Friday, 5 December 2014

Anwar Sindir Istana Selangor?.. Ikuti Penjelasannya


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan atau permintaan kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran "Datuk Seri" kepadanya pada 1992, namun darjah kebesaran itu dikurniakan kepadanya atas perkenan bekas Sultan Selangor itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, Anwar berkata, beliau akan tetap meneruskan tugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, namun akan sentiasa menjunjung Perlembagaan negara, Raja berperlembagaan, dan demokrasi berparlimen di negara ini.

"Saya mengambil maklum, berdasarkan kenyataan media Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014.

"Darjah Kebesaran S.S.S.A. ini dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau permohonan, dan saya menjunjung kasih terhadap ihsan Almarhum Tuanku yang berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya," katanya, dalam kenyataan itu, tanpa menggunakan gelaran "Datuk Seri".

"Saya akan tetap menjalankan tugas-tugas saya, terutama dalam menjunjung Perlembagaan negara, Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta akan sentiasa mendokong perjuangan untuk meningkatkan martabat Rakyat.

"Pada masa yang sama, saya akan terus bertugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri Selangor dan rakyatnya," kata Anwar.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran ketua pembangkang yang membawa gelaran “Datuk Seri” daripada Anwar kerana sering mempersoalkan kewibawaan istana sejak penghujung 2013.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Selangor hari ini, penarikan Darjah Kebesaran Seri-Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dikurniakan kepada ketua umum PKR sejak 1992 itu berkuatkuasa pada 3 November.

Menurut kenyataan itu, keputusan untuk membatalkan gelaran Anwar Ibrahim itu berikutan beliau "berulang kali mempersoalkan integriti Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan institusi Raja dalam krisis menteri besar baru-baru ini".

Kenyataan itu berkata, Sultan Selangor membuat keputusan itu selepas berunding dengan Majlis Diraja Selangor, selaras dengan kuasa sultan untuk memberikan gelaran itu seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya berkata tindakan dan tingkah laku penasihat PKR itu menunjukkan Anwar tidak layak lagi memegang apa-apa anugerah.

Walaupun ditarik oleh Selangor, Anwar mempunyai sekurang-kurangnya tiga lagi anugerah yang membawa gelaran “Datuk Seri” yang diterimanya sebelum ini.

Antaranya Darjah Seri Utama Negri Sembilan (S.P.N.S.) dari Negri Sembilan, Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) dari Pulau Pinang (membawa gelaran Datuk Seri Utama ) dan Sabah – Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. ~malaysian insider



Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...