Sunday, 18 January 2015

Berita Ini Menyakitkan Hati Pemimpin DAP


PAS hari ini menyelar DAP kerana "cakap tidak serupa bikin" dalam mempersoalkan hudud yang dikatakan tidak dipersetujui Pakatan Rakyat (PR), sedangkan mereka sendiri mendahului gabungan itu dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, ketika DAP mempertikaikan Kelantan kerana mahu melaksanakan hukum Islam hudud, DAP cuba melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang walaupun ianya tidak pernah dipersetujui PR.

"Sedangkan Pakatan sebelum ini pernah membincangkan isu hudud dalam mesyuarat dan dicapai kata sepakat untuk  'agree to disagree' dan mengakui hudud melampaui Pakatan Rakyat kerana ia diluluskan di Kelantan sebelum wujudnya Pakatan Rakyat lagi di samping ia dilaksanakan untuk orang Islam dan di Kelantan sahaja," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

"Sedangkan isu pilihan raya kerajaan tempatan tidak pernah dibawa kepada Pakatan Rakyat, tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah dipersetujui tetapi DAP tetap mahu meneruskan pelaksanaannya di Pulau Pinang. Ini cakap tidak serupa bikin."

Mustafa mengulas tulisan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke (gambar) yang mempertikaikannya dalam wawancaranya bersama sebuah akhbar berbahasa Cina.


Dalam kenyataan itu, Loke merujuk kepada laporan wawancara setiausaha agung PAS itu bersama akhbar Sin Chew Daily yang disiarkan pada 12 Januari lalu yang turut dipetik sebuah portal.

"Dalam wawancara tersebut, Datuk Mustafa Ali membuat beberapa andaian politik terhadap DAP, yang pihak kami merasakan tidak tepat sama sekali dan perlunya diperjelaskan secara terbuka melalui kenyataan ini," kata Loke.

Dalam wawancaranya itu, Mustafa mendakwa DAP tidak akan berjaya ke Putrajaya tanpa kerjasama dengan pihak lain, termasuk PAS.

Mustafa memberitahu The Malaysian Insider, PAS mengaku hudud tidak termasuk dalam polisi bersama dan bukan agenda PR.

Tetapi ia sudah menjadi janji lama PAS kepada pengundinya di Kelantan dan dimasukkan dalam manifestonya sejak beberapa pilihan raya umum yang lalu.

"Kita laksanakan ini di Kelantan dan untuk orang Islam sahaja," katanya.

Hubungan di antara parti dalam PR terutamanya di antara PAS dan DAP semakin keruh terutamanya selepas kemelut menteri besar Selangor.

Walaupun sudah bersetuju Selangor diterajui PKR, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahu bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memimpin negeri itu.

PKR dan DAP sebulat suara mahu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Khalid.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah memilih Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk menjadi menteri besar Selangor.

Semenjak kemelut menteri besar Selangor, Hadi tidak pernah menghadiri mesyuarat PR dan tidak pernah dilihat bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.


Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...