kewangan itu. 
Komen Anwar diberikan liputan meluas dalam media arus perdana yang sebelum ini bersikap dingin terhadap ahli politik pembangkang Pakatan Rakyat (PR). 
Pemimpin pembangkang sebelum ini menggesa SPRM menyiasat Daim, seperti dilakukan bekas ketua pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin. 
Anwar membuat 15 laporan tahun lalu, menuduh Daim mengaut bilion ringgit melalui Bank Afrika dan Eropah Timur menggunakan proksi. 
Daim menafikan dakwaan itu dan berjanji untuk memberikan kerjasama kepada SPRM. 
Susulan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdul berkata, badan anti rasuah itu sudah menemu bual Daim dan akan bertemu Anwar untuk membantu siasatan. 
Tindakan Anwar itu mengejutkan beberapa pihak, terutamanya sekutu PR DAP apabila mempersoalkan kewujudan "pertalian" antara Anwar dan Najib. 
Ahli Parlimen Raub (DAP) Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata,kesungguhan Anwar itu dilihat akan menggagalkan usaha PR untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.
"Adakah terdapat perjanjian di antara Najib dan Anwar? Anwar membantu Najib menjatuhkan Daim kerana Najib sebenarnya berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. 
"Bagi saya, kelihatan keutamaan Anwar kini bukanlah PR. Walaupun beliau memberitahu saya tidak kisah isu tersebut, saya fikir keutamaannya sekarang ialah kebebasan sendiri," katanya menerusi kiriman di blognya Sakmongkol AK47 hari ini. 
Katanya, media Umno seharusnya diberikan ruang seluas-luasnya untuk bercakaran sesama sendiri tanpa melibatkan pemimpin PR. 
"Kita patut membiarkan Daim dan orangnya seperti penulis, blogger dan bekas menteri untuk menjatuhkan Najib. 
"Jangan halang Zam menyampaikan cerita sensasi tentang Najib supaya seluruh Malaysia mengetahui siapakah Najib sebenarnya," katanya merujuk kepada bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin. ~malaysian insider


Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...