Sunday, 14 December 2014

Najib Sudah Kehilangan Pembodeknya.. Ini Buktinya?


Bersekali dengan laporan polis yang dibuatnya mengenai 1MDB, Khairuddin Abu Hassan juga meminta pihak-pihak tertentu dalam UMNO agar berhenti menjadi pembodek kepada pemimpin.

Mereka, sebaliknya menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu, seharusnya bersikap pro aktif serta mempersoalkan apa yang betul dan salah dan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Secara umumnya tindakan Khairuddin membuat laporan meminta siasatan menyeluruh terhadap urusniaga dan kewangan badan pelaburan yang menjadi  "anak emas" Najib Razak itu sedikit-sebanyak telah menggoncang lagi kedudukan Perdana Menteri.

Berbanding jika hanya pembangkang saja yang membangkitkan mengenai 1MDB, keberanian pemimpin UMNO sendiri berbuat demikian sekaligus memberi mesej wujudnya penolakan yang makin ketara terhadap Najib.

Jika sebelum ini,  kewujudan elemen seperti yang dilakukan Khairuddin ini pasti mendapat libasan dan kecaman daripada para pembodek dan pengampu kuasa yang  siang-siang lagi mahu menunjukkan wajahnya membela 1MDB dan Perdana Menteri, keadaan kini nampak sebaliknya.

Tindakan Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB dan mengancam melakukannya terhadap Najib pula selepas ini tidak mendapat banyak bangkangan daripada mana-mana pemimpin UMNO dan kerajaan. Najib pula seolah-olah tidak dibela oleh sesiapa walaupun diketahui 1MDB adalah cetusan idea Perdana Menteri dan menjadi kesayangannya.

Sejak semalam, hanya Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee yang tampil bersuara menyanggah perbuatan Khairuddin dengan mengatakan laporan polis itu tidak menggambarkan kehendak ahli UMNO di Bahagian Batu Kawan.

UMNO Pulau Pinang melalui Setiausaha Badan Perhubungannya, Musa Sheikh Fadzir pula, hanya lewat hari ini menyatakan apa yang dilakukan Khairuddin itu tidak menggambarkan pendirian UMNO negeri secara keseluruhannya.

Kata beliau, UMNO negeri tidak menyokong dan tidak diberitahu mengenai tindakan yang diambil oleh Khairuddin itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor pula, hanya setelah lebih 24 jam  barulah bersuara meminta Khairuddin menarik balik laporan polis terhadap 1MDB itu.

Tetapi kenapakah tiada di kalangan pemimpin UMNO dan kerajaan atau sayap-sayap parti yang lain tampil menyelar tindakan Khairuddin dan sekaligus mempertahankan Najib dalam isu 1MDB ini?

Apakah kalangan dalam UMNO sudah ada perasaan malu menjadi pembodek dan pengampu lantaran telah disindir awal-awal lagi oleh Khairuddin? Atau mungkinkah tindakan berdiam diri banyak pihak dalam UMNO dan kerajaan dalam isu ini kerana berpendapat Najib sudah tidak mampu dipertahankan lagi?

Pejuang-pejuang maya yang dilabelkan Najib "bangang" dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini juga seperti masih terguris hati dan tidak banyak menyentuh mengenai laporan polis yang dibuat oleh Khairuddin itu.

Sementara laporan polis ini menjadi "lauk" kepada tentera siber pro PR untuk terus menghentam dan menjejaskan kedudukan Najib dengan pelbagai analisa dan ramalan, kedudukan Perdana Menteri yang dibiarkan begitu saja dalam situasi ini seperti memberi tanda tidak baik kepada masa depannya.

Berbanding kedudukan Najib sebelum ini di mana pantang diusik dan dipertikai apa saja berkaitan dengannya, wira pengampu dan pembodek selalunya lebih cepat tampil menonjolkan diri, Najib kini seolah-olah sudah kehilangan bala tenteranya.

Juga berbanding Pak Lah yang dianggap lemah sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu nyata mempunyai pengikut dan hulubalang setia yang sanggup  "bersingsing lengan" hingga ke akhir kariernya.

Ke manakah agaknya menghilang para pembodek dan pengampu Najib sekarang ini? ~shahbudin



Iklan B (ii)







1 comment:

  1. 1MDB DAH JADI... Ibu Segala Isu & Skandal / Liability = I.S.I.S/I.S.I.L

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...