Sunday, 11 January 2015

Berita Ini Membimbangkan Penduduk Pantai Timur

Banjir Gelombang Ketiga

Rakyat di Kelantan dinasihat supaya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga berikutan cuaca tidak menentu pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata mereka perlu patuh kepada arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak menunggu sehingga waktu kritikal.

"Saya minta semua orang bersiap siaga dan apabila amaran mengarahkan berpindah, maka pindah secepat mungkin.

“Masalah besar adalah apabila orang berpindah semasa banjir, ketika air naik dan sesetengah tempat kita kena paksa mereka pindah," katanya di Kota Baru hari ini.

Shahidan berkata kerajaan melalui jabatan dan agensinya sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga, termasuk persiapan pengangkutan, pusat pemindahan dan bekalan makanan.

"Semua ketua jajahan di negeri ini diarahkan supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan namun kita berharap sekiranya berlaku gelombang ketiga ia tidak seteruk gelombang kedua pada bulan lepas," katanya.

Pada gelombang kedua banjir yang berlaku bulan lepas, lebih 104,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh negeri ini.

Shahidan berkata Majlis Keselamatan Negara akan mendaftarkan semua sukarelawan termasuk dari Institusi Pengajian Tinggi yang terlibat membantu semasa banjir dan pasca banjir supaya mudah untuk digerakkan pada masa depan.

Beliau berkata semangat sukarelawan yang ditunjukkan mereka adalah amat tinggi dan kerajaan amat menghargai sumbangan mereka. 



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...