Tuesday, 6 January 2015

Lagi Banjir Besar Akan Berlaku?


Persiapan dalam menghadapi gelombang ketiga banjir di negeri ini yang dijangka tidak lama lagi, kini diperkemaskan dengan penyertaan lebih banyak agensi-agensi lain bagi memantapkan lagi pengurusan bagi menghadapi bencana itu.

Dengan berpandukan keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang baru-baru ini, pihak Majlis Keselamatan Negera (MKN) Johor turut mengambil kira peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk turut serta dalam gerak kerja menghadapi banjir di negeri itu.

Ketua Penolong Setiausaha MKN Johor, Azura Muhammed Kifli berkata persiapan  kali ini lebih kepada persediaan menghadapi keadaan banjir di luar jangka.

Ada beberapa agensi baru yang dilibatkan dalam pengurusan bencana seperti KPDNKK dan SKMM bagi mengukuhkan lagi jentera.Berdasarkan situasi banjir yang lepas, mereka akan bantu selaraskan ikut fungsi jabatan masing-masing seperti KPDNKK memastikan kelangsungan bahan bakar semasa bencana manakala SKMM menyelaras syarikat komunikasi dan (sistem)komunikasi alternatif," kata beliau hari ini.

Selain itu, Azura berkata setiap daerah juga diminta untuk merangka pelan penempatan aset secara bersepadu bagi mengelakkan pembaziran logistik terutama dalam keadaan kritikal.

"Aset-aset agensi seperti bot, lori dan trak, kita selaraskan penggunaan dan kawasan agar tiada pertindihan semasa bagi bantuan. Tiadalah nanti timbul persoalan yang semua bot digerakkan ke satu tempat sahaja," kata beliau.

Selain itu, bagi menyelaraskan bantuan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan stor pangkalan hadapan di daerah-daerah berisiko bagi memudahkan penyimpanan dan pengedaran bantuan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri Mohd Rizal Buang berkata pihak bomba mengambil peluang tempoh bertenang ini untuk memulihkan aset-aset bomba yang dipinjamkan ketika banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Selain itu, 44 anggota bomba yang turut membantu operasi banjir di tiga negeri itu juga sudah dipanggil balik memandangkan situasi banjir di sana kian pulih."Kita mempunyai 52 bot pelbagai jenis, 60 (kenderaan) pacuan empat roda dan 10 lori lima tan dan tiga tan yang boleh digunakan untuk bencana banjir dan misi menyelamat mangsa. 

Selain itu, kekuatan anggota bomba negeri ini adalah seramai 1,200 orang," kata beliau ketika dihubungi, di Johor Baru.Rizal berkata selain itu, pihak bomba juga mempunyai 600 anggota bomba sukarelawan dan 50 anggota bomba bantuan yang sedia dikerahkan ketika bencana banjir.

Beliau turut memuji persediaan kebanyakan rakyat Johor yang sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan banjir sehingga memudahkan proses perpindahan yang terjadi baru-baru ini."Saya dapati kesedaran rakyat negeri Johor mengenai banjir semakin baik. Ini dapat disaksikan ketika banjir baru-baru ini, apabila mereka mengambil inisiatif sendiri untuk berpindah bila air  naik ke paras buku lali. 

Tiada kes yang melibatkan anggota kita menyelamat mangsa menggunakan bot kerana mereka sudah berpindah bila paras air makin naik," kata beliau.Bagaimanapun, bagi banjir gelombang ketiga ini, beliau menasihatkan agar masyarakat terus mengikuti dan berwaspada dengan sebarang berita atau amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebagai persiapan.

Antara daerah yang dijangka banjir akibat hujan monsun itu termasuk daerah Kota Tinggi, Mersing, Batu Pahat dan Muar.Pada 3 Jan lepas, MetMalaysia berkata episod hujan monsun dijangka bermula 7 atau 8 Januari ini dengan kemungkinan membawa taburan hujan berterusan selama dua hingga tiga hari di negeri seperti Johor, Sabah dan Sarawak. ~malaysian insider



Iklan B (ii)






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...