Monday, 1 December 2014

Pelik Tapi Benar.. Ini Agenda Sebenar Wanita Umno?


Sedih, terhina rasa sebagai seorang wanita, makin pelik dan tidak kurang gelihati selepas mendengar ucapan-ucapan beberapa Pemimpin dan Perwakilan Wanita UMNO sempena PAU 2014 mereka.

Sehingga saat ini saya masih tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Shahrizat sehingga perlu membuat penegasan bahawa Wanita Umno itu bukan tua sebarang tua?

Sambil Shahrizat juga menambah bahawa Wanita Umno itu masih kuat, tidak perlukan gamat atau minyak pelincir! Hatta Shahrizat juga menegaskan bahawa Wanita Umno tidak takut dengan kehadiran orang-orang yang lebih muda berkulit cekang.

Apa sebabnya perlu dinyatakan ini semua? Apa sebenarnya yang berlaku di dalam parti Umno? Adakah Wanita Umno sedang menghadapi usikan atau gangguan sehingga penegasan-penegasan "hysteria" itu sampai perlu terpacul daripada mulut Ketua Wanita Umno?

Begitu juga ketika Shahrizat mengulas darihal jawatan Naib Presiden dalam Umno dari kalangan wanita ; kata Shahrizat mereka boleh menjayakannya tanpa perlu turun ke jalan raya atau membakar bra!

Sejujurnya saya sendiri mahu tahu Pemimpin Wanita parti mana yang cuba disinggung oleh Shahrizat? Adakah insiden membakar bra untuk menuntut jawatan Naib Presiden sesebuah parti itu telah pernah berlaku dan dilakukan oleh mana-mana pergerakan wanita dan jika iya, mereka itu daripada parti politik mana??

Kecenderungan Shahrizat yang ghairah membuktikan Wanita Umno bukan tua sebarang tua dan dikait pula dengan tidak memerlukan pelincir bagi saya adalah satu tindakan yang mengaibkan.

Analogi yang sarat berbaur seksis dan merendahkan martabat kaum wanita seluruhnya. Satu sikap tipikal manusia tidak kira lelaki atau perempuan yang sering meletakkan wanita sebagai simbol seks dan seksis. Amat malang ia diungkapkan oleh seorang yang pernah menjawat jawatan Menteri Wanita Malaysia!

Mengapa perlu diheret ungkapan tua, pelincir dan bra di dalam satu ucapan yang sepatutnya begitu penting dalam perjuangan memartabat serta meletakkan budaya hormat kepada para wanita tidak kira siapa?!

Ia jelik dan menjijikkan. Apakah itu agenda Wanita Umno untuk rakyat khususnya Wanita Malaysia?

Tegas, saya katakan bahawa Shahrizat perlu jawab dan jelaskannya kepada seluruh Wanita Malaysia. Jika tidak, percayalah akan ramai wanita di luar ini yang akan mula memandang perjuangan beliau dengan satu pandangan yang cukup ironi dan sinis. Memandangkan apa yang telah diucapkannya itu adalah terlalu sadis.

Selain daripada itu, ucapan Dato Dr Mashitah Ibrahim yang mewakili Wanita Umno Bahagian Baling juga saya kira sama memeranjatkan dan sangat tidak bertanggungjawab sebagai seorang yang dikenali sebagai salah seorang Ilmuwan Islam, yang sepatutnya menzahirkan sifat amanah kepada semua.

Bukannya didorong oleh keinginan mendapat populariti daripada ucapan-ucapan sensasi yang kononnya sehingga diberikan "standing ovation" oleh perwakilan di dalam dewan PWTC yang masing-masing sama naik kehangatan perkauman mereka!

Demikian, singgungan Mashitoh ke atas beberapa selebriti khususnya yang berhijrah kepada cara hidup Islam yang lebih baik nyata menzahirkan "desperate"nya Mashitah dalam mencuri tumpuan semua pihak.

Sehingga sanggup merendah-rendahkan usaha orang lain di dalam tugas dakwah, sedangkan itulah peranan ummat selaku Khalifah di atas bumi. Malang, Mashitah gagal memahaminya sesuci hati.

Jelas Mashitah kini dalam pada usaha mencari posisinya di dalam umno khususnya sayap wanita, maka Mashitoh sehingga sanggup memainkan isu-isu sensitif perkauman dan keagamaan.

Tiba-tiba Mashitah tampil menjadi pejuang dan pembela agama dengan melakukan fitnah kononnya masyarakat berketurunan Tiong Hua di Kedah telah melakukan upacara sembahyang dengan membakar al quran!

Peliknya Mashitah dan sumber pemberi maklumatnya tidak pula mengambil tindakan wajar melaporkannya kepada pihak berkuasa tetapi hanya menunggu PAU 2014 untuk menyatakan sikap dan peringatannya.

Bukankah ini jelas tindakan populis yang usaha meraih "political mileages"? Apatah lagi setelah MB Kedah sendiri iaitu DS Mukhriz Mahathir telahpun mengesahkan bahawa semua "rumours" itu adalah tidak tepat, bahkan pihak yang terlibat adalah lelaki melayu muslim yang kurang siuman.

Nah, seiring dengan gegak gempitanya PM Najib yang tiba-tiba mengubah rentak dan sikap terhadap keputusan pemansuhan Akta Hasutan 1948. Meskipun beliau sendiri yang mengumumkan bahawa akta tersebut akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional , tetapi kemudiannya menarik balik bahkan menyokong penuh Akta Hasutan 1948 itu ketika menyampaikan Ucapan Dasarnya di dalam PAU 2014 :

Saya dengan ini mencabar PM Najib dan kerajaan menggunakannya segera ke atas Mashitoh Ibrahim yang secara jelas meniupkan api kebencian dan pergeseran kaum.

Kegagalan Najib menjalankan tindakan tegas ini hanya membuktikan betapa umno sebenarnya menggunakan akta tersebut sebagai talian hayat umno.

Bahkan juga membuktikan betapa akta itu hanya akan dijadikan senjata oleh umno bn bagi menghadapi, menghukum dan menyekat musuh-musuh politik mereka.

Maka jelas sudah terang lagi bersuluh, jika Mashitoh Ibrahim terlepas daripada undang-undang Akta Hasutan 1948 ini sekalipun beliau sudah secara terang-terangan meniupkan api perkauman dan pergeseran agama ;

Najib sesungguhnya GAGAL mengotakan agenda transformasi nasionalnya dan rakyat hanyalah diperbodoh bodohkan oleh mereka!

Justeru, benarlah Najib sebenarnya dalam keadaan yang sangat parah dalam memastikan sokongan umno kepadanya sehingga Najib sendiri terpaksa menggadai prinsip perjuangannya yang menjanjikan transformasi pentadbiran kepada rakyat Malaysia.

Keparahan ini makin terserlah bilamana TS Muhyidin Yaasin, Timbalan Presiden Umno secara berani menyentuh dan menegur banyak perkara secara tegas dan tuntas dalam semangat Melayunya yang membuak-buak dan tentunya kemelayuan Muhyidin pada hari pertama PAU 2014 sudah lebih terserlah berbanding Najib, Presiden Parti Kebangsaan Melayu Malaysia!

Apakah Najib dan Rosmah kini sudah sekali lagi tewas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika ini berdiri teguh di belakang Muhyidin??


AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
30 Nov 2014




Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...