Tuesday, 18 November 2014

Mahathir Belasah Menteri Cakap Tak Serupa Bikin


Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin semakin melebar di Malaysia, malahan menteri Kabinet turut menghantar anak mereka ke sekolah persendirian.

Bekas perdana menteri itu berkata, menteri sendiri melanggar polisi pendidikan negara dengan menghantar anak ke sekolah swasta dan antarabangsa.

"Murid di Malaysia tidak sepatutnya ke sekolah swasta. Dalam kebanyakan kes, yuran dikenakan selalunya terlalu mahal.

"Kemudian anak menteri, bertentangan polisi negara mula hantar anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa yang banyak menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran.

"Menteri juga hantar anak mereka ke sekolah awam (sebenarnya swasta) di UK. Ia kemudian diikuti anak orang kaya," kata Dr Mahathir dalam tulisan di blognya chedet.cc hari ini.

Bekas presiden Umno itu berkata, keadaan ini menyebabkan golongan miskin terpaksa mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan, sementara itu golongan kaya mahir menguasai bahasa Inggeris berbanding golongan miskin.

(Dr Mahathir memegang jawatan menteri pendidikan antara 1974 dan 1978.)

"Hasilnya golongan kaya ke sekolah swasta di Malaysia dan UK, sementara itu yang miskin ke sekolah kebangsaan di Malaysia.

"Selain daripada pemisahan kaum kerana sekolah berasaskan bahasa etnik, kita melihat pemisahan antara murid kaya dan miskin.

"Yang kaya sekarang bercakap dalam bahasa Inggeris dan miskin bercakap dalam bahasa Melayu, Cina atau Tamil. Peluang pekerjaan menyebelahi mereka yang mahir berbahasa Inggeris," katanya.

Dr Mahathir mengakui cucunya juga ramai yang dihantar ke sekolah swasta dalam dan luar negara.

Tetapi beliau melihat situasi itu menjauhkan lagi jurang antara kaum dan juga jurang antara kaya dan miskin.

"Mereka (cucu) bercakap dalam bahasa kebangsaan, tetapi jenis sekolah tersebut melebarkan jurang antara kaum serta juga antara kaya dan yang miskin.

"Nampaknya ibu bapa yang miskin terpaksa menerima pendidikan buruk untuk anak mereka supaya ahli politik dapat menjadi popular," katanya.

Selain jurang pendidikan antara kaya dan miskin, Dr Mahathir juga membangkitkan jurang pemisahan antara kaum di Malaysia, ia berpunca daripada sistem sekolah mengikut etnik yang digunakan di Malaysia.

"Dengan ini, anak berbilang kaum hilang peluang membesar bersama; Melayu ke sekolah kebangsaan, Cina ke sekolah rendah dan menengah Cina manakala India ke sekolah rendah Tamil. Tidak ada sekolah menengah tamil, jadi India terpaksa belajar di sekolah menengah kebangsaan," katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia sejak mencapai kemerdekaan 1957 mempunyai misi jelas di mana semua pelajar belajar dalam satu sistem sekolah kebangsaan dan bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa asal rakyat.

"Mereka akan dapat mengenali antara satu sama lain, mempelajari budaya yang berbeza dan menjadi Malaysia yang tulen,” katanya. ~malaysia insider





Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...