Sunday, 30 November 2014

Tanpa Disangka.. Ucapan Najib Ini Mengejutkan Ahli Umno


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menepis gesaan perwakilan Umno agar parti itu tidak menumpukan lagi usaha untuk meraih sokongan dari masyarakat Cina.

Najib berkata BN tetap memerlukan undi komuniti Cina bagi membolehkan parti itu dapat dipertahankan sekali gus mengekalkan penguasaan kerajaan.

Dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno hari ini, Najib berkata pemimpin terdahulu tidak akan menubuh parti Perikatan dan mempertahankan BN jika tidak mendatangkan keuntungan kepada parti itu.

"Kalau tak menguntungkan kita, tuan-tuan ingat Tunku Abdul Rahman (Putra Alhaj) akan buat Perikatan?

"Pada 1974 Tun Abdul Razak (Hussein) buat BN, kalau tak menguntungkan kita, tuan-tuan ingat, Tun Razak (akan) buat Barisan Nasional?

"Daripada Tun Mahathir (Mohamad) sampai Tun Abdullah (Badawi), kita mempertahankan BN mestilah ada sebab.

"Kalau kita tak perlu kepada undi mereka, kenapa kita wujudkan Perikatan dan BN," katanya.

Pengalaman Mahathir

Beliau membangkitkan mengenai pengalaman bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah tewas dalam satu pilihan raya.

Najib berkata, ia berlaku kerana Mahathir pada waktu itu pernah menyebut bahawa beliau tidak memerlukan undi Cina.

"Jangan menang sorak kampung tergadai. Sebab itu penting menjaga BN, tapi jangan sampai menggadai prinsip. Orang Melayu tegas tapi adil kepada orang lain," katanya.

Mengulas mengenai mempertahankan tanah rizab Melayu, Najib berkata menteri besar BN perlu memastikan tanah rizab Melayu yang dibuka untuk pembangunan mesti diganti tanah lain.

"Yang kedua, tanah rizab ini, jangan tanah rizab sahaja, mesti dibangunkan. Bila nak bangun, mesti ada sumber kewangan.

"Sekarang ini saya diberitahu bahawa ada kesukaran dari segi perundangan, enakmen untuk membolehkan akses kepada instrumen pinjaman untuk memajukan tanah tanah rizab melayu.

"Satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan laporan telah disediakan dan saya minta bahawa semua undang-undang yang perlu dipinda, dibuat pindaan, supaya tanah tanah rizab dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemiliknya.

"Yang penting nilai pulangan kepada pemilik tanah rizab Melayu," katanya. ~malaysiakini




Iklan B (ii)







1 comment:

  1. Ayuh Tun Mahathir, apa lagi? Budak hingusan yang Tun julang sebagai pemimpin sudah berani mengutuk dan mempertikaikan kewibawaan Tun sebagai bekas Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan itu. Lagipun sumber palsu mana yang diceduk mengatakan Tun tidak memerlukan undi cina hingga kalah pilihanraya maka rakyat pun confius!

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...