Wednesday, 28 January 2015

Banjir Besar Bakal Berlaku Lagi.. Ikuti Penjelasan Pakar


Malaysia bakal menyaksikan lagi beberapa banjir besar sehingga menyebabkan lebih 100,000 rakyat Kelantan hilang tempat tinggal ekoran pemanasan global, penebangan hutan, dan kelemahan penguatkuasaan.

Kesimpulan ini dicapai pakar semasa forum perbincangan mengenai banjir Kelantan malam tadi yang membahaskan 3 faktor ini yang pada asalnya berlaku setiap tahun, bertukar menjadi malapetaka.

Memandangkan banjir berlaku setiap hujung tahun, faktor ini dijangka akan berlaku di negeri lain dan mungkin lebih buruk.

Pakar kaji cuaca, Dr Liew Ju Neng berkata, taburan hujan luar biasa sehingga 4 jam sehari di Kelantan berlaku disebabkan elemen iklim tropika yang dipanggil Madden Julian Oscilation (MJO).

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, MJO berasal dari Lautan Hindi dan melintasi Malaysia 4 kali setahun.

"Apabila MJO bertemu musim monsun timur laut di Semenanjung Malaysia pada hujung tahun, hujan akan turun lebih kerap daripada biasa," katanya semasa forum ‘Banjir di Kelantan: Takdir atau kebetulan?’ di Kuala Lumpur malam tadi.

MJO meningkatkan jumlah angin timuran yang membawa lebihan air dan mendorong monsun mengeluarkan hujan luar biasa apabila melintasi Semenanjung Malaysia.

Liew berkata, walaupun MJO melintasi Malaysia 4 kali setahun, tetapi hujan ribut hanya berlaku apabila ia mencapai fenomena iklim lain seperti monsun.

"Sejak tahun 1970 MJO menjadi semakin aktif. Ekoran pemanasan global, MJO meningkat daripada 40% kepada 50%. Jadi dalam tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang MJO akan melintasi kawasan kita 6 kali setahun," katanya.

Peningkatan kekerapan MJO akan menyebabkan lebih banyak ribut petir yang akan menjadikan banjir lebih kerap berlaku.

Banjir besar di Johor pada tahun 2006 dan 2007 yang berpunca daripada hujan luar biasa, juga disebabkan oleh MJO, kata Liew.

Forum malam tadi dianjurkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), salah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang turun membantu kawasan terjejas akibat banjir di Kelantan.


Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff (gambar atas) berkata, banjir menyebabkan kemusnahan RM2 bilion manakala 2,500 rumah musnah di Kelantan dan mengorbankan 12 nyawa.

Turut terjejas negeri Perak, Terengganu, dan Pahang yang melibatkan 200,000 penduduk sehingga hujung tahun lalu.

Kerajaan Kelantan dan Putrajaya dipersalahkan kerana tidak cukup bersedia menjalankan misi bantuan selepas ada penduduk yang terputus hubungan, bekalan makanan dan pakaian selama berhari-hari.

Aktivis Sahabat Alam Malaysia (SAM) Sharmila Ariffin berkata, faktor lain adalah kerana penebangan hutan bagi tujuan perladangan.

Katanya, jumlah penebangan hutan di Kelantan adalah paling tinggi di Semenanjung.

Kadar penebangan hutan disebabkan ladang pembalakan semula dalam kawasan hutan simpan di Kelantan. Pada 2014, kerajaan negeri memiliki 162,000 hektar tanah yang diklasifikasikan sebagai perladangan balak.

Kawasan perladangan yang sudah dibersihkan, hasil balak serta kawasan belukar yang diambil menyebabkan kawasan tanah menjadi rata dan gondol.

Walaupun Kelantan negeri paling tinggi dalam perladangan balak di Semenanjung, menurut Sharmila, kerajaan pusat juga mempunyai dasar menggalakkan perladangan di seluruh negeri.

"Ini merupakan dasar di seluruh negeri. Bukan hanya di Kelantan. Ada RM1 bilion dana daripada wang rakyat digunakan untuk menggalakkan penebangan hutan dan membina perladangan," katanya.

Bekas ketua pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Fuad Abdul Rahman berkata, penebangan hutan akan menyebabkan tanah terhakis dan menjadikan sungai semakin mendap.

"Bila lapisan tanah atas terhakis, tanah tidak lagi mampu menyerap hujan," katanya.

Hujan lebat luar biasa akan menyebabkan paras sungai melimpah dan menyebabkan banjir.

Keadaan itu berlaku di sekitar Sungai Kelantan apabila hutan dibersihkan dan tanah yang terhakis masuk ke dalam sungai, kata Fuad.

Sungai Kelantan merupakan antara sungai utama yang melimpah dan menenggelamkan bandar Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Baru.

Fuad berkata, kemusnahan alam sekitar boleh dikurangkan jika penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) mensyaratkan pihak yang bertanggungjawab menebang hutan perlu mengemukakan pelan kawalan hakisan tanah.

"Kita sudah serahkan hasil kajian mengenai kemusnahan ini kepada kerajaan Kelantan. Tetapi pegawai memberitahu kami amat sukar untuk Kelantan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal hakisan dan mendapan," katanya.

Keadaan ini bukan hanya berlaku di Kelantan sahaja tetapi di semua negeri.

Kegagalan memantau kerja tanah dan menghalang hakisan tanah yang menyebkan aliran air tersumbat menjadikan keadaan lebih buruk ketika musim hujan lebat.

"Badan penguatkuasaan terletak dibawah PBT. Tetapi selalunya mereka tidak ada kesedaran atau kapasiti untuk melaksanakan penguatkuasaan jadi mereka menyerahkan beban kepada JPS.

"Tetapi JPS hanya boleh bertindak sebagai badan penasihat."

Banjir di Kelantan menurut moderator forum, Badrul Hisham Shahrin merupakan peluang kepada negara lebih berhati-hati terhadap bencana yang bakal berlaku pada masa akan datang dan cara untuk mengatasinya.

Katanya, iktibar banjir di Kelantan boleh digunakan di semua negara apabila penonton merumuskan "Jangan salahkan Tuhan berlakunya banjir". ~malaysian insider


Addin:

Maka benarlah ayat-ayat Allah SWT.. kerosakan bumi ini akibat dari tangan-tangan manusia yang rakus.. Sama-sama kita muhasabah..

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. 

(Ar-Ruum:41)





Iklan B (ii)










Iklan B (ii)








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...