Tuesday, 16 December 2014

FELDA Semakin Tenat.. Ini Bukti Terbaru


Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad yang digantung serta merta selama dua bulan baru-baru ini membuktikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu kini berdepan krisis yang semakin tenat.

Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, Faizoull dituduh melantik dan menaikkan staf tidak dirujuk ke lembaga pengarah dan tidak ikut prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam hanya alasan semata-mata.

Menurutnya, apa yang berlaku kepada Faizoull mengulangi apa yang berlaku kepada Pengarah Besar FELDA terdahulu, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab 'dipetisejukkan' dan 20 lagi pegawai yang ditukar, turun pangkat dan sebagainya sebelum ini.

"Faizoull kini menerima giliran. Digantung jawatan selama dua bulan serta merta. Pengumuman mengaibkan beliau dan keluarganya tetapi saya yakin ada sebab besar kenapa Faizoull menjadi musuh utama kepada Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), Tan Sri Isa Samad ketika ini.

"Belum sampai masa saya dedahkan punca utama itu," ujarnya Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar & Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

FELDA Semakin Tenat

Menurut Mazlan, beliau simpati dengan nasib Faizoull yang disifatkan seorang yang taat kepada Isa tetapi turut menjadi mangsa dan yakin pegawai FELDA yang rapat dengan Faizoull akan menerima nasib yang sama tidak lama lagi.

Segala 'kekusutan' di dalam FELDA, katanya, ada kaitan dengan kegawatan yang berlaku sekarang.

"Kesilapan besar Isa ialah FGVH. Saham FGVH kini tinggal RM2.60 sesaham dan dijangka merudum lebih teruk dalam tempoh sebulan lagi berbanding harga RM4.55 sesaham pada 28 Jun 2012 semasa ia dilancarkan.

"Bajet FELDA setiap tahun sekitar RM1.8 bilion untuk bayar gaji staf, pembangunan ladang, penempatan FELDA, infra, pendidikan dan lain-lain.

"Tidak dapat dipastikan melalui Perjanjian Pajakan antara FGVH sebanyak RM508 juta setiap tahun dapat dilakukan atau tidak.

"Difahamkan, bajet FELDA 2015 akan dipotong di sana sini. Sudah tentu pelbagai insentif terhadap peneroka dan Gen 2 akan dikurangkan," ujarnya.

Menurut beliau, perolehan FELDA kini semakin berkurangan. Tabungan dan simpanan dan pelaburannya kian menyusut teruk.

Kini, katanya, FELDA banyak bergantung kepada ihsan kerajaan walhal sebelum penyenaraian FGVH, FELDA pernah memperoleh pendapatan RM2.3 bilion selepas ditolak segala perbelanjaan masih ada baki RM389 juta.

"Saya yakin jika keadaan teruk ini semakin berterusan, FELDA akan mula menjual aset-asetnya untuk terus bernafas," katanya.

Reaksi Isa kejatuhan harga saham FGVH bersifat sementara tidak boleh diterima dan ia menyebabkan peneroka FELDA kini sengsara malah Mazlan ada bukti ada peneroka yang berpendapatan RM100 sebulan sahaja di sebuah FELDA di Tengi, Selangor.

Beliau dalam masa yang sama hairan dengan sikap 'membisu' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemelut di dalam FELDA.

Mazlan seterusnya tidak menolak kemungkinan FELDA akan menjadi seperti MAS dan akhirnya kerajaan terpaksa bail out untuk mengekalkannya pada masa depan. ~malaysia gazzette




Iklan B (ii)






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...