Thursday, 20 November 2014

Umno Terkedu Cara Terbaru Azmin Ali Tadbir Selangor?


Kerajaan Negeri Selangor minggu lepas mengeluarkan notis kepada semua jabatan dan agensi berkaitan bagi melaksanakan arahan penguatkuasaan larangan pemberian cenderamata kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (gambar).

Surat pekeliling bertarikh 13 November itu dikeluarkan Setiausaha Kerajaan (SUK)  Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan diedarkan kepada semua ketua jabatan/agensi, pegawai daerah, yang dipertua majlis perbandaran dan datuk bandar serta semua yang mengetuai pentadbiran negeri.

"Dimaklumkan yang menteri besar mengarahkan tiada sebarang pemberian cenderamata kepada beliau oleh jabatan/agensi kerajaan semasa program turun padang dilaksanakan.

"Sehubungan itu, bagi memastikan arahan tersebut dilaksanakan, maka jabatan/agensi kerajaan tidak dibenarkan memberi cenderamata kecuali yang berbentuk buku laporan atau seumpama dengannya," memetik daripada surat pekeliling SUK bilangan 4 tahun 2014.

Arahan itu dibuat ketika perbelanjaan kerajaan negeri menjadi tumpuan susulan bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membayar RM2.6 juta pampasan atau “golden handshake” kepada beberapa pembantu beliau sebelum meletak jawatan pada September.

Dalam dokumen yang dilihat The Malaysian Insider, RM2.27 juta dibayar sebagai pampasan, berserta RM376,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan dikatakan dibayar kepada 8 pembantu Khalid.

Dokumen tersebut menunjukkan jumlah terbesar bayaran tersebut diberi kepada Faekah Husin, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI). Beliau didakwa menerima RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan.

Setiausaha akhbar Khalid, Arfa'eza Abdul Aziz didakwa dibayar RM358,000 pampasan dan RM55,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan sementara setiausaha politiknya Mustapa Mohd Talib didakwa dibayar RM265,000.

Pada Ahad, Azmin Ali mengakui terdapat elemen salah laku dalam isu itu dan mengatakan MBI akan membincangkan perkara tersebut minggu ini bagi langkah seterusnya.

Satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, penyiasatan awal Jabatan Audit Kerajaan Negeri Selangor mendapati prosedur yang betul tidak diikuti dan bayaran tersebut dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Jabatan tersebut masih lagi melihat aspek lain seperti terma pampasan dan sekiranya ahli lembaga pengarah MBI sedar bayaran yang begitu besar dilakukan.

Azmin Ali dilihat ingin membawa perubahan dalam pentadbirannya sejak mengangkap sumpah pada 23 September.

Difahamkan, antara janjinya, beliau mahu menjadi pemimpin negeri yang lebih kerap turun padang bertemu rakyat daripada berada di pejabat dan mahu dilihat lebih kerap berpakaian biasa daripada memakai tali leher dan kot.

Awal bulan lepas, beliau melakukan terjahan ke pusat pelupusan sampah di Sungai Kertas dan menyerbu lori tanpa permit yang sesuka hati membuang sampah di sana.

Dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Beruntung hujung bulan lepas, Azmin sekali lagi melakukan terjahan ke kawasan itu bagi melihat sendiri apa yang berlaku dan mengumumkan peruntukan segera RM500,000.

Awal bulan ini pula, beliau mendedahkan nombor telefon bimbitnya di media sosial, menggesa rakyat Selangor memaklumkan kepadanya sekiranya melihat sampah yang belum dikutip.

Azmin Ali juga mengakui program turun padang yang dilaksanakannya setiap minggu merupakan inspirasi daripada Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) yang mengangkat sumpah bulan lepas.

Katanya, beliau akan mengaplikasikan dalam corak pentadbirannya cara Jokowi ketika bertugas sebagai Gabenor Jakarta, di mana majoriti tugasnya bersama rakyat berbanding di pejabat.

“Saya kenal Bapak Jokowi dan pernah mengunjunginya tahun lalu, Jokowi kata kepada saya… Azmin Ali, masa saya hanya 20% di pejabat, selebihnya di lapangan bersama rakyat.

“Ya, saya mahu tiru cara dia, kerana itu, saya komited untuk sentiasa bersama rakyat dan mendengar keluhan hati mereka,” katanya pada satu pertemuan dengan penjawat awam daerah Sabak Bernam. ~malaysian insider




Iklan B (ii)







6 comments:

  1. tahniah selangor maju tanpa umnu.

    ReplyDelete
  2. Bagus, baru lah senang pejabat daerah tak payah sedia bunga ke buah2 sbg cenderahati, tapi dah adat Melayu berbahasa, Dato MB datang musim buah, jamu durian, rambutan....ke itu pun salah.

    ReplyDelete
  3. tahniah, bagaimana pula MB dari negeri yang diperentah oleh PAS

    ReplyDelete
  4. UMNO terkedu sebab sebelum ni dia cakap nak batalkan projek air Langat. Tapi teruskan pulak.

    ReplyDelete
  5. ermmmm... statement je.. hakikat.... blom tentu

    ReplyDelete
  6. Cenderahati lain dgn jamuan ..... 2 perkara berbeza

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...