Monday, 17 November 2014

Khalid Ibrahim Mungkin Terkedu Dengan Berita Gempar Ini


Pemberian RM2.6 juta "golden handshake" kepada bekas pembantu Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menimbulkan persoalan terhadap pembayaran lantikan politik dan sama ada ia mengikut prosedur sewajarnya.

Pembayaran tersebut dikritik kerana terlalu tinggi, terutamanya laporan mengatakan Khalid dianggap sebagai seorang yang kedekut dalam mentadbir.

"Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat mekanisma sewajarnya dan polisi dalam pelantikan pembantu politik serta sama ada terdapat garis panduan prosedur apabila mereka meletak jawatan selepas bos mereka berhenti," kata penganalisis Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata, sebarang pembayaran melibatkan dana awam perlu telus, bagaimanapun menegaskan ia tidak perlu menjadi pertikaian jika ia dilakukan mengikut prosedur yang betul seperti dalam terma kontrak.

"Selagi terma dan syarat kontrak diikut, kita tidak mempunyai asas untuk persoalkannya," kata ketua eksekutif  Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) itu.

Beliau berkata wujud beberapa jawatan di peringkat persekutuan dan negeri yang perlu dibuat menerusi lantikan politik dan kontrak mereka mungkin termasuk syarat yang membenarkan "golden handshake" kerana ketidaktentuan politik.

"Mereka ini mungkin bersetuju untuk memegang jawatan tetapi ia satu risiko yang besar kerana ketidaktentuan politik pada masa akan datang dan bagi mengatasinya, kontrak mereka mungkin termasuk klausa golden handshake," katanya.

Seorang bekas pembantu kepada menteri dan timbalan menteri berkata, beliau menerima purata dua bulan gaji dan juga ganjaran apabila majikannya meninggalkan pejabat.

"Saya masih ingat hanya menerima ganjaran berjumlah sebulan gaji saya untuk tiga tahun saya bekerja dengan timbalan menteri," katanya.

Bagaimanapun, jika beliau meletak jawatan tanpa bekerja semasa notis dua bulan sebelum berhenti, beliau sebaliknya perlu membayar wang itu kepada Putrajaya.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali semalam mengakui wujud elemen salah laku dalam pembayaran kepada pembantu Khalid Ibrahim dan berkata perkara tersebut akan dibincangkan dengan lembaga anak syarikat kerajaan negeri, Menteri Besar Incorporated pada Khamis ini.

Bekas Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Teresa Kok berkata semasa meletak jawatan pada akhir tahun lepas, beliau tidak menerima sebarang pembayaran seumpamanya.

"Saya hanya terima pembayaran gaji pengarah pada 2013, sama seperti jumlah yang dibayar kepada ahli lembaga pengarah lain. Saya tidak diberi upah tambahan atau pampasan," katanya.

Khalid Ibrahim didakwa membuat gaji pemberhentian berjumlah lebih RM2.6 juta kepada lapan pembantunya, salah seorang daripada mereka menerima hampir RM700,000.

Khalid berkata tidak mengetahui tentang jumlah tersebut, bagaimanapun menyifatkan ia sebagai pembayaran "skim peletakan jawatan sukarela" yang ditawarkan kepada stafnya susulan pertukaran menteri besar dua bulan lalu. ~malaysian insider





Iklan B (ii)







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...