Thursday, 18 December 2014

SPR Buat Hal Lagi..


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya tanpa input daripada persatuan sivil dan hanya akan bekerjasama dengan kumpulan dikehendaki seperti ditetapkan dalam Perlembagaan, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. 

"Kami akan kekal dengan peruntukan dalam Perlembagaan siapa yang perlu ditemui dalam melaksanakan perkara itu," katanya kepada The Malaysian Insider, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kenyataan Aziz itu bermakna, pintu sudah pun tertutup buat Bersih 2.0 yang menjadi pemerhati pilihan raya utama negara dan akan memberikan ruang pihak yang mewakili kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. 

SPR hanya dikehendaki mengadakan pertemuan dengan sekurang-kurangnya 100 pengundi berdaftar di dalam sesuatu kawasan mengundi untuk mendengar bantahan berkenaan persempadanan semula atau penambahan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen. 

"Kami tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada jika enggan bertemu wakil pertubuhan sivil," katanya sebagai respon kepada Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang menggesa SPR untuk mendapatkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan dalam melaksanakan perkara itu.

Aziz mengulangi perlunya persempadanan semula dilakukan seperti yang dirancang tahun ini kerana kali terakhir ia dilaksanakan pada 2003.

Lazimnya, persempadanan semula dilakukan setiap 8 tahun sekali, namun pada 2011, ia ditangguhkan kerana persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum 2013 pada Mei tahun lalu.

SPR mempunyai tempoh 2 tahun sama ada untuk melaksanakan persempadanan semula atau menambah bilangan kerusi DUN dan Parlimen sebelum pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan pada 2018.

Bersih mendakwa cubaan SPR melaksanakan persempadanan semula dengan penambahan kerusi bagi memenuhi kehendak Barisan Nasional (BN) untuk cuba memenangi pilihan raya umum akan datang.

Malaysia mengamalkan sistem "first-past-the-post", yang mana mereka yang memiliki kelebihan kerusi di Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan.

BN hanya memenangi sejumlah 47% undi popular dalam pilihan raya lalu berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang memperolehi 52% undi popular.

Bersih berkata, pergerakan itu akan membawa SPR ke mahkamah sekiranya membentangkan cadangan penambahan kerusi tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.

Pemerhati pilihan raya itu membangkitkan kebimbangan SPR akan melaksanakan perkara bertentangan Perlembagaan sekiranya memutuskan untuk menambah bilangan kerusi tanpa meminda Artikel 64 yang mengkehendaki komposisi Dewan Rakyat atau jumlah kerusi Parlimen di setiap negeri. Ia perlu dipinda jika SPR memutuskan pertambahan kerusi.

Aziz berkata kepada The Malaysian Insider, SPR mempunyai sokongan wakil rakyat dan orang ramai untuk melakukan penambahan kerusi ekoran pertambahan dan perkembangan jumlah pengundi.

Beliau berkata, Bersih berhak mengeluarkan pendapat mereka untuk mengekalkan status quo 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Aziz bagaimanapun masih tidak memberikan kata putus sama ada akan berlaku pertambahan kerusi atau tidak.

"Mungkin ada namun ia bergantung kepada ahli Parlimen," katanya.

Sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen diperlukan untuk meminda Artikel 46 dan meluluskan pertambahan kerusi. Untuk persempadan semula, hanya majoriti mudah diperlukan.

Hanya dengan 134 kerusi, BN tidak memiliki sokongan dua pertiga majoriti Parlimen dan memerlukan sokongan 88 ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) termasuk seorang ahli Parlimen pro PR, iaitu Parti Sosialis Malaysia untuk melaksanakan perkara itu,.

Aziz berkata, SPR akan memaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat apabila mereka bersedia untuk menyemak kembali sempadan pilihan raya dan menambah bilangan kerusi Parlimen.

"Kita akan melalui prosedur yang ditetapkan, termasuk memaparkan peta kawasan pengundian dan melakukan inkuiri sekiranya ada bantahan," katanya.

Katanya, SPR juga akan menyediakan laporan akhir untuk diserahkan kepada perdana menteri bagi dibentangkan di Dewan Rakyat. ~malaysian insider




Iklan B (ii)






1 comment:

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...